***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (ke hadapannya. Begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya, ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh, dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya." (Ali 'Imran 3: 30)
***
KITA tertarik dengan jawapan Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail yang apabila ditanya bersediakah menonton video seks yang dikatakan membabitkan suaminya, Anwar Ibrahim, bertegas menyatakan sebagai seorang Islam beliau tidak menonton filem lucah (terkini Wan Azizah dan keluarga melihat petikan video itu demi mencari kebenaran).
Jawapan tegas Wan Azizah walaupun nampak mudah, sebenarnya adalah kunci jawapan kepada masyarakat hari ini yang diselubungi aneka maksiat, jenayah dan fitnah termasuk menggunakan media massa. Jawapan Wan Azizah bolehkah ditafsirkan bahawa setiap orang, masyarakat dan negara perlu kembali kepada Islam bagi meraih kebahagiaan dunia dan akhirat.
Alangkah harmoninya jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam, setiap permasalahan yang dihadapinya akan diselesaikan dengan kaedah Islam. Bagi Wan Azizah, menonton filem lucah hukumnya haram, lantas beliau menolak untuk menontonnya. Bukankah kaedah hukum-hakam Islam ini mudah sekali, yang jelas haram usah dilakukan, yang sah dari segi syarak, buatlah. Setiap perbuatan manusia itu tertakluk kepada hukum-hakamnya – wajib, haram, sunat, makruh dan haram – jadi untuk selamat dunia dan akhirat caranya cukup mudah; patuhi ketetapan hukum.
Jika menonton filem atau video lucah hukumnya haram, apatah lagi menerbit, mengedar, menyiar video atau gambar lucah. Takkan kaedah mudah ini tidak diketahui oleh rakyat negara ini – daripada mereka yang serendah-rendah kedudukan sehinggalah ketua agama dan negara? Tentunya terhadap pelanggar hukum-hakam ini ada hukumannya; orang yang menonton filem lucah dikenakan hukuman sebegini dan demikian halnya dengan orang yang menerbit dan mengedarkan gambar lucah.
Begitu indah dan hebatnya Islam, sehingga hal seperti perlakukan seks membabitkan suami isteri juga ada hukum-hakamnya. Ada perlakukan seks yang wajib, ada yang haram, sunat, makruh, harus dan haram. Sebagai contoh haram melalukan hubungan seks ketika isteri haid dan makruh jika suami atau isteri sakit. Jika perlakukan seks suami isteri juga peraturannya; apatah lagi hukum terhadap perkara membabitkan seks yang jelas keharamannya.
Jika menonton video lucah adalah haram seperti ditegaskan oleh Wan Azizah, tentunya menerbit dan mengedarkan video dan gambar lucah adalah ‘terlebih’ haram dan pelakunya perlu dihukum seberat-beratnya. Demikian juga mereka yang menuduh orang lain melakukan hubungan seks haram (berzina), kesalahannya amat berat, mereka perlu mengemukakan empat orang saksi. Jika gagal, mereka telah melakukan qazaf, mereka perlu disebat sebanyak 80 kali.
Namun apa yang menghairan dan mendukacitakan kita, situasi ini tidak berlaku di negara kita. Penyebar fitnah termasuk penerbit dan pengedar video lucah masih tidak dikenakan tindakan sekalipun mereka mengaku melakukannya. Mereka bebas untuk berkata-kata, malahan dianggap wira pula oleh pihak tertentu.
Nampaknya, kegentaran terhadap kehebatan hukum-hakam Islam tidak ada, oleh itu semakin menjadi-jadilah aneka maksiat, jenayah dan fitnah. Kita amat bimbang segala kejahatan ini gagal dibendung sebaliknya berleluasa yang akan memusnah dan menghancurkan masyarakat seterusnya negara kita.
Jadi pada zaman penuh fitnah ini, kita berharap dan berdoa agar hukum-hakam Islam dapat ditegakkan. Sesungguhnya pada hukum Islam ini (hudud) ada kehidupan; inilah jalan bagi menyelamatkan manusia yang semakin parah jalan kehidupannya. Apabila manusia tidak dipandu oleh hukum-hakam Allah, mereka menjadi sesat; mereka bukannya tidak dapat mewujudkan tamadun hebat kerana rakaman al-Quran menyatakan kehebatan tamadun Aad, Tsamut dan sebagainya tetapi tanpa roh yang dapat menyelamatkan mereka dunia dan akhirat.
Apa yang kita bimbangi, adakah kisah kaum Aad dan Tsamut akan berulang di tanah air kita. Ya, bangunan dan infrastruktur lainnya begitu hebat tetapi penghuninya semakin jauh daripada Allah SWT kerana rakyat dan pemimpin terutama orang berkuasa, berpengaruh dan berharta semakin berani mempermain-mainkan hukum-Nya.
No comments:
Post a Comment