Monday, April 25, 2011

Memenangi hati manusia…

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya)." (Al-A'raaf Ayat 170)

***
SUATU malam ketika berdiri di sisi sebuah kaunter pertanyaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, saya terlihat sejumlah risalah mengenai bahaya merokok dan kaedah-kaedah bagi memberhentikan tabiat buruk itu. Saya mengambil risalah itu dan meneliti kandungannya.

Antara risalah itu adalah ‘Rokok Penyebab Kanser Paru-Paru’, ‘Klinik Berhenti Merokok’ dan ‘Quit Smoking Infoline’. Risalah-risalah itu diterbitkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada risalah tertentu ada tanda amaran yang menyatakan merokok menyebabkan kanser mulut, kelahiran pra-matang, kanser leher, gangrene, keguguran bayi dan kanser paru-paru berserta gambar-gambar yang dahsyat. Kemudian disertakan fakta menakutkan bahawa asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun, 53 daripadanya boleh mengakibatkan kanser.

Turut disertakan risalah dengan amaran bahawa merokok itu haram dalam Islam yang memetik fatwa daripada cendekiawan tertentu seperti Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi dan memetik ayat 195 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: “…janganlah kamu campakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan.”

Saya tidak tahu setakat mana kejayaan kempen berhenti merokok melalui pengedaran risalah ini dan juga kempen Tak Nak yang dilancarkan oleh kerajaan sedikit masa lalu yang menelan kos berjuta-juta ringgit. Namun berdasarkan pengamatan saya, perokok tegar tidak gentar dengan gambaran menakutkan yang tertera pada setiap kotak rokok seperti gambar mulut, leher dan paru-paru yang dihingapi kanser.

Saya percaya ramai penghisap rokok berhenti merokok bukan disebabkan gambaran menakutkan itu tetapi ada peristiwa yang menyentuh hati yang mencetuskan semangat untuk mereka berhenti merokok.

Di sini saya membawa kisah seorang perokok tegar yang berhenti merokok berdasarkan satu momen mengharukan sebagaimana diceritakan oleh Dr Muhammad ‘Abd Al-Rahman Al-‘Arifi dalam bukunya ‘Enjoy Your Life’ (Nikmati Hidup Anda) yang diterbitkan oleh Maktaba Dar-us-Salam yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi.

Kata Dr Muhammad, orang tersentuh hati jika kamu mendoakannya. Menurut beliau suatu hari pada bulan Ramadan, beliau diwawancara oleh sebuah stesen televisyen di sebuah hotel berhampiran Masjidilharam. Ketika rakaman dibuat, latar belakangnya adalah suasana sesak jemaah sedang beribadat di Kaabah.

Suasana begitu syahdu, kata Dr Muhammad, kecualilah gelagat si jurukamera. Dia memegang kamera pada salah satu tangannya manakala pada tangan lain menjepit rokok yang katanya tidak dapat dipisahkan daripada dirinya selepas waktu siang dia tidak dapat memenuhi ketagihannya. Perkara ini amat mengganggu Dr Muhammad kerana dia tidak tahan dengan asap dan bau rokok berkenaan. Bagaimanapun, katanya dia terpaksa bersabar selama sejam kerana wawancara itu dijalankan secara langsung.

Kata Dr Muhammad selepas rancangan itu berakhir, jurukamera itu yang masih menjepit rokok menyalaminya bagi mengucapkan terima kasih. Beliau segera memuji jurukamera itu kerana bersusah payah terbabit dalam sebuah rancangan keagamaan tetapi menegurnya mengenai tabiat buruk merokok itu termasuk menyatakan keharamannya.

Jurukamera itu menjawab: “Ya sheikh, tak guna tuan sheikh membazirkan masa tuan syeikh, kerana saya sudah menghisap rokok lebih 40 tahun. Darah saya sudah penuh dengan tar rokok. Tidak guna menasihati saya lagi.”

Dr Muhammad berkata: “Mahukah kamu jika saya mendoakan kamu? Mari ke sini. Lihatkah ke bawah sana, orang sedang bertawaf dan melakukan ibadat lain di dataran Kaabah. Mereka datang dari seluruh pelosok dunia mencari keampunan Allah. Mahukah kamu keampunan Allah?”

Beliau kemudian meminta jurukamera itu mengangkat tangan dan berdoalah dia dengan penuh perasaan yang dapat didengar dengan jelas oleh lelaki itu. Antara doanya, “Ya Allah, Kau ampunilah saudaraku ini, ya Allah Kau tinggikanlah darajatnya dan Kau satukan dia dengan orang dikasihinya di syurga-Mu.”

Dr Muhammad berkata dia menyambung doa itu sehinggalah si jurukamera itu menangis, merintih-rintih meminta ampun kepada Allah, dan beliau mengakhiri doa itu dengan berkata: “Ya Allah jika dia berhenti merokok, terimalah doanya; jika tidak, jangan terima doanya.”

Mendengar pengakhiran doa itu, lelaki itu menangis teresak-esak, berlari meninggalkan bilik itu. Sungguh menakjubkan beberapa tahun kemudian si jurukamera pada satu majlis datang menemui Dr Muhammad, mencium tangannya.

Si jurukamera berkata kepada Dr Muhammad: “Ya sheikh, terima kasihlah banyak-banyak kerana sejak peristiwa malam itu saya tidak pernah lagi memasukkan rokok ke celah bibir saya ini!”

Demikianlah manusia berubah kerana hatinya ‘dapat digerakkan’ (tersentuh). Namun tidak mudah melakukannya seterusnya memenangi hati seseorang untuk berubah. Bagaimana hebat pun kempen, kalau hati tidak berubah, tidak ada apa dapat dilakukan.

Berdakwahlah secara bijaksana dan yang paling penting berdoalah kepada Yang Maha Kuasa kerana Dialah yang mengubah hati manusia sama ada menuju cahaya-Nya atau sebaliknya.

No comments: