***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Firman Allah Taala: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu apabila disebutkan Allah nescaya gementarlah hati mereka ketakutan (laksana hati jadi jilah bersih dan hidup)." (al-Anfhal, ayat 2)
***
KETIKA tumbangnya rejim Najibullah di Afghanistan pada 1992, dunia Islam berharap kerajaan baru Mujahidin yang ditubuhkan di Kabul akan menjadi contoh kegemilangan tamadun Islam zaman moden.
Ditambah kemunculan enam republik Islam di Asia Tengah (Azerbaijan, Turkmenistan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kazakhstan), selepas kehancuran Soviet Union pada 1991, harapan kembali berbunga bahawa tamadun Islam akan kembali bersinar selepas hancurnya daulah Islamiyah Uthmaniyah Turki pada 1924, gara-gara 'permainan licik' Kamal Ataturk.
Malangnya impian itu menjadi igauan apabila Afghanistan menjadi 'neraka dunia'. Penduduknya yang sudah melalui kesengsaraan perang berikutan campur tangan Soviet Union terus menderita. Kali ini di tangan saudara seagama dan kemudian oleh si penjarah Amerika.
Di Afghanistan, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang diamanahkan untuk memastikan sejahteraan ummah, gagal meleraikan kumpulan Mujahidin yang bertelagah. Pada awal dekad 90-an, ketua kumpulan Hizb-I-Islami, Gulbuddin Hekmatyar terus memerangi Presiden Burhanuddin Rabbani sekalipun diberikan jawatan perdana menteri.
Kemunculan kumpulan pelajar, Taliban adalah di luar jangkaan, tetapi mereka mendapat sokongan rakyat. Pada pertengahan dekad 90-an, mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan bumi Afghanistan.
Kesungguhan Taliban melaksanakan hukum-hakam Islam, menyebabkan mereka dicemburui Barat. Suatu ketika tindakan mereka menghancurkan patung purba Buddha di Bamiyan, mencetuskan kemarahan dunia Barat.
Apabila tercetus Peristiwa 11 September 2001, tidak semena-mena Taliban menjadi sasaran. Taliban didakwa melindungi pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden. Lanjutan dendam Barat kepada Taliban, Amerika menggunakan kesempatan itu untuk 'menguji' senjata-senjata canggihnya di bumi yang hampir musnah itu.
Hasilnya Afghanistan hancur tetapi Amerika dengan bongkaknya berkata demokrasi sedang berkembang selepas meletakkan bonekanya, Hamid Karzai sebagai presiden.
Tidak cukup dengan kemusnahan Afghanistan, Amerika terus 'melanyak' sebuah lagi negara umat Islam - Iraq. Sama seperti Afghanistan, rejim Saddam Hussein juga tumbang dengan mudah.
Jentera perang Amerika jelas tiada tandingan jika perang berlangsung secara berhadapan. Pengajaran Perang Vietnam mungkin menjadi perangsang pejuang Iraq menggunakan taktik perang gerila yang menyaksikan korban besar di kalangan tentera Bersekutu akhir-akhir ini.
Kehancuran Iraq (satu-satunya negara Arab dan umat Islam) yang pernah membedil Israel dengan peluru berpandu Scud ketika Perang Teluk 1991, menyebabkan rejim Zionis itu semakin sombong dan ganas.
Seorang demi seorang pemimpin Palestin dibunuhnya. Hasil buruan terbesar mereka ialah syahidnya pemimpin Hamas, Sheikh Ahmad Yassin dan Abdel Aziz Rantisi.
Dunia hari ini menyaksikan seluruh negara umat Islam hilang 'maruah'nya. Daripada Libya yang terkenal dengan sikap anti-Baratnya sehinggalah kepada Arab Saudi yang sejak dulu lagi pro-Barat, semuanya mempamerkan 'ketakutan' yang amat sangat kepada Washington.
Malah ada negara umat Islam sudah mengamalkan kurikulum pendidikan dengan nasihat pakar-pakar Amerika. Konsep jihad dihapuskan daripada buku-buku teks sekolah. Universiti Al-Azhar yang menjadi mercu kehebatan tamadun Islam juga tidak terlepas daripada pemantauan Washington.
Ketika seluruh umat Islam yang cintakan agamanya terkapai-kapai, OIC terus dengan retorik dan sidangnya yang tidak habis-habis.
Kini darah ummah terus membasahi bumi Palestin, bumi Iraq, bumi Kashmir, bumi Afghanistan, bumi Chechnya, bumi Uzbekistan, bumi Xinjiang, bumi Mindanao, bumi Aceh dan akhir-akhir ini bumi Ambon dan selatan Thailand.
Bagi kebanyakan ummah prihatin, hanya doa dan air mata yang mampu mereka hadiahkan bagi mengiringi pejuang-pejuang Islam di mana saja mereka berada.
Kepada yang lain, terutama pemimpin-pemimpin negara umat Islam, 'teruskan tidur anda yang panjang' itu dan biarkanlah anak-anak anda (generasi muda) hanyut dengan gaya hidup yang 'mengidolakan' 'Winston, Carlsberg, Levis, Texan, KFC, McDonald's, Bollywood, Hollywood, Sureheboh, Empat Nombor Ekor' dan 'yang sewaktu dengannya'
No comments:
Post a Comment