**************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Barang siapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) 10 kali lipat amalannya, dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)." (QS. Al-An'am: 160)
************
Sempena memperingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (Maulidur Rasul) pada Ahad, 12 Rabiulawal 1433 Hijrah (5 Februari 2012) ini, sukacita kita mengingatkan bahawa setiap Muslim adalah wajib untuk mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam.
Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti. Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi.
Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Pemimpin dengan kaedah berpolitiknya, ustaz dengan kelas pengajiannya, penulis dengan tulisannya dan yang penting mesti ada jemaah yang berjuang ke arah itu.
Marilah kita berdoa semoga semua Muslim terutama pembesar dan pemimpin negara dibukakan hati untuk berusaha keras ke arah melaksanakan hukum-hakam Islam. Marilah kita berdoa supaya pemimpin kita terbuka hatinya untuk menjalankan hukum-hakam Islam.
Beberapa tahun lalu pemimpin negara sudah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Malangnya perisytiharan itu tidak disertai dengan pelaksanakan hukum-hakam Islam.
Apabila ini berlaku kita amat dibimbang Allah akan menjatuhkan hukuman ke atas pemimpin berkenaan dan diri kita di dunia lagi. Sama seperti mengatakan negara ini negara Islam tetapi tidak melaksanakan hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran. Ingatlah, bala akan terkena semua orang - yang beriman dan tidak beriman.
Tidak lama dulu pemimpin kerajaan bertindak mengumpulkan imam-imam dan pegawai masjid dan kemudian meminta mereka memberikan pandangan bagaimana hendak menangani jenayah rogol, bunuh, zina dan sebagainya yang semakin menjadi-jadi.
Bukankah jalan penyelesaian sudah ada dalam al-Quran. Panduannya sudah diberikan oleh Allah, kenapa manusia pula pandai-pandai mahu mencari jalan keluar? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.
Apabila pemimpin menyatakan Malaysia sebuah negara Islam tapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, amat-amatilah apa yang akan berlaku. Misalnya, Amerika sudah mengintip-intip untuk menghebatkan cengkamannya, orang Islam yang taat dicop sebagai pengganas dan dihumbankan dalam penjara tanpa bicara manakala masyarakat menjadi huru-hara dengan kes jenayah yang tidak berkesudahan.
Jika benar Umno hendak menegakkan hukum-hakam Islam, buatlah sekarang sebab parti berkenaan sudah diberi kepercayaan besar oleh rakyat. Kalau tak buat, kita bimbang Umno memang tidak hendak Islam berkuasa. Ini kerana sudah lebih 50 tahun Umno menguasai kerajaan. Kalau dalam tempoh selama itu tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam, kita mahu tunggu berapa lama lagi...500 tahun?
No comments:
Post a Comment