***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi pada penghujung setiap solat fardu (iaitu selepas solat), tidak akan menegahnya daripada masuk syurga melainkan ianya meninggal dunia." - Hadis diriwayatkan oleh Imam Nasai' dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Abu Umamah.
***
CUTI Aidilfitri yang panjang memberi kesempatan kepada saya menatap lambakan buku di rumah saya. Entah kenapa kali ini saya tertarik dengan buku-buku karangan Allahyarham Hamka termasuklah Tafsir Al-Azhar daripada Juzuk 1 sampai 30 yang telah saya himpun sejak puluhan tahun lalu.
Apabila mengulang pembacaan kitab karangan Hamka, sedarlah saya bahawa apa ditulis Allahyarham adalah relevan dengan perkembangan semasa termasuklah tribulasi yang terpaksa dilalui rakyat yang berusaha bergerak di jalan lurus seperti perjuangan menegakkan keadilan dalam masyarakat.
Hamka atau nama sebenarnya, Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Prof, Dr) sudah lama meninggalkan kita (kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di Jakarta), tetapi mutiara ditinggalkannya begitu berkesan di hati. Dalam salah satu bukunya ‘Lembaga Hikmat’ (terbitan Pustaka Dini), antara lain beliau menulis mengenai penderitaan batin orang kaya, besar dan ternama. Apabila mengulang baca buku ini, mahu tidak mahu saya mengaitkannya dengan kisah kematian ngeri jutawan komestik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lain yang ada kaitan dengan beliau.
Ternyata kaya, berkuasa dan masyhur itu bukanlah faktor kebahagiaan, persoalannya mengapa perkara ini menjadi buruan orang? Dalam bab ‘Kehidupan Batin Dari Orang Besar’ dalam ‘Lembaga Hikmat’, antara lain Hamka menulis: “Meskipun pada penglihatan orang-orang di luar, raja-raja besar itu hidup dalam kemewahan dan kemegahan, namun pada adatnya, kemewahan dan kemegahan itu hanya nampak dari luar saja. Banyak sekali orang-orang demikian menanggung kesengsaraan dan kesusahan yang tiada terperikan.”
Namun dalam menjalani penghidupan di dunia yang singkat ini (hadis menyatakan tempohnya bagaikan seorang pengembara berteduh di bawah sebatang pokok sebelum meneruskan perjalanan jauh), manusia melakukan pelbagai tipu muslihat untuk menumpuk kekayaan dan menempa kemasyhuran.
Ada penipuan dilakukan secara terang-terangan, seolah-olah sah dari segi undang-undang. Disebabkan rutin kehidupan saya berkaitan dengan pengangkutan awam (terutama bas ekspres), saya akan mendedahkan bagaimana sebuah syarikat ternama membolot kesempatan untuk menjadi kaya raya di atas penderitaan orang ramai.
Syarikat bas ekspres yang saya maksudkan mengenakan surcaj musim perayaan sebanyak 10 peratus bagi hampir perjalanan basnya. Surcaj ini sebenarnya hanya boleh dikenakan melalui khidmat bas tambahan tetapi syarikat berkenaan telah memperdaya penumpang, menyatakan khidmat bas bagi perjalanan biasa telah habis ditempah, jadi orang ramai perlu membayar lebih bagi bas tambahan yang kononnya bertolak lima minit lambat daripada jadual asal.
Misalnya jadual asal perjalanan adalah 8.00 malam tetapi pada tiket dicop 8.05 malam, sedangkan bas itu bukan bas tambahan tetapi bas asal yang sepatutnya bertolak jam 8.00 malam. Sebagai penumpang setia yang hampir setiap hari menggunakan perkhidmatan syarikat bas berkenaan, saya boleh sahkan bas itu bukan bas tambahan; tiada dua bas bergerak hampir serentak.
Jika sebuah bas membawa 35 penumpang, dengan mengekanakn surcaj RM2 setiap penumpang, wang haram sebanyak RM70 sudah dikutip; kalau dalam sehari ada 20 perjalanan bagi sesuatu destinasi maka duit haram sebanyak RM1,400 sudah dikutip. Jika 10 hari surcaj dikenakan, duit haram (yang diperah daripada penumpang) yang ditompokkan sudah menjadi RM14,000. Itu bagi satu destinasi, jadi bayangkan berapa banyak wang dapat dikumpulkan jika syarikat perkenaan menjalankan perkhidmatan ke 10 destinasi manakala surcaj lebih tinggi dikenakan bagi perjalanan lebih jauh (misalnya RM5 bagi tiket RM50).
Demikianlah keghairahan manusia termasuk syarikat menipu untuk menumpuk kekayaan dan membina kemasyhuran, tetapi hakikatnya untuk apa? Seperti dinyatakan, hidup ini adalah singkat saja sedangkan harta bertimbun dan kemasyhuran tidak mampu membawa manusia ke tingkat kebahagiaan, bahkan membawa kepada kesengsaraan hidup dan kemusnahan semata-mata!
Seorang rakan membawa nasihat menginsafkan bahawa kenikmatan sama ada dari segi kepuasan nafsu makan minum, pemilikan harta benda, seksual dan keperluan duniawi lain hanyalah bersifat sementara yang pada bila-bila masa boleh ditarik Allah SWT dalam sekelip mata.
Katanya, apa guna makanan dan minuman begitu lazat dilambakkan di meja sedangkan awak sudah dihinggap kencing manis atau lebih parah lagi apabila pelbagai penyakit sudah bersarang dalam tubuh? Demikian juga dengan duit bertimbun-timbun dalam akaun bank sedangkan untuk makan seulas durian pun anda tidak boleh?
Selain menipu dan merompak untuk membina kekayaan ada orang bersifat lebih dahsyat iaitu memfitnah orang dalam membina kekuasaan dan kemasyhuran diri yang sudah pasti bagi memuaskan nafsu alat antara lutut dan pusat (tentunya nafsu makan dan seksual).
Berhubung perkara ini Hamka yang telah dipenjarakan selama dua tahun lebih oleh rejim Orde Lama Sukarno, menulis dalam kitabnya, Tafsir Al-Azhar, Juzuk 1: “...manusia-manusia berjiwa kecil, yang menyangka bahawa dengan berbuat dan menyusun fitnah, hasad dengkinya bisa (boleh) dilepaskan, yang merasa diri BESAR kerana pangkat, akan kembali menjadi kepinyuk kecil setelah pangkatnya ditanggalkan daripada dirinya...Zaman bergilir, ada yang naik dan ada yang jatuh, dunia tiada kekal.”
Maka relevan sungguh apa yang diperkatakan Hamka jika kita amat-amati pelbagai peristiwa mutakhir di negara kita ini. Kita dapat saksikan bagaimana seorang ketua sebuah organisasi keselamatan, terpinga-pinga apabila dilucutkan jawatannya.
Bagi orang perjuangan amat-amati apa ditulis oleh Hamka ini agar mereka sedar sama ada perjuangan masing-masing berada di landasan benar atau tidak. Kata Hamka: “Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengatakan, bahawanya tanda alamat orang yang berjalan atas yang hak ialah apabila dia mati dihantarkan jenazahnya ke pusaranya oleh ribu-ribu manusia, dengan sukarelanya sendiri.”
Tentunya kita tidak tahu bagaimana keadaan masa kita mati nanti, tetapi kita boleh merasakan naluri hati sendiri sama ada ramai orang akan bersedih dengan kematian kita atau mereka tertawa gembira kerana kejahatan kita sudah berakhir dengan kematian kita atau lebih teruk lagi mereka akan kencingkan kubur kita!
No comments:
Post a Comment