Thursday, April 21, 2011

Pukul meja, bukan murid

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

RENUNGAN
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa yang membuat kejahatan, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya." (Az-Salzalah: 7-8)
***

TERKINI masyarakat heboh memperkatakan tentang guru selepas seorang murid berusia 7 tahun di Perlis didakwa didera seorang guru disiplin sehingga membawa kematiannya manakala seorang guru perempuan pula ditumbuk hingga patah hidungnya oleh seorang muridnya yang berumur 14 tahun.

Penulis yang pernah menjadi guru sementara dan tuisyen malah sehingga kini berterusan bergelumang dengan anak-anak murid (ketika ini penulis mengajar bahasa Inggeris dan Matematik kepada pelajar di sebuah sekolah tahfiz selama dua jam setiap hari Ahad), mengakui tidak mudah menangani murid-murid zaman sekarang yang begitu terbuka dan terdedah kepada gejala dunia luar termasuk melalui media massa dan internet.

Lagi pun anak-anak penulis berada dalam peringkat umur persekolahan, jadi persoalan mendisiplinkan anak-anak adalah sama seperti mendisiplinkan anak-anak di tahfiz yang penulis anggap sebagai anak sendiri. Sebagai pendidik; mengajar satu hal, mendisiplinkan anak-anak satu hal. Kedua-duanya perlu berjalan serentak barulah dapat disalurkan ilmu kepada anak-anak.

Jika menjadi guru sementara sebuah sekolah menengah di Melaka pada tahun 1982 dulu, anak murid akan menyambut penulis di kelas dengan ucapan ‘Selamat Pagi Cikgu’, di kelas tuisyen dan tahfiz, mereka memberikan salam dengan kemudian membaca Surah Al-Fatihah dan doa belajar, penulis sedar wujud satu keperluan yang sama di mana-mana; murid-murid perlukan rotan untuk didisiplinkan. Malah di rumah sendiri pun, rotan adalah perlu untuk mendisiplinkan anak-anak.

Di rumah, penulis memang menyediakan rotan. Rotan digantung di dinding. Namun rotan itu kerap tiada di tempatnya, anak-anak penulis yang nakal sentiasa memindahkannya ke tempat lain agar penulis sukar mencarinya apabila diperlukan. Di tahfiz juga disediakan rotan. Jadi rotan sudah ada, menunggu masa untuk membalun anak-anak atau anak murid.

Hakikatnya sepanjang penulis menjadi bapa atau guru, rotan-rotan itu tersangat sedikit sekali hinggap di tapak tangan, punggung atau kaki anak-anak. Mungkin ia boleh dibilang dengan jari. Apa yang berlaku walaupun penulis kerap memegang rotan di tangan, rotan itu tidak dipukulkan ke atas tubuh murid, sebaliknya dihalakan ke meja, kerusi dan papan hitam, hijau dan putih. Ada kalanya kerana terlalu geram, rotan yang dipakai hancur. Bunyi rotan menghentam papan putih atau meja usah cakaplah, berdesing-desing cukup untuk menakutkan anak-anak murid.

Benar, mendisiplinkan anak-anak di kelas bukan perkara mudah. Sedang kita begitu bersemangat mengajar, ada secara tiba-tiba keluar bilik darjah; seorang dua meminta izin untuk ke tandas dan kemudian beramai-ramai pula ke tandas, jadi apakah halnya sedang kita bagaikan nak rak menerangkan perkara-perkara yang kita fikirkan susah yang memerlukan kehadiran mereka untuk memahaminya.

Murid-murid zaman sekarang ini pula seolah-olah tidak makan saman. Mulut mereka sukar ditutup, mereka asyik menceceh saja. Cikgu dengan penuh perasan memberi penerangan di depan kelas, mereka ‘bok- bek’ yang tidak habis-habis. Apabila dijerkah suruh diam, mereka senyap sebentar kemudian menyambung sok-sek mereka. Jika diikutkan geram, dengan adanya rotan di tangan, nescaya lumat budak-budak itu dikerjakan tetapi seperti yang penulis nyatakan, hentamlah saja meja, hentamlah papan putih sekuat hati bagi melepaskan geram. Insya-Allah apabila melihat cikgu sudah naik angin, mereka akan diam, tetapi masalahnya sebentar saja selepas itu mereka kembali bising.

Demikianlah, pada pandangan penulis kehadiran rotan dapat membantu guru-guru atau ibu bapa dalam mendisiplinkan anak atau anak-anak murid masing-masing. Kehadiran rotan di rumah memberi aura tersendiri, ia menjadi simbol disiplin; dengan mengerlingnya saja yang tergantung di dinding anak-anak sudah mengerti, apabila bapa aku naik angin dan mengangkat rotan itu nahaslah diriku, jadi setiap kali terlihat rotan itu terhalanglah mereka daripada membuat perkara-perkara yang tidak disukai ibu bapa masing-masing.

Jika diperhalusi, rotan amat rapat dengan ilmu disiplin (pendidikan) dan kaedah menghukum dalam Islam. Seorang pemuda dan pemudi (belum berkahwin) jika didapati bersalah berzina, hukumannya adalah disebat dengan rotan 100 kali, demikian juga pesalah qazaf dirotan 80 kali. Ini menunjukkan rotan adalah alat berkesan bagi memberi pengajaran dan mendidik manusia.

Namun pada hari ini tidak tahulah saya sama ada rotan masih digunakan di sekolah, sekurang-kurangnya sebagai simbol disiplin. Bagi saya alangkah baiknya jika setiap guru dibekalkan rotan, melihatnya saja anak-anak murid sudah takut; ia menjadi alat untuk mendisiplinkan mereka. Tetapi seperti yang saya tegaskan, guna rotan biar bertempat; apabila cikgu naik angin hentamkan saja rotan itu di meja dan papan hitam. Biar rotan itu hancur di meja, jangan anak murid yang hancur!

Saya katakan rotan adalah antara alat bantuan mengajar yang terbaik kerana saya pun pernah kena rotan tiga kali di punggung oleh pengetua ketika di sekolah menengah dulu! Ahh itu kisah lama, puluhan tahun dulu; kini saya pula berpeluang merotan meja dan papan putih!

1 comment:

Siti Crystal said...

zaman skg kalau guru merotan murid2 pasti kebalai polis jwbnya...