***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wahai orang-orang beriman, jauhi kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada antara kamu yang berbuat fitnah dan tuduhan sebahagian yang lain. Apakah ada antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat, Lagi Maha Penyayang." (Al-Hujurat, Ayat 12)
***
SEKARANG musim durian. Dengan duit yang saya ada, saya boleh makan durian sebanyak mana yang suka. Hakikatnya tidak begitu, selepas disahkan pesakit kencing manis sejak 10 tahun lalu, doktor yang kerap saya temui di sebuah klinik komuniti ketika menjalani pemeriksaan rutin, memberikan saya jadual pemakanan. Jika mahu makan buah-buahan boleh, tetapi hanya sepotong cuma sekali makan, kata doktor itu tegas. Bagi durian, bolehlah satu dua – tetapi bukan biji tetapi ulas!
Kadang-kala saya tidak peduli, kalau makan durian, saya makan dan terus makan. Masalahnya selepas makan kepala mulai bingung, rasanya macam mahu pengsan dan rebah ke bumi. Demikianlah nasib saya dan sebahagian besar insan lain, apabila duit mulai lebat dalam poket, makan pula dah tidak berapa boleh lagi. Dulu masa muda ketika berselera makan durian sebanyak mungkin, duit pula tak banyak dalam poket, jadi terpaksalah terkebil-kebil biji mata.
Jadi orang sufi berasa hairan mengapa manusia terlalu gila mahu menjadi kaya raya harta – bertimbun-timbun duit dalam bank. Duit itu bukan boleh digunakannya untuk makan sesuka hati, apabila semakin tua semakin kuranglah selera untuk makan apatah lagi selepas diserang penyakit biasa bagi kebanyakan orang veteran seperti diabetes (kencing manis), darah tinggi dan lemah jantung.
Orang tua makannya sedikit saja, jadi apa perlu duit bertimbun dalam bank. Ini kerana jika makan durian, dia boleh makan seulas dua saja; jika makan daging, juga secebis dua; dan jika minum, minum air kosong saja (tanpa gula). Ada pula yang lebih malang lagi, tak boleh makan makanan lazat-lazat termasuk nasi, yang boleh dimakannya roti kering saja. Jadi untuk apa duit banyak-banyak di bank itu?
Ada orang lagi tua lagi ligat mengumpul harta, kononnya senanglah mereka berbuat itu dan ini termasuklah berkahwin muda. Mereka tetap mahu berkuasa di puncak, terlalu leka menikmati keindahan dunia yang bagaikan syurgawi itu. Orang tua kahwin wanita muda memang bagus, kata seorang pemikir kerana dakwanya, “kalau kelapa tua (santannya) dipadankan dengan sayur muda barulah sedap lauk masakan” tetapi ingat-ingatlah kerana seorang pemikir lagi menyatakan betapa azabnya menjadi seorang tua berdasarkan rintihan seorang tua ini:
* Malam hari ketika aku diperlukan tidur (masa orang lain berdengkur) aku tak boleh tidur. Aku resah di atas tilam empuk. Pusing sana pusing sani, tidak dapat tidur juga. Malamku yang penuh resah, sungguh panjang sekali. Anehnya pada masa aku tidak diperlukan tidur misalnya pada majlis tazkirah atau zikir malah ketika solat, aku berdengkur pula. Kadang-kadang ketika ceramah di masjid, aku yang bersandar di tiang, tup-tup sedar majlis sudah habis…
* Kadang-kadang datang keinginan meluap-luap aku nak makan sejenis atau dua lauk. Aku pun kerah anak atau isteriku memasaknya. Mengidamlah tu Tetapi apabila aku cecahkan saja lauk itu ke dalam mulut aku, tidak pula terasa sedapnya. Selera aku nak makan tumpul sama sekali. Apabila ini berlaku, anak bini berkata aku mengada-ngada, nak makan itu dan ini tetapi selepas dimasakkan tak makan pula!
* Hajat aku besar, nak buat itu dan ini. Kata orang nafsu besar, tenaga tak da. Berhajat juga kahwin muda. Malah dah pun kahwin muda pun. Kepada seorang rakan baik aku membisik-bisikan hal ini. “Macam mana ini Mat, ‘dia hari.. harimau’ (hari-hari mau).” Mat menjawab gampang: “Kereta usia 70 tahun masakan padan dengan enjin 20-an!”
Demikianlah banyak azabnya menjadi orang tua, tetapi persoalannya apa yang mahu dibuat dengan duit yang banyak di bank itu? Itulah, tuntutlah ilmu, kalau ada ilmu tahulah hanya tiga perkara membawa manfaat kepada seseorang selepas dia mati iaitu anak salih yang mendoakannya, ilmu yang bermanfaat dan akhirnya sedekah jariah, jadi perbanyaklah sedekah sebelum mulut dipenuhi tanah. Nasihat ini bukan untuk pembaca saja, saya juga!
No comments:
Post a Comment