Sunday, September 26, 2010

Usah biar kisah Hang Nadim berulang

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sangat besar dosa seseorang apabila dia menyebabkan keluarganya kesusahan." (H.R. Muslim)

***
Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 membabitkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak. Singapura terlepas daripada genggaman Malaysia dua tahun kemudian dan sehingga kini banyak isu masih menjadi duri dalam daging dalam hubungan kedua-dua negara.

Beberapa hari selepas sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan sejak 47 tahun lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, bergegas ke Singapura bagi meneruskan sesi perbincangan berhubung beberapa perkara yang menjadi pertikaian kedua-dua negara termasuk isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar yang pada 24 Mei lalu diserahkan kepada republik itu oleh pentadbiran beliau.

Apabila menyentuh Hari Malaysia yang membabitkan Singapura (yang nama lamanya Temasik), kita tertarik mengambil teladan dicatatkan dalam Sejarah Melayu melalui kisah Hang Nadim yang menyelamatkan Singapura daripada serangan ikan todak. Tentunya pengarangnya tidak saja-saja menukilkan kisah ini tetapi bermaksud memberi didikan dan pengajaran kepada anak bangsanya.

Hampir semua pihak sudah maklum akan kisah Hang Nadim, seorang budak yang menyelamatkan Singapura dengan mencadangkan batang-batang pisang sebagai benteng sedangkan pembesar negara mengerahkan rakyat menahan serangan todak dengan paha masing-masing. Kebijaksanaan Hang Nadim ternyata memakan diri, pembesar Singapura yang iri hati yang bimbang apa akan dibuat beliau apabila dewasa nanti, menabur fitnah dan akhirnya budak itu dihukum mati.

Hari ini, kita mempunyai ramai Hang Nadim tetapi nampaknya sejarah berulang, mereka disenyapkan atau mahu dilenyapkan sebelum benar-benar mati. Salah seorang Hang Nadim itulah yang membuka mulut untuk menyemarakkan Hari Malaysia termasuk mencanangkan akan memperolehi kuasa pada 16 September yang sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa bahagian timur tanah air (Sabah dan Sarawak) seolah-olah sudah terlepas pandang dalam pelbagai segi. Apabila lontaran ini berjaya menggegarkan Putrajaya, barulah dipertingkat usaha untuk menambat hati anak negeri Sabah dan Sarawak sehingga ada yang merajuk menyatakan mereka duduk di tepi tandas dalam banglo mewah.

Kini Hari Malaysia bergema di serata negara sehinggakan rakyat berbangga dianugerah cuti umum, tetapi seperti biasa Hang Nadim dihukum pancung. Dalam isu kedaulatan negara berhubung kemelut Malaysia-Singapura, muncul sejumlah Hang Nadim yang lantang bersuara tetapi seperti biasa mereka dibunuh oleh media pemfitnah seperti pembesar Singapura zaman Hang Nadim. Akibat fitnah Hang Nadim mati dan hari ini sejumlah Hang Nadim juga mati yang natijahnya menyebabkan negara terperosok ke dalam kebobrokan yang sangat dahsyat.

Kini negara kita dilanda jenayah tidak dikenali sebelum ini. Bayangkanlah bagaimana masa depan negara apabila seorang warga Mongolia boleh berkecai diledakkan dengan C4 dan kini empat orang termasuk seorang jutawan komestik wanita hanya tinggal tunggul tulang dan abu? Bahana apa yang menimpa negara sehingga begitu dahsyat bala ditimpakan Allah SWT? Tidakkah dapat kita melihatnya? Atau kita masih terpesona dan terpana dengan ucapan muluk pemimpin bahawa negara kita adalah yang paling aman di dunia?

Dalam kita bermuhasabah diri, mencari jawapan kepada permasalahan ini, sekali lagi muncul sejumlah Hang Nadim, tetapi kita buat tidak peduli. Hang Nadim ini bukan dalam bentuk individu saja tetapi juga kumpulan yang cita-cita mereka menyelamatkan negara ini daripada dibaham pemimpin yang menyamai sifat pembesar zaman Hang Nadim Singapura.

Berdasarkan perkembangan menakutkan sekarang termasuk rakyat diminta berkorban seperti mengubah gaya hidup apabila harga barangan dinaikkan (pada zaman Hang Nadim pembesar menyuruh rakyat bertahan dengan paha mereka), apakah kisah Hang Nadim mahu diulang? Rasanya sudah cukup derita ditanggung, marilah kita sama-sama bekerja keras bagi memastikan tiada lagi Hang Nadim mati dibunuh agar keadilan tertegak untuk semua!

No comments: