Friday, September 3, 2010

Barangan, perkhidmatan semuanya tagih banyak RM

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani bahawa Nabi s.a.w. bersabda, bermaksud: "Barangsiapa yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa maka ia mendapat pahala sama dengan orang yang berpuasa sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurangan sedikit pun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
***

"MASA ayah kahwin dengan ibu dulu, ayah 'handsome' tak?" tanya seorang anak saya yang ketika itu berusia lapan tahun, membuatkan saya dan isteri tergelak besar.

Dulu lain, sekarang lain. Sebagai makhluk bersifat baru, banyaklah perkara berubah. Dulu badan kuat, sekarang selalu sengal-sengal (sakit).

Dulu rambut lebat, sekarang sudah kurang. Dulu gigi penuh, sekarang sudah ada yang rompong. Ringkasnya banyak perubahan berlaku - sama ada dari segi fizikal atau mental.

Dalam artikel ini, saya akan membawa pembaca meneliti beberapa kemudahan asas yang berubah dan tidak berubah. Skopnya adalah berkaitan pengangkutan awam sesuai dengan keghairahan balik kampung raya ini dan isu saman ekor.

Jalan raya

Antara kemudahan awam paling awal saya kenal ialah jalan raya. Pertama kali saya terbabit dalam perjalanan jauh adalah dari Melaka ke Kuala Lumpur kira-kira 30 tahun lalu. Jalan raya pada masa itu tidaklah sebaik hari ini. Ketika itu mana ada lebuh raya.

Perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih empat jam. Jalan rayanya bengkang-bengkok, mendaki bukit, melalui cerun, melalui kawasan ladang getah dan kampung-kampung. Tandas awam pun tak ada masa itu. Terpaksalah buang air dalam semak.

Hari ini sudah ada lebuh raya. Perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur tidak sampai dua jam. Kini ada tandas awam yang serba bersih di hentian rehat. Selain itu ada surau yang cantik. Yang tak sedapnya, apabila tamat perjalanan, kita kena bayar tol yang tinggi. Wow dari Ayer Keroh di Melaka dan keluar di Sungai Besi, tolnya RM16.50: kopak juga duit kita. Namun nak selesa bayarlah. Bagi kemudahan ini, diucapkan syabas kepada pihak berkaitan, tapi lebih elok dikurangkan kadarnya; bagilah peluang orang kampung untuk merasai keselesaan perjalanan.

Pejabat Imigresen

Selepas bertahun-tahun bekerja, majikan pun 'rekomen' bertugas di luar negara. Untuk tujuan ini, pasport diperlukan. Kali pertama saya membuat pasport antarabangsa adalah pada tahun 1990 dulu. Permohonan dibuat di pejabat Imigresen, Pusat Bandar Damansara.

Pada hari pertama saya ke sana, saya diminta datang pada hari berikutnya kerana 'nombor sudah habis'. Keesokan harinya, jam 7.00 pagi saya sudah menunggu di pintu masuk. Pemohon terlalu ramai. Sebaik saja pintu dibuka, saya pun menyerbu masuk macam orang lain, berebut mendapatkan nombor giliran.

Baru-baru ini saya memperbaharui pasport itu. Pejabatnya cantik manakala pembahagian nombor giliran tersusun. Proses membuat dan memperbaharui passport amat cepat. Syabas. Yang tidak sedapnya kos pembaharuan pasport amat tinggi - RM300.00 Sedih juga saya perhatikan 90 peratus pemohon pasport adalah daripada satu kaum saja. Apakah ini bermakna kaum lain kebanyakannya miskin dan tidak mampu ke luar negara luar?

Lapangan terbang

Untuk ke luar negara, kita perlu ke lapangan terbang. Dulu, Subang dan kapal terbang tidak dapat dipisahkan. Sebut saja kapal terbang, orang akan terbayang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang). Itu dulu sekarang lain. Sekarang kita ada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Bangunan KLIA ini tersangatlah gah. Berbanding beberapa lapangan terbang antarabangsa lain yang pernah saya singgah, KLIA memang hebat.

Lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta misalnya, begitu 'simple' sekali. Pendeknya dari segi kehebatan, sukarlah lapangan terbang lain untuk tanding. Di KLIA kita ada 'aero-train', ada KLIA Express dan sebagainya. Syabas KLIA! Tetapi yang tak sedapnya, kos semua hal adalah tersangat mahal. Pendeknya serba serbi termasuk kemudahan parkir adalah mahal, jadi susah jugalah rakyat berpendapatan sederhana macam saya ini.

No comments: