Monday, April 18, 2011

Akhbar layak jadi pembungkus ikan…

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Kebusukan dunia adalah kerana maksiat
Abu Darda' r.a. berkata: "Kebusukan dunia adalah kerana maksiat yang banyak terjadi, dan tidak akan mendapat apa yang di sisi Allah, melainkan dengan meninggalkannya." - Hidayah, April 2011
***

PAGI Selasa, 5 April lalu saya ke pasar besar. Ketika membeli di sebuah gerai, penjual sambil menimbang ikan menunjukkan ke arah muka depan akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan beberapa keping gambar hampir bogel seorang lelaki didakwa menyerupai Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Penjual itu berkata: “Kertas surat khabar itu layak dibuat pembungkus ikan saja. Nanti lepas saya baca, saya akan gunakan untuk bungkus ikan.”

Beliau berkata akhbar itu tidak boleh dibawa pulang kerana bimbang kesan buruk daripada penyebaran gambar tidak bermaruah itu kepada anak-anaknya.

“Daripada mereka tidak tahu, nanti jika mereka bertanya akan gambar-gambar itu, susah juga saya nak menjawabnya,” katanya. Beliau cukup bimbang penyebaran gambar berkenaan akan mendatangkan kesan buruk kepada tiga anaknya yang berusia 7, 9 dan 11 tahun.

Demikianlah akhbar tanah air kita terutama yang berbahasa Melayu sudah jauh terpesong daripada landasan kewartawanan yang antara lain untuk memberitahu (sebagai sumber maklumat) dan mendidik orang awam. Ada pihak menyamakan akhbar sebagai guru; berdasarkan ini adakah akhbar-akhbar menjalankan tanggungjawab mereka dengan wibawa atau mereka dapat disifatkan sebagai ‘guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari’?

Jika guru dapat mengajar 30-40 murid pada satu-satu masa dalam kelas, akhbar berpengaruh yang edarannya mencecahkan 200,000 naskhah sehari berpotensi menjadi pengajar kepada sehingga sejuta orang. Bayangkan kesannya apabila sejuta orang terutama di kalangan generasi muda telah melihat gambar tidak bermaruah berkenaan.

Seorang pelajar memberitahu penulis, di sekolahnya (pelanggan akhbar berkenaan), berlaku kegemparan pada hari itu apabila murid-murid berebut-rebut menatap akhbar berkenaan. Keadaan ini memalukan sejumlah guru yang memandang senario itu dari jauh. Sungguh kurang ajar, akhbar yang menayangkan gambar bogel dibenarkan berada dalam kawasan sekolah.

Perlakukan lucah dan kurang ajar penerbit dan peneraju akhbar ini tidak boleh dibiarkan kerana akan merosakkan anak bangsa yang kini sudah tenat ditimpa pelbagai kemelut seperti penyalahgunaan dadah, pembunuhan, perompakan, pemerkosaan, perzinaan dan berleluasanya rasuah. Dengan penyebaran dan pendedahan gambar dan berita yang jauh terpesong ini, dikhuatiri akan mengundang bala daripada Allah SWT yang menyebabkan semua orang dan pihak; sama ada bersalah atau tidak, dimusnahkan oleh-Nya.

Jika kita menyoroti sejarah perkembangan dunia persuratkhabaran tanah air, kelahiran akhbar-akhbar awal seperti Jawi Peranakan dan Idaran Masa adalah untuk menyemarakkan semangat perjuangan anak bangsa; kemudian akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu adalah bagi meningkatkan semangat ke arah kemerdekaan manakala akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah bagi mengisi kemerdekaan itu; tetapi hari ini akhbar-akhbar berkenaan seolah-olah sudah menjadi suara satu parti yang mahu mencari kemenangan kepada pihaknya sekalipun terpaksa menggunakan bahan menjijikkan bagi memburuk serta menjatuhkan pesaing politiknya.

Selain akhbar arus perdana yang diperkudakan bagi tujuan politik yang amat buruk, kini hadir juga akhbar-akhbar tabloid harian sensasi yang bergantung kepada berita-berita sensasi, gosip dan gambar artis tidak senonoh bagi meningkatkan jualan. Dengan tersiarnya gambar-gambar lucah berulang kali, apakah ia bermakna kebanyakan karyawan (pekerja) dalam media massa termasuk persuratkhabaran sebenarnya sudah mati cahaya keIslaman mereka?

Apakah mereka tidak peduli akan perasaan pembaca? Mungkinkah yang penting bagi mereka asal surat khabar laris sudahlah, lebih banyak surat khabar laku, lebih besar peluang mereka untuk mendapatkan bonus. Dan juga nama yang masyhur dan pujian kerana dapat memuaskan tuan politik masing-masing. Peneraju akhbar seperti pengarang (termasuk wanita sendiri) tidak malu langsung menyiarkan gambar artis wanita Melayu/Islam yang sengaja menunjukkan alur payu dara, menayangkan paha gebu artis atau yang lebih daripada itu.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang menyebabkan karyawan akhbar kita semakin terhakis tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim sejati. Bagi kebanyakan karyawan yang bekerja di syarikat-syarikat akhbar besar, mereka berkelulusan tinggi, sebahagian besar daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda daripada institusi pengajian tinggi.

Jadi setakat mana nilai kehidupan mereka ini sehingga sanggup mengetepikan hukum-hakam agama, ataupun mereka sendiri tidak tahu perbuatan mereka itu salah di sisi agama?

Apakah karyawan-karyawan akhbar ini tidak sedar, hasil pendapatan mereka daripada memperagakan gambar-gambar tidak senonoh dan berita fitnah itulah yang akan dijadikan modal untuk diberi makan kepada anak isteri.

Tidakkah mereka tahu setitik darah yang dihasilkan daripada sumber pendapatan haram, mereka telah mendedahkan anak isteri ke jurang neraka yang bahan bakarnya adalah batu-batan dan manusia sendiri. Jadi kepada karyawan akhbar dan majalah, termasuk diri saya sendiri, bertaubatlah; marilah kembali kepada Islam untuk selamat dunia dan akhirat!

2 comments:

Blog Tuan Hamba said...

ASLKM. SAYA SETUJU DENGAN ARTIKEL YANG DI TULIS INI. SEMOGA MEMBERI KESEDARAN KEPADA PARA PEMBACA.

Lanh Sr. said...

waalaikumusalam, terima kasih saudara hasan,

LanH 012-6185560