Monday, September 13, 2010

Pemimpin 'hamba rakyat' masuk syurga!

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan Kami turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat." (Al-Isra': 82)
***

RAMADAN lalu di kebanyakan masjid jamek (besar) di ibu kota ada tazkirah tengah hari (bermula setengah jam sebelum waktu zuhur). Pada satu sesi tazkirah, tertarik penulis mendengar bahawa salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari pembalasan nanti adalah imam (pemimpin) yang adil.

Kebalikan daripada itu, pemimpin zalim tidak mendapat syafaat Rasul, lantas dihumbankan ke dalam neraka. Lantas bagaimanakah ciri pemimpin yang adil dan pemimpin yang zalim itu?

Pemimpin dan rakyat (pengikut) saling lengkap melengkapi. Ada rakyat adalah pemimpin. Tiada rakyat tiadalah pemimpin. Jadi pemimpin tidak boleh berdiri sendiri, dia perlukan rakyat.

Jadi salah satu ciri pemimpin baik adalah mereka yang adil kepada rakyatnya. Macam seorang bapa, dia perlu adil kepada semua anaknya. Dia tidak boleh pilih kasih. Apabila dia sayang seorang anak, benci seorang lagi, dia tidak adil dan natijahnya dia akan mendapat pembalasan daripada Allah SWT di atas ketidakadilannya itu.

Demikianlah pemimpin organisasi, masyarakat dan negara; jika amal pilih kasih; sayang kepada orang mengampunya sebalik membenci pengkritiknya, dia tidak adil, natijahnya dia juga akan dihukum Allah SWT.

Jadi pemimpin yang terselamat adalah yang beriman dan adil termasuk kepada rakyat. Kebajikan semua rakyat menjadi keutamaannya. Oleh itu berdasarkan sistem demokrasi kita (pemimpin dipilih melalui pilihan raya), pemimpin berjanji mahu jadi hamba rakyat. Tetapi itu hanya ketika kempen pilihan raya saja. Selepas menang, janji tinggal janji saja.

Sebelum menjadi pemimpin, ramai berjanji akan bekerja kuat untuk rakyat, hatta 24 jam sehari pun sanggup. Maka dicanangkanlah di seluruh negara, ada pemimpin kerja 20 jam sehari, ada pemimpin jam 12.00 tengah malam baru balik rumah, ada pemimpin pula dakwa sudah berhari-hari dia tak jumpa kaum keluarganya.

Ramai pemimpin kelihatan ke sana sini menemui dan bersalaman dengan rakyat. Hatta tangan peniaga ikan dan ayam yang berlumuran kotoran pun sanggup mereka salami.

Itu sebelum menang, tetapi sekarang selepas menang besar dengan janji untuk jadi 'hamba rakyat', pemimpin tidak peduli hal rakyat lagi, mereka hanya pandai bermanis muka dengan slogan palsu.

Demikianlah bertapa ramai manusia pandai berjanji tetapi tidak berdaya mengotakannya. Janji-janji yang dibuat sesuailah dengan apa yang dihajatinya.

Dalam politik, selepas sesuatu pihak itu menang besar dalam pilihan raya, kebanyakan janji tinggal janji. Ramai yang berjanji mahu beri kesenangan pada rakyat, rupanya rakyat makin sengsara. Bukan saja rakyat sudah jadi hamba tetapi 'disodok'nya ke tepi.

Dulu cakap mahu bagi rakyat senang, sekarang bukan rakyat senang tetapi pemimpin yang senang lenang. Rakyat biasa mendapati harga barang melambung, kos hidup makin tinggi. Hari Raya dan tahun baru nanti, pelbagai tekanan dikenakan ke atas rakyat.

Tol naik, tarif air naik, yuran sekolah anak-anak mahal manakala harga barang usah cakaplah - mahal betul. Sekarang mereka tidak sebut harga barang naik, tetapi penyelarasan. Betul-betul mereka temberang rakyat.

Ketika rakyat kebingungan kerana 'kekeringan', mereka mendapat pula 'surat saman' yang pelbagai.

Rakyat (pemandu) yang kena saman ekor, juga mengeluh. Bagi yang mempunyai beberapa kesalahan trafik, terpaksalah mengeluarkan ratusan malah ribuan ringgit. Dalam masa mereka menghitung-hitung baki duit masing-masing, cukai jalan kereta mati, kena pula mereka 'sedekahkan' kepada syarikat insurans dan JPJ ratusan, malahan ribuan ringgit.

Bagi rakyat yang 'berharta sikit' pada ketika ini pelbagai surat cukai datang - ada cukai pintu, ada cukai tanah dan pelbagai macam cukai lagi. Sekarang ini nampaknya 'semua barang; kena cukai'. Cuma rakyat saja tak perasaan. Misalnya apabila kita 'isi petrol', kita kena bayar cukai, beli rokok kena bayar cukai'. Kalau makan di KFC, McDonald's memang sah, dalam resit ditulis cukai yang kita kena bayar. Pihak berkuasa juga mahu mengenakan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) bagi menambah beban rakyat.

Bagi yang 'beranak' pula, anak-anak yang bersekolah akan membawa bermacam-macam 'surat cukai' daripada pihak sekolah. Ada yuran itu, ada yuran ini. Kemudian ada borang untuk beli buku itu dan buku ini.

Pendeknya pening rakyat memikirkan betapa banyak bil, cukai dan yuran yang kena mereka bayar. Kalau yang berpendapatan RM2,000.00 apabila dihitung pembayaran bil dan semua perbelanjaan, tahu-tahu jumlahnya melebih RM2,000. Inilah dikatakan lebih keluar daripada masuk. Apabila ini berlaku tentulah hidup seseorang itu tidak aman.

Itulah sebabnya dunia ini pun tidak aman lagi. Kalau seseorang itu reda dengan keadaan dirinya (imannya kuat), bolehlah dia bertahan. Tetapi bagi orang yang nafsunya lebih hebat daripada iman, tentulah berlaku kes-kes tidak diingini. Ditambah dengan hasutan si isteri yang mahu ini, mahu itu, kemungkinan besar si suami akan terperangkap dengan rasuah dan pelbagai penyelewengan lain.

Bagi rakyat yang sudah terlalu dibebani oleh masalah, tidaklah menjadi kehairanan jika mereka merujuk kepada pemimpin termasuk menteri yang selama ini mengaku jadi 'hamba rakyat'. Tetapi malangnya, pemimpin pun tidak tahan dengan aduan-aduan ini. Bagi mengelak ditimbuni masalah rakyat, mereka mendakwa sudah pening kepala pula.

Kalau pemimpin sudah pening dan tak boleh bekerja lagi, buat apa duduk di kerusi empuk itu. Berhentilah saja dan bagi peluang orang lain yang nak jadi pemimpin. Hakikatnya ramai orang gilakan jawatan dan kedudukan pemimpin tetapi tidak ramai yang sanggup menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

Buktinya ramai yang masih 'melekat' di kerusi empuk masing-masing walaupun sudah tersebar pelbagai kisah seperti rasuah yang membabitkan nama masing-masing. Bagi mereka untuk berhenti, tidak sekali-kali.

Hari ini mungkin tidak ada pemimpin yang sanggup hidup miskin dan takutkan kuasa seperti Umar Abdul Aziz. Sebaliknya, ramai yang suka dan gilakan kuasa. Kebanyakan pemimpin adalah daripada jenis yang pandai berjanji dengan slogan seperti mahu jadi 'hamba rakyat' tetapi janji tetap tinggal janji. - Selamat Aidilfitri, maaf zahir batin.

No comments: