Tuesday, February 7, 2012

Islam di Malaysia ditadbir bukan mentadbir?

**************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mendoakan keampunan bagi orang-orang mukmin dan mukminat, maka Allah SWT akan memberikannya untuk setiap doa bagi satu mukmin dan mukminah satu hasanah (pahala)." (Hadis diriwayatkan oleh Imam Tabrani, berkata Imam Haithami: Sanadnya baik, begitu juga Imam Manawi dalam kitab Faidhul Qadir 6/57)
*******************

Mungkinkah Islam di Malaysia adalah Islam yang ditadbir dan bukan Islam yang mentadbir kerana perkara-perkara berikut;
1. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam terletak di bawah kuasa negeri.
2. Setiap negeri menggubal Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing.
3. Setiap negeri juga membentuk Majlis Agama Islam yang mengandungi tokoh-tokoh Islam dan bertindak sebagai badan perundangan Islam yang sebenar di negeri itu.
4. Tugas utama Majlis Agama Islam termasuk:
a) Membuat peraturan-peraturan mengenai agama Islam.
b) Mengeluarkan fatwa.
c) Mentadbir masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama.
d) Mengutip zakat, fitrah dan bayaran yang lain yang diwajibkan bagi orang Islam.
e) Mengurus wakaf.
5. Di samping itu sebuah Jabatan Agama Islam yang mengandungi pegawai-pegawai kerajaan juga dibentuk untuk membantu Majlis Agama Islam menjalankan tugasnya.
Perlembagaan Persekutuan juga mengehadkan pemakaian undang-undang Islam.
1. Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran agama Islam termasuk Mahkamah Syariah bagi negeri yang berkenaan.
2. Bagaimanapun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa atas umat Islam dan mengenai pengamalan ajaran Islam setakat ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.
3. Dengan itu Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984) telah mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah pada paras menjatuhi penjara sehingga tiga tahun, hukuman denda sehingga RM5,000 dan hukum sebat sehingga enam rotan.
4. Mengikut suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1988, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Bawahan tidak mempunyai kuasa kehakiman ke atas perkara-perkara yang telah menjadi bidang kuasa Mahkamah Syariah.
5. Undang-undang HUDUD tidak diamalkan di Malaysia.
Dinyatakan juga bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad.
1. Bidang kuasa sivil meliputi:
a) Perkahwinan.
b) Penceraian.
c) Nafkah anak dan isteri.
d) Pewarisan harta.
2. Bidang kuasa jenayah meliputi:
a) Kesalahan matrimoni seperti tidak taat kepada suami.
b) Kesalahan hubungan seks seperti persetubuhan haram, berkhalwat dan pelacuran.
c) Kesalahan minuman keras seperti menjual dan meminum arak.
d) Kesalahan keimanan seperti tidak solat Jumaat, tidak berpuasa atau tidak membayar zakat.
e) Kesalahan pertukaran agama seperti tidak mendaftarkan masuk atau keluarnya daripada Islam.
f) Kesalahan berhubungan dengan perjudian.

Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa Islam di Malaysia adalah Islam diperintah dan bukan Islam yang memerintah. Di sinilah terletak kesedihan kita yang amat sangat kerana hukum-hakam Islam belum lagi didaulatkan sepenuhnya di bumi Malaysia. Jadi sempena sambutan Maulidur Rasul ini, marilah bersama-sama kita berdoa semoga semua pihak terutama pembesar dan pemimpin negara kita akan terbuka hati mereka untuk mendaulatkan hukum-hakam Allah.

Jika sejarah telah membuktikan apabila Raja-Raja Melayu memeluk Islam, rakyat akan berbondong-bondong mengikutinya, maka hari ini diharapkan apabila pembesar dan pemimpin negara terbuka hati untuk mendaulatkan hukum-hakam Islam, insya-Allah seluruh negara akan mengikuti dan insya-Allah rahmat Allah akan menyirami bumi bertuah ini! Amin...Ya Rabbal Alamin.

No comments: