Sunday, February 12, 2012

Selidiki sumber berita, usah terburu nafsu...

****************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat. Maka tidak akan diringankan azabnya dan mereka tidak akan ditolong." (Maksud ayat 86 Surah Al-Baqarah)
****************

DARI sehari ke sehari, makin bingung, loya dan senak dibuatnya apabila kita membaca akhbar, mengikuti siaran berita televisyen serta radio dan menatap tulisan di alam maya. Mana satu berita atau laporan yang betul pun kita tidak tahu.

Seorang tok guru memberitahu saya, ada satu berita benar tetapi orang macam tidak mahu mempercayainya. Berita itu adalah mati, lebih tepat lagi KAMU PASTI MATI. Hal ini ‘confirm’, malangnya orang tidak mempedulikannya, kalau percaya pun mereka yakin hal itu lambat lagi... mungkin 30 atau 50 tahun lagi, atau 100 tahun lagi.

Sebagai ‘orang media’, saya juga tidak terlepas daripada kesilapan ketika memetik berita daripada media massa tempatan. Tindakan saya memetik dan mengulas laporan sebuah akhbar harian mengenai tindak-tanduk sebuah kelab yang kononnya meminta isteri menyambut kepulangan suami dalam keadaan bogel dalam ruangan ini, mengundang ketidak-senangan pembaca yang menyelar tulisan saya itu.

Antara lain, seorang pembaca menulis: “Saya merujuk tulisan saudara bertajuk ‘Cerita selak kain’ (dalam blog ini sedikit masa dulu). Ada satu kenyataan yang saya rasa pihak saudara perlu berhati-hati.

Saya sudah membaca buku yang dikeluarkan oleh Kelab Taat Suami itu dan tiada pun saya terjumpa tulisan yang berbunyi cara menyambut suami pulang dengan berbogel. Jadi hati-hatilah, jangan terlajak kata...sebenarnya maksud itu adalah apabila 'bersama', kalau nak sambut di muka pintu cubalah fikir sikit, kalau ada orang ternampak (berbogel) kan dah jadi dosa...

Jadi cara menulis begitu boleh jadi fitnah...janganlah media atas nama Islam menfitnah saudara seagama. Berbogel bukan untuk suka-suka atau dipermain-mainkan. Oleh kerana ramai isteri dan suami tidak tahu taktik sebenar, mukadimah seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. itu, maka kelab itu mengambil tanggungjawab untuk memberi ilmunya. Sebelum buku itu dikeluarkan pun para remaja sudah ramai rosak oleh seks haram! Sehingga lahirnya ramai anak zina yang dibuang di merata-rata tempat. Siapakah yg bertanggungjawab memaparkan aksi seks haram yang boleh ditonton dengan mudah dan jelas! Kerana itulah seks Islam amat perlu untuk mensucikan seks haram.

Lagi satu tidak sesuai kata-kata seperti mempermainkan orang yang sudah berusia..seperti suami boleh pengsan melihat isteri yang sudah boyot ( ye ke..adakah anda pernah mengalaminya!). Cuba lihat artis seksi dan cantik kenapa boleh bercerai-berai? Patutnya suami sentiasa tergila-gilakan isteri yang cantik dan cun itu, adakah faktor ramping, suami pasti tak miang di luar dan tak tinggalkan isterinya!

Sebenarnya cara layanan bukan rupa yang menjadi keutamaan! Cara layanan pula tak boleh sebelah pihak sahaja.

Sekiranya seorang lelaki tulen, dia mesti faham kehendak lelaki yang sebenarnya. Dia mesti faham apa yang diingini daripada seorang perempuan dan apa yang dia harapkan draripada isterinya. Ilmu-ilmu sebeginilah yang dikongsikan untuk mengharmonikan rumah tangga Islam supaya lelaki-lelaki Islam tidak lagi makan luar atau menonton video-video lucah tajaan Yahudi, d ibelakang sana ramai lelaki-lelaki Islam buat perkara tak elok, sebab fitrahnya 'hendak'....

Sebenarnya seks itu kepunyaan Islam bermula daripada perkahwinan para nabi dan rasul, bermulanya hubungan datuk dan moyang kita Adam dan Hawa dan ilmunya ada dan sangat tinggi tetapi Yahudi sudah merosakkan dan melucahkannya sehingga orang Islam sendiri apabila bercakap tentang seks rasa malu dan janggal tetapi dalam pada itu sentiasa 'mengejarnya' walaupun ia 'dipermainkan atau diperolok-olokkan', jadi pemikiran orang-orang Islam perlu disucikan! Seks suami isteri itu halal dan boleh dipelajari ilmunya. Apabila Islam menghalalkan perkahwinan, maka ilmu tentang pakej perkahwinan itu boleh dan halal dipelajari.

Untuk pengetahuan saudara Kelab Taat Suami itu ditubuhkan adalah untuk menutup seks-seks haram tajaan Yahudi, juga sebagai senjata perang melawan Yahud. Jadi jangan pula orang Islam tersalah dan tersilap faham akan tujuan murninya bukan kerana parti tetapi wajib atas umat Islam menegakkan kebenaran agama Allah dan wajib berusaha supaya lelak-lelaki Islam dan wanita-wanitanya tidak terjebak ke kancah pelacuran atau perzinaan. Hubungan suami isteri yang sah itu sangat mulia dan dikira zikir dan ibadah kepada Allah SWT.

Cuma , saya mohon di sini, jangan menghurai secara terbuka tentang sesuatu yang kurang jelas, jika tersalah ia boleh jadi fitnah, apatah lagi benda baik dan halal, jangan dipermainkan dan dipersendakan, orang boleh keliru dan salah faham. Moga ada manfaatnya. Wallahu A'lam, ampun maaf. wassalam. – Yang Hanya Menyampaikan”

Sekalipun ada perkara yang saya tidak setuju dengan Kelab Taat Suami, saya akui dan meminta maaf atas kesilapan memetik laporan sebuah akhbar harian mengenai perkara ini. Sepatutnya saya membaca dulu buku Kelab Taat Suami itu sebelum membuat ulasan. Itu baru dinamakan sumber pertama sedangkan memetik daripada akhbar tempatan adalah tindakan tidak tepat.

Apa yang berlaku ini menjelaskan bahawa berita-berita yang disiarkan media massa kita termasuk elektronik tidak boleh segera dipercayai apatah lagi diyakini bulat-bulat.

Periksa dan semaklah wahai pembaca terutama menjelang pilihan raya tidak lama lagi kerana Allah SWT berfirman melalui Ayat 6 Surah Al-Hujurat bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

No comments: