***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya'." (al-Jumu'ah: 8)
***
Saya bukan kaki TV. Tetapi apabila berada di sofa, terpandang jua rancangan disiarkan. Salah satu perkara yang menangkap pancaindera saya kebelakangan ini adalah iklan dan cereka pendek patriotik menjelang ulang tahun kemerdekaan negara tidak lama dulu.
Salah satunya menunjukkan betapa sukar kita membina negara terutama ibu kota Kuala Lumpur; daripada desa dan kampung, bertukar menjadi bandar dan seterusnya kota metropolitan dengan bangunan tersergam megah, tinggi mencakar langit.
Suara dalam filem pendek ini mengingatkan, banyak perkara sudah berubah tetapi satu tetap kekal iaitu perpaduan. Lalu ditunjukkan gambar budak Melayu, Cina dan India bekejar-kejaran. Perpaduan sesama rakyat menjadi asas kemajuan, dan janganlah kita musnahkan negara atau memperjudikannya dengan mengenepikan perpaduan.
Saya bersetuju dengan ingatan itu. Alangkah ruginya jika segala apa kita bina seperti kota Kuala Lumpur dengan bangunan hebat dan jalan raya berselirat dengan kenderaan mewah dan cantik akan musnah semata-mata perpaduan sesama rakyat tidak dapat dikekalkan. Sayang sungguh kita pada kota Kuala Kumpur, yang sama-sama kita bina daripada keringat dan air mata.
Bukankah kita telah bersama-sama, tidak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya membina Kuala Lumpur dengan pelbagai pengorbanan, tetapi tergamak pula menghancurkannya apabila tidak menitikberatkan perpaduan, demikian saya terfikir, mengiyakan apa yang dinyatakan melalui filem pendek itu.
Namun demikian pandangan saya bertukar serta-merta selepas menghadiri satu majlis ilmu di masjid yang pengajarnya membicarakan kitab 'Hikam'. Terpegun saya apabila Tuan Guru itu bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baru boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini adalah alam ini (selain daripada Allah SWT).
Tersentak saya daripada tidur yang panjang apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal.
Terfikir di benak saya, adakah saya salah seorang daripada manusia tidak berakal itu sebab saya pun sayang dan kagum pada kehebatan Kuala Lumpur?
KL, New York, London, semuanya akan musnah
Orang berakal akan berfikir bukan saja apa-apa yang hebat itu seperti kota Kuala Lumpur, malah New York, London atau Istanbul, semuanya akan musnah. Cuma orang kafir saja takut mati dan kemusnahan sebab itulah mereka cari pemuda-pemuda Islam dan kemudian menuduh mereka mahu meletupkan London, Glasgow dan New York. Mereka musnahkan Baghdad, Kabul dan Baitulmaqdis, mereka tidak sibuk pun, mereka dianggap sebagai 'pembebas dunia' pula.
Jika diri kita sendiri akan musnah, jadi apa nak dihairankan sangat jika Kuala Lumpur musnah atau hancur lebur.
Bukti sudah ada depan mata, tetapi kita buat-buat tak pandang dan tak ingat. Bukankah sikit masa dulu, Banda Aceh musnah, dihancurkan oleh tsunami yang melanda ganas, menyebabkan hampir 200,000 orang mati? Bangunan yang hebat-hebat di Aceh runtuh, mayat-mayat bergelimpangan.
Jika Banda Aceh yang terletak di seberang Selat Melaka boleh musnah secara mengejut, Allah boleh melakukan apa saja termasuk terhadap Kuala Lumpur. Kepada-Nya kita berserah diri, usah asyik mengejar kebendaan yang pasti musnah suatu hari nanti. Hari kiamat juga akan menyusul, memusnahkan segala-galanya.
Dalam al-Quran pun ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah.
Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak.
Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal.
Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah.
Selepas mendengar kuliah Tuan Guru, saya berfikir, dakwaan perpaduan boleh mengekalkan keutuhan Kuala Lumpur adalah pandangan sisi, hanya separuh benar. Jika kita meneliti kehancuran kaum Tsamud dan kerajaan Sabak, kedua-duanya dimusnahkan disebabkan kedurhakaan penduduknya kepada Allah SWT. Kemajuan dan kehebatan mereka dalam urusan dunia seperti membina bangunan dan empangan menyebabkan penduduknya lupa akan kebesaran Allah SWT.
Kuala Lumpur malah Malaysia mengundang kemusnahkan jika kehidupan penduduknya tiada kebarakahan. Maksiat menjadi-menjadi, penyelewengan sudah sebati manakala pemimpinnya bagaikan serigala, mencari saat mencengkam golongan miskin. Saat kehancuran akan tiba jika rasuah dan riba dianggap urusan halal seperti berjual beli.
Semakin hari, gejala moral semakin teruk di tanah air tercinta. Sudah banyak kes luar biasa seperti ibu bunuh anak, anak bunuh ibu bapa tetapi pemimpin dan rakyat terus hanyut dalam aneka kemewahan dan hiburan yang melalaikan. Sewajarnya kes luar biasa ini dijadikan iktibar, mencetuskan rasa bimbang dan cemas di hati, apa agaknya dosa-dosa dan kesalahan kita sehingga negara dilanda suasana begitu teruk sekali.
Banjir di Johor dulu adalah suatu kejadian luar biasa. Dan Kuala Lumpur juga pada 10 Jun lalu dikejutkan satu banjir besar. Banyak harta benda musnah. Kejadian itu boleh dianggap amaran SWT, tetapi apakah pemimpin dan rakyat termasuk warga KL mengambil iktibar? Apakah pemimpin terus bangga dengan segala projek 'Smart', 'Bestari' dan pelbagai slogan muluk-muluk?
Jika Allah SWT menurunkan banjir 10 kali ganda (lebih besar) daripada kejadian 10 Jun lalu, apa akan jadi dengan Kuala Lumpur yang kita banggakan itu? Doa kita agar kita jauhkan daripada malapetaka, sebaliknya kehidupan kita dirahmati Allah SWT.
Kesimpulannya, usahlah berbangga dengan kehebatan kita membangun KL atau negara sedangkan kita kufur kepada nikmat-Nya. Kita terus melakukan pelbagai kezaliman (rakyat terus di-ISA-kan), rasuah semakin menjadi-jadi manakala golongan bawahan semakin derita dengan kos kehidupan semakin tinggi.
Semoga kita tidak hanya mampu mengibar bendera (terbesar, terpanjang dan terbilang) pada ulang tahun kemerdekaan negara ke-50, sebaliknya, jika sudah benar-benar merdeka, lakukanlah perubahan, termasuk membebaskan tahanan ISA. Doa orang dizalimi cepat termakbul, takut-takut mereka mendoakan kehancuran negara kita, terutama pemimpin zalim!
No comments:
Post a Comment