Friday, February 3, 2012

Bolehkah digantikan berzanji?

***********
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Pesanan Nabi Isa a.s.
Nabi Isa a.s. bersabda, bermaksud: Bermula empat perkara tiada yang akan didapatkannya kecuali dengan usaha yang bersusah payah:

1. Diam daripada berkata-kata perkara-perkara yang membawa kejahatan dan perbuatan yang sia-sia dan ia merupakan permulaan daripada segala ibadat.

2. Berusaha merendahkan diri di dunia ini.

3. Memperbanyakkan zikir mengingati Allah Taala.

4. Sedikit mempunyai sesuatu harta kekayaan di dunia ini. (Hidayah Januari 2012/Safar 1433)

***********
DALAM satu kelas pengajian di masjid berhampiran rumah saya baru-baru ini, ustaz menimbulkan kerisauan hampir tiada golongan muda yang bersolat jemaah apatah lagi mengikuti tazkirah di rumah Allah itu. Beliau berkata jemaah yang ada, dilahirkan pada tahun-tahun 1930-an, 40-an, 50-an tetapi yang dilahirkan pada 1960-an, 70-an, 80-an dan seterusnya hampir tiada.

Ertinya rumah Allah hanya diimarahkan oleh jemaah golongan veteran, orang pencen; jadi persoalannya di mana orang-orang muda berada pada waktu antara maghrib dan isyak itu? Apakah mereka berada di rumah menghadap televisyen, di kedai kopi, berpeleseran di pasar malam, pusat membeli-belah dan hiburan atau lebih teruk berada di tempat maksiat?

Sedih, sedih, ungkap ustaz itu. Apa nak jadi dengan masyarakat kita hari ini, terutama generasi muda? tanyanya. Jika ke masjid pun tak datang, bagaimana mereka nak bawakan bacaan berzanji yang kini menjadi rutin setiap malam di sesetengah masjid sekarang ini menjelang Maulidur Rasul?

Beliau kemudian melagukan sebahagian bacaan berzanji itu, sungguh mendayu-dayu, menusuk ke dalam kalbu. Namun seperti ramai di kalangan generasi berusia pertengahan dan muda hari ini, saya tiada berkemampuan untuk melakukan apa diaksikan oleh ustaz lagu apatah lagi memahami maksud bacaannya. Menurut ustaz itu, pada zaman mudanya, pada musim maulud ini, masjid akan dimakmurkan oleh anak-anak muda belajar berzanji dan kemudian pada malam-malam hari menjelang Maulidur Rasul akan melagukan bacaan itu beramai-ramai.

Namun bagi sesetengah orang daripada generasi baru, bacaan berzanji inilah antara faktor yang menjauhkan diri mereka daripada masjid. Apa tidaknya, ketika membaca beramai-ramai itu, apabila kitab dihulurkan kepada jemaah seorang demi seorang, akan 'terketak-ketak' (terketar)-lah mereka yang tak mahir atau lebih malang tidak tahu. Almaklumlah pada zaman mereka (ketika tulisan jawi hampir dikuburkan pada tahun 60 dan 70-an), bacaan berzanji itu tidak ada dalam kamus kehidupan mereka.

Pada suatu majlis ilmu (tazkirah) yang lain, saya mengambil kesempatan bertanyakan ustaz yang terbabit; apakah dibolehkan kita gantikan majlis bacaan berzanji itu dengan program-program yang menjadi kesukaan anak-anak muda untuk menarik mereka ke masjid. Apa kata diadakan konsert dengan penyanyinya membawakan lagu-lagu kerohanian seperti persembahan Maher Zain? Maksud saya, konsertnya di luar masjid, takkan dalam masjid.

Ustaz nampaknya agak sukar untuk menjawab soalan ini, beliau meminta tangguh untuk merujuk kepada kitab-kitab dan ulama lebih arif, tetapi menyatakan bacaan berzanji seperti diamalkan di sesetengah masjid itu tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w. malah sahabat-sahabat baginda dan ilmuan Islam awal. Namun beliau berkata adalah baik untuk menganjurkan majlis-majlis kesukaan anak-anak muda yang direstui Allah bagi mengikat mereka ke masjid.

Pencarian saya di Wikipedia, menyatakan berzanji atau barzanji adalah
suatu doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dibacakan ketika majlis akikah, khatan, perkahwinan dan Maulidur Rasul. Isi berzanji menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul.

Nama Berzanji (Barzanji) diambil daripada nama pengarangnya yaitu Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim. Beliau lahir di Madinah pada tahun 1690 dan meninggal dunia pada tahun 1766. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd al-Jawahir (Bahasa Arab, bererti kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad saw, meskipun kini nama penulisnya yang lebih dikenali.

Ustaz itu berkata, adalah lebih baik untuk seseorang itu mengerti seterusnya memahami apa-apa yang dibaca dalam majlis berzanji itu. Namun apa yang berlaku, kebanyakan pembaca tidak memahaminya walaupun bacaannya ternyata begitu syahdu dan menusuk kalbu.

Itulah kata ustaz itu, membaca dengan tidak mengerti maksudnya seterusnya mengambil iktibar untuk diterapkan dalam kehidupan akan menjadikan bacaan itu majlis rutin tahunan; sebahagian kita terus gagal mengubah kehidupan kita ke arah lebih baik apatah lagi mantap dengan nafsu mutma-innah menjelang hari kematian kita yang entahkan hari ini, esok, lusa atau setahun, dua tahun, 10 tahun dan seterusnya.

1 comment:

SysOp said...

Bhai LanH...

Gua stuju ngan idea yang baik... iaitu kiter cari jalan untuk dekatkan golongan muda dengan masjid...

Memang.. kiter kena buat sikit kelainan... bukan setakat konsert.. tapi aderkan bengkel menunggang motor secara berhemah (sebagai contoh)..

Tambah sekarang nih ramai ader muda sedang kemaruk dengan basikal Fixie.. aper salahnyer kiter cari sorang pelumba basikal professional kiter bawakkan untuk bagi sikit ilmu basikal di Masjid...

Dengan cara nih kiter dapat dekatkan golongan muda dengan Masjid...

C++
CipanTapirTenuk.Blogspot