Monday, September 6, 2010

Padam sudah sebuah pelita silaturrahim

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Apabila salah seorang kamu telah menunaikan sembahyang (fardu) dalam masjid, maka baik pula ditunaikannya sembahyang sunat di rumahnya, kerana dengan sembahyang itu Allah akan memberikan kebahagiaan dalam rumah." (Sahih Muslim)
***

SABAN tahun setiap penghujung Ramadan pasti saya menerima sepucuk kad hari raya daripada Mohamad Ali Md Said, sahabat lama saya ketika belajar di kampus UiTM, Shah Alam dan juga ketika mula bertatih-tatih dalam dunia pekerjaan di Melaka.

Tetapi kali ini, kad daripadanya tidak mungkin lagi sampai ke tangan saya; saya diberitahu seorang rakan di Melaka bahawa Mohamad Ali sudah meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Sungguh mengharukan, kad raya Allahyarham pada tahun lalu, masih saya simpan, tertera di kad raya keluarganya antara lain ditulis; Salam Aidilfitri daripada Mohamad Ali bin Md Said, Zainun binti Sulaiman (isterinya), Danial bin Mohamad Ali dan Syaza binti Mohamad Ali dengan alamat rumah mereka di Lorong Pandan, Melaka.

Saban tahun, yang mula menghantar kad adalah Mohamad Ali, saya hanya membalasnya. Ertinya setiap kali Ramadan dan Aidilfitri dia mengingati saya, tetapi saya entahlah, mungkin saya seorang manusia yang terlalu mementingkan diri atau terlalu sibuk dalam dunia tersendiri sehingga tiada masa mendahuluinya menghantar kad.

Kini apabila Mohamad Ali tiada lagi, pada hari-hari terakhir Ramadan ini saya terkenangkan akan dirinya. Berdoalah saya agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman, semoga Allah SWT merahmati beliau; manakala saya yang masih ada di alam fana, terdetik di hati bila pula akan dipanggil ke sana.

Kepada keluarga terutama anak isterinya, saya doakan banyak-banyak bersabar; kalian telah kehilangan insan paling dikasihi, marilah sama-sama berdoa bagi kesejahteraannya di alam sana. Saya pula kehilangan seorang sahabat yang tidak mengenal jemu, ibarat sebuah pelita atau lilin dalam menyinari ikatan silaturrahim sesama sahabat terutama pada hari dan bulan penuh barakah ini.

Selain Mohamad Ali, seorang lagi insan yang saban tahun setia mengutus kad raya kepada saya adalah Mohmad Hatta Aziz dari Jalan Parit Haji Baki, Muar, Johor. Saya tidak mengenalinya secara peribadi, tetapi ungkapan yang ditulisnya membayangkan wujud komitmen yang sama antara dia dan saya.

Pada kad mutakhir ini, antara lain, beliau menulis: “Semoga kehadiran Ramadan ini memberi kekuatan daya spiritual dan intelektual kepada para pejuang dan pencinta agama Allah.

“Mudah-mudahan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, parti Islam yang kita perjuangkan akan beroleh kemenangan dan bantuan Allah SWT, Tuhan empunya alam semesta. Semoga hasrat kita untuk melihat undang-undang al-Quran tertegak di bumi Malaysia akan menjadi nyata.

“Akhir kalam, salam Aidilfitri buat LanH sekeluarga, semoga hadirnya bersama rahmat dan kasih sayang Allah dalam memautkan hati-hati insan untuk berteduh di bawah pemimpin yang berjiwa Islamik, semoga ia bukan mimpi tetapi suatu kenyataan. Amin.”

Pada Ramadan yang mulia ini saya terkenang-terkenang betapa banyaknya jasa orang pada diri saya, tetapi seperti saya nyatakan sebelum ini saya bukanlah jenis orang yang mudah melafaz ucapan terima kasih dengan menghantar kad, hadiah, jambangan bunga dan sebagainya. Mungkinkah ini kelemahan saya yang perlu dikoreksi dan dibenamkan mulai Ramadan ini?

Selain pengorbanan anggota keluarga seperti ibu bapa, adik beradik dan isteri, ada peristiwa membabitkan orang luar ketika Ramadan kali ini, mengajar saya akan erti kasih sayang sesama manusia; betapa dalam dunia ini terlalu ramai yang baik hati mengalahkan insan-insan berhati kering yang kerap dipaparkan media massa seperti bapa membunuh anak, suami menyimbah asid ke muka isteri atau gadis membuang bayi di tepi longkang. Kisah kebaikan hati insan jarang dipaparkan, yang kerap disiarkan akhbar adalah kisah kejelekan manusia.

Suatu tengah hari Ramadan ini, motosikal yang sedang saya tunggangi rosak. Maka terpaksalah saya menolaknya di sebelah tepi jalan, mencari bengkel. Baju saya mulai lencun, tetapi sebentar kemudian seorang anak muda datang, bertanya apa masalah saya dan apa bantuan yang boleh dihulurkan.

Setelah mengenal pasti kerosakan, pemuda itu yang turut membawa isteri dan seorang anak kecil yang ‘tersepit’ di celah mereka, meminta saya menaiki motosikal saya lantas dia menolak kenderaan itu dengan kakinya. Dia melakukan begitu sehinggalah saya sampai ke destinasi. Cuba bayangkan dalam seminit dua, pertolongan itu telah datang, pemuda itu sanggup bersusah payah bagi memastikan kesejahteraan saya. Tidakkah itu suatu nilai kemanusiaan yang amat tinggi, yang wang ringgit pasti bukan ukurannya?

Ramadan ini juga menemukan saya dengan seorang tukang masak si pembuat bubur lambuk di kampung seberang kampung saya yang baik hati. Walaupun saya hanya sesekali mengambil bubur daripadanya, saya amat-amati dia begitu tekun bekerja, dari pagi hingga ke petang dia melakukan persiapan sehinggalah kepada kerja menanak dalam suasana panas, semata-mata bagi berbakti kepada orang ramai.

Sekali-sekali peluh yang menitik di dahi, dilapnya, mukanya kemerah-merahan kerana menanggung kepanasan api. Namun dia tetap setia di situ dari pagi hinggalah ke petang. Alangkah mulia hatinya, sanggup bersusah payah bagi kesenangan orang lain.

Di pejabat pula, ketika Ramadan ini, ada saja orang yang ‘sponsor’ jamuan berbuka puasa. Mereka yang tidak dikenali ini, mahu memanfaatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani bahawa Nabi s.a.w. bersabda: ‘Barangsiapa yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa maka ia mendapat pahala sama dengan orang yang berpuasa sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurangan sedikit pun’.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Demikianlah kisah-kisah hebat dan mulia ini sering berlaku, malangnya ia jarang dihebahkan media; yang memonopoli dada-dada akhbar adalah laporan negatif seperti keganasan, pembunuhan dan pendedahan tubuh badan. Apabila ini kerap ditonjolkan, terbentuklah masyarakat kita yang semakin rosak sebaliknya jika nilai kebaikan menjadi keutamaan, bunga-bunga kebahagiaan dirasai, jika tidak, tercium oleh semua orang!

1 comment:

Penaja Bani Sa'at said...

In nalillahi wa in na ilaihirajeun.
Saya sekampung dg. sdr. tetapi masih belum bersua muka. Saya tertarik dg. tulisan sdr. bertajuk di atas. Saya tidaklah bagitu arif dlm. agama apakah mengutus kad hari raya digalakan dlm.Islm? Saya tak kata ianya "UNISLAMIC". Tapi TGNA ada menghantar kad ucapan hari raya melalui fb beliau.Akhir-akir ini saya pun kurang menhantar kad hri raya oleh umur telah lewat,mngkin saya rasa itu semua urusan mudamudi.Saya ada mempunyai blog sendiri semata-mata bersilaturrahim dg. kaum kerabat sahaja. Tajuk blog saya ialah 'SILATURRAHIM'melalui www.aminrm.blogspot.com.Saya memang minat dg. tulisan sdr. apabila ada kelapangan saya layari blog. sdr. Ada beberapa ketika saya ingin sangat berdakwah kpd. anak melalui cedukan blog sdr. ttetapi tak berjaya kerana saya kurang arif dg. mekanisam ICT.Cuma saya syukanagar melayari blog sdr. TK.