Monday, February 27, 2012

Penulis buku 'tercungap-cungap' nanti royalti

**************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Menangis kasihankan pencuri wangnya

Mampukah anda menjadi seperti orang salih ini...Begini kisahnya: Di Khurasan ada seorang salih yang pernah kehilangan wangnya. Dia hanya mampu menangis kerana kehilangan wang dinarnya itu. Al-Fudhail kemudian bertanya; "Mengapa engkau menangis?" Orang salih itu pun menjawab: "Aku ingat bahawa di akhirat kelak, pada hari kiamat, Allah akan mengumpul aku dengan pencuri itu. Aku kasihan kepadanya!"
(Hidayah, Rabiulawal 1433/Februari 2012)
**************

RAMAI orang dalam dunia penulisan dan akademik berharap Dr Awang Sariyan membawa sinar baru di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selepas beliau dilantik Ketua Pengarahnya yang baru. Berbicara mengenai dunia buku dan penerbitan, saya mengambil kesempatan ini untuk menokok tambah betapa penulis tanah air kita yang 'tercungap-cungap' (bagaikan ikan darat bernafas di daratan selepas di pancing) menanti imbuhan daripada penerbit. Yalah, mereka bagaikan menunggu buah yang tak jatuh-jatuh...

Jadi, apabila Pak (Dr) Awang sudah menjadi 'bos' di DBP dan juga kepada peneraju syarikat-syarikat penerbitan lain, sama ada yang 'gergasi' atau baru 'merangkak-rangkak nak hidup', dengarlah keluhan penulis-penulis kecil termasuklah diri ini.

Sebagai penulis yang telah menghasilkan beberapa buku, kini fahamlah saya sedikit sebanyak akan 'mogok seni' Sasterawan Negara, Pak Samad Said tidak lama dulu. Jika Pak Samad yang bukunya diterbitkan oleh pihak ternama, mengalami 'derita itu', masakan penulis 'cabuk' termasuklah saya tidak terasa 'pedih'nya.

Jadi benarlah cakap-cakap sesetengah orang; menulis buku ini hasilnya (maksud saya perolehan kewangannya) tidaklah berbaloi dengan minda dan tenaga yang dicurahkan.

Ambil contoh pengalaman diri saya; daripada sebuah buku yang diterbitkan lebih lima tahun lalu, dapatlah saya RM2,500; sebuah buku lain RM1,000; sebuah buku lagi belum pun saya dapat duitnya walaupun ada kalanya saya lihat dalam akhbar tajuk buku itu tersenarai 'top 10' dalam carta buku terlaris kedai buku termasyhur tanah air.

Ada beberapa buku saya terbitkan sendiri; sebuah buku saya habis R10,000; modalnya mungkin sudah pulang tetapi saya tidak tahu mana wangnya pergi. Nasib baiklah saya tidak berhutang; kalau tak 'aniaya' saya. Satu lagi buku, kos penerbitannya hampir RM5,000. Buku ini lagi malang, bukan untung dapat, malah modal pun hangus.

Sebagai penulis yang pernah menerbitkan buku sendiri, saya tertanya-tanya macam mana ada penulis yang boleh dapat RM100,000 sehingga RM200,00 daripada penerbitan sebuah buku. Ya, awak tulis buku, tak kaya-kaya juga; tahu tak awak ada penulis hidup mewah dengan karya mereka, kata seorang sahabat.

"Itulah," kata seorang sahabat lain, "awak terbit buku ilmiah dan panduan, tentu susah nak laku, dia orang tulis novel, terutama novela 'cintan' lakulah buku dia orang sehingga 10,000 malahan 50,000 naskhah. Kalau satu novel berharga RM20 dan penulisnya diberi royalti 10 peratus, kiralah wang yang 'masyuk'."

Ya, wang lebat tidak 'masyuk' dalam akaun penulis kecil seperti saya. Namun satu hal yang amat menggembirakan saya; nikmat menyebarkan ilmu dan kesedaran disuntik melalui buku-buku yang kita tulis dan pengalaman daripada menulis, menerbit, melakukan promosi seterusnya menjual buku, sesungguhnya tidak dapat dijual beli.

Dua buah buku saya pernah dipromosikan dalam siaran TV3, Malaysia Hari Ini (MHI). Malah saya pernah muncul secara langsung di kaca TV dan siaran radio bagi memperkenal seterusnya mendiskusikan buku berkenaan. Pengalamannya adalah nikmat dan publisiti diberi mengujakan. Jadi, hati mana tidak 'kembang', apabila ada 'orang kampung' bertanya; "Eh, abang ke (muncul) dalam TV itu hari?"

Namun jika berhasrat 'membuat banyak duit' dengan menulis buku ilmiah, usahlah berangan-angan panjang. Tolak hasrat itu ke tepi, betulkan niat; kita menulis untuk mendidik dan menyedarkan anak bangsa. Ya, aku (kita) menulis bukan kerana nama...ataupun wang. Kita menulis hanya kerana-Nya!

1 comment:

nudin said...

bagaimana dengan yg ini - http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/norden-mohamed/siapa-yang-nodai-dunia-perbukuan-1.188517