Saturday, May 15, 2010

Fesyen Islam, kereta Islam, selepas ini apa pula...motor Islam?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda; "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan penguasa yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya." (HR, Muslim)
***

Naik meluat saya tengok muka depan sebuah akhbar harian yang memaparkan wajah seorang peragawati dengan rambut terdedah manakala muka bertopeng macam Zorro, dengan tajuk ISLAMIC FASHION.

Peragaan pakaian kononnya fesyen Islam itu adalah sempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia di KL tidak lama dulu. Sungguh malu saya apabila peragawati berpakaian begitu diistilahkan sebagai mengikuti fesyen Islam. Sedih saya apabila agama suci Islam dihina sedemikian rupa.

Mereka yang mempergunakan nama Islam semakin berani. Atas nama 'bisnes', mengautkan keuntungan mereka namakan produk mereka sebagai barangan Islam. Pereka Islam pun terbabit, sungguh berani mereka memain-mainkan Islam. Kalau tak reti hukum-hakam Islam rujuklah pakar agama, ustaz dan ustazah bukankah banyak di Malaysia ini.

Jakim, Ikim, Ilim, Jais, Mais dan seangkatannya, tegurlah pihak yang tidak senonoh ini, jangan diamkan diri saja.

Nampaknya, orang awam makin berani mempermainkan Islam sebab pemimpin, isteri dan umat Islam sendiri semakin tidak senstitif dan mengerti apa itu Islam.

Dalam bidang fesyen, isteri TPM, Rosmah Mansor yang merasmikan makan malam Minggu Fesyen Islam dilaporkan sebagai menggesa pereka fesyen Islam lebih agresif dalam memasar dan memberi penjenamaan kepada rekaan mereka bagi menarik minat masyarakat Islam dan dunia luar terhadap fesyen Islam.

Katanya, ketika ini fesyen Islam sering dilihat sebagai tidak menarik, ketinggalan dan hanya dalam satu dimensi.

Rosmah sendiri tidak menutup auratnya (rambut), jadi dibimbangi apa difahami mengenai pakaian Islam itu jauh daripada hakikat. Pakaian dipertontonkan dan aksi peragawai yang menggiurkan tersebut jauh sekali menyimpang daripada tuntutan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu anak perempuanmu dan isteri isteri orang mukmin, 'Hendaklah mereka mungulurkan jilbabnya ke seluruh tubuhnya..." [TMQ Al-Ahzab (33):59]

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [TMQ An-Nur (24):31]

Jelaslah semakin ramai orang yang mahu mengaut untung menamakan produk mereka sebagai Islamik, konon. Fesyen Islam, kemudian kereta Islam (sila ikut laporan Bernama mengenai perkara ini, kononnya Proton, syarikat Iran dan Turki akan keluarkan kereta Islam yang ada kompas arah kiblat dan tempat simpanan tudung) dan entah apa-apa lagi nanti – komputer Islam, rumah Islam, motosikal Islam, bas Islam, bihun Islam dan sebagainya. Inilah bahananya sebab orang semakin berani gara-gara Islam tidak dijadikan panduan dalam berhukum, orang main ikut otak masing-masing termasuk oleh orang bisnes.

1 comment:

FaisalHanim said...

Bagus la. Dan apa salahnya jika semua yang dicipta dikaitkan dengan Islam.

Macam zaman dulu2. Semua penemuan saintist Islam dinamakan sains Islam. Bukan Sains arab, iran dan sebagainya.

Bagaimana dengan parti politik Islam? adakah wajar? Di mana Islamnya?

Saya kurang setuju dengan post anda ini! Sorry.