***************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Janganlah memuji dirimu
Janganlah anda memuji-muji diri anda sebagai orang yang suci dan bersih daripada dosa. Dengarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Ia (Allah) lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) daripada tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai-bagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah saja yang mengetahui akan orang-orang yang bertakwa." (An-Najm:32) - Hidayah Rabiulawal 1433/Februari 2012
****************
AKHIR-AKHIR ini kita dapat saksikan dunia kehidupan Barat sarat dengan permasalahan sosial; yang terbaru kematian artis pujaan ramai Whitney Houston pada usia 48 tahun, dikatakan berpunca daripada pengambilan dadah berlebihan.
Apa yang dilihat sebagai individu yang mencapai kemuncak kemasyhuran dalam pelbagai segi seperti Whitney dan penyanyi tersohor Michael Jackson, mendedahkan sisi buruk tamadun Barat yang seolah-olah mengiyakan bahawa ia berada di ambang kehancuran.
Permasalahan sosial Barat terlalu genting, ia menunggu masa untuk hancur; bagi kita hanya Islam yang kini berkembang pesat di Eropah dan Amerika Utara dapat menyelamatkan umat di sana, seterusnya orang Barat yang telah menerima Islam dapat mendaulatkan Islam, ia akan kembali mentadbir dunia. Benarkah Barat yang sudah Islam dapat muncul sebagai pentadbir baru dunia ini? Atau ini hanya satu ilusi, tidak berpijak di bumi nyata?
Bagi kita kemusnahan tamadun Barat dan di atas runtuhannya adalah kebangkitan Islam, mempunyai asasnya. Islam kini muncul sebagai agama paling pesat berkembang di sana; malah sudah muncul sebagai agama kedua terbesar di Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.
Barangkali ada orang melihat Barat dengan kehebatan kemajuan sains dan teknologinya, tetapi jangan lupa manusia Barat sudah lama menuju kehancuran, kini mencapai kemuncaknya apabila mereka yang ternama dan ada ‘segala-galanya’ seperti Whitney Houston dan Michael Jackson mati dalam keadaan terhina.
Manusia Barat yang tersedar daripada mimpi panjang sedang tercari-cari erti kehidupan; ramai individu masyhur sudah memeluk Islam. Mereka daripada orang ternama seperti Lauren Booth (adik ipar Tony Blair), wartawan Yvonne Ridley sehingga penyanyi antarabangsa Cat Stevens (Yusuf Islam) mendapat hidayah di tengah-tengah kebobrokan masyarakat Barat.
Kini perkembangan di dunia Timur termasuk di negara-negara Arab membawa sinar kemenangan kepada gerakan Islam. Kita percaya tempiasnya akan dirasakan di dunia Barat. Jika dulu pemerintah Barat dengan lantang menolak kemenangan pihak bernaunsa Islam seperti parti Barisan Penyelamat Islam (FIS) yang menang pada pilihan raya Algeria pada awal 1990a-an, hari ini mereka terpaksa tunggu dan lihat perkembangan yang membawa kemenangan kepada parti pendukung Islam di negara Arab seperti Mesir dan Tunisia.
Memang benar, kuasa Barat dengan kehebatan armada perang berteknologi tingginya dapat menduduki dengan mudah negara umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan tetapi sepanjang sejarah Islam, pihak yang mendominasi akhirnya akur kepada kehebatan agama penduduk rantau yang dikuasai. Misalnya, orang Mongol yang terkenal zalim dan kejam selepas memusnahkan Baghdad (empayar Abbasiyah) pada tahun 1258, melahirkan keturunan pemeluk Islam hebat yang telah membina beberapa kerajaan gagah di Asia Tengah. Pemerintah empayar Moghul di India yang masyhur itu juga berketurunkan orang Mongol yang zalim itu.
Bagi kita Barat dengan segala helahnya untuk menguasai dunia secara mutlak selepas hancurnya blok komunis pada 1990-an dulu, terus gagal sekalipun kerap memangsakan negara dan umat Islam dalam satu percaturan dinamakan Barat lawan Islam, dengan kemuncaknya pemburuan terhadap apa dituduh sebagai pengganas Islam selepas runtuhnya bangunan Pusat Dagangan Dunia dalam satu serangan pada September 2001.
Hari ini satu demi satu kepincangan dunia Barat yang terselindung di sebalik kecanggihan teknologi dan apa didakwanya kemodenan hidup; terserlah satu demi satu.
Barat kini dihuni manusia berpenyakit lemah jiwa, dibelenggu keruntuhan akhlak dan rapuhnya nilai-nilai rohaniah yang menyebabkan ia lemas di tengah-tengah pertarungan agama dan ideologi. Insya-Allah hanya Islam yang dapat menyelamatkan umat Barat ini.
1 comment:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Alhamdulillah! Sememangnya inilah pertemuan sulung kita; saya menemui artikel ini pada ruangan Berita-berita Terkini HarakahDaily. Justeru, terima kasih di atas artikel berfakta ini. Apapun, saudara tidak perlu risau kerana walaupun kelihatan 0 ulasan (comment), tetapi, insha Allah, ia akan tetap diikuti oleh mereka yang benar-benar berminat.
Benar lagi tepat; Islam sahaja tamadun penyelamat dunia. Mana tdaknya? Bayangkan, ketika peperangan melawan musuh sekalipun, prinsip perang itu sendiri jelas; bunuhlah mereka yang menentang sahaja, tawanan perang hanya diminta menebus diri, syiar agama pihak musuh seperti gereja dan kuil haram diceroboh, apatah lagi diruntuhkan, dan setelah berkuasa, mestilah berdamai, bukan menjajah walaupun dengan tertegaknya pentadbiran Islam. Mungkin masih banyak lagi yang saya jahil tentangnya, namun, rasanya dengan itu sahaja pun memadai untuk mengisyaratkan Islam adalah tamadun perdamaian dan kesejahteraan untuk semua, sesuai sekali dengan perutusan Nabi SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam. Begitulah juga dengan segala hukum-hakam serta peradaban yang digariskan Islam, dari sekecil-kecil dan remeh perkara seperti ke tandas, tidur dan bangun tidur, sehinggalah ke urusan hubungan insani sejagat dan antara hanba dengan Allah SWT, pasti berkesan menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran kiranya dihayati seluruhnya, sesuai dengan firman-Nya yang meminta agar kita menjadi Muslim Mu'min secara total.
Namun begitu, persoalannya, dengan pelaksanaan Islam oleh pentadbir "secular" yang Islam keturunanlah kesucian Islam telah dinodai. Ia diburukkan lagi dengan kedapatan segelintir mereka yang diiktiraf sebagai "ulama'" yang turut rakus terhadap keduniaan sebagaimana para pendita Yahudi dan Nasrani. Contohnya, gejala keruntuhan akhlak remaja sering dikaitkan dengan kecuaian ibu bapa secara langsung. Nah, bukankah mereka yang dalam kepimpinan itu sendiri juga, ibu dan bapa kepada anak-anak mereka? Sekaligus, bukankah mereka juga merupakan ibu dan bapa kepada rakyat yang dipimpin? Bukankah dengan penajaan program dan aktiviti hiburan melampau dan pentafsiran agama menurut pemikiran dangkal menyebabkan aqidah masyarakat runtuh, kesucian wanita dan gadis ternoda, bangsa jadi leka dan alpa terhadap ilmu, dan trillionan macam kejahilan dan keruntuhan?
Dengan itu, mari kita bersama kembalikan kegemilangan sejarah Islam dahulu untuk kini dan selamanya. Semoga usaha kita nan sedikit lagi tak seberapa ini dihitung antara kaedah jihad serta bukti pengabdian kita kepada-Nya sahaja. Menutup ulasan, eddddsekalung penghargaan dan jutaan maaf atas ketidakwajaran ulasan ini dan semoga kita bertemu lagi. Yang baik dan sempurna, hanya daripada dan milik-Nya.
Terima kasih.
Post a Comment