Friday, May 28, 2010

Cadangan rakyat bawa penyapu ketika perhimpunan Bersih

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan pada sebahagian malam hari tunaikanlah solat tahajud kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." (Al-Isra': 78-79)
***

* Ini cerita lama
Biasanya pada setiap pagi Sabtu, saya akan ke kebun - menebas dan mencangkul mana-mana yang patut. Bukan apa, saja mahu 'exercise' - daripada berjoging yang hasilnya sukar dilihat mata kasar - saya memilih menghayun sabit dan cangkul, menanam tanaman mudah hidup seperti serai, tebu, pisang dan ubi.

Tetapi Sabtu, 10 November, rutin itu tidak dapat diteruskan. Saya bersemangat ke KL, menyertai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sebelum pergi saya siapkan diri dari segi mental. Pesanan sudah saya tinggalkan pada isteri. Nombor telefon rakan dan 'bos' saya lekatkan di celah cermin almari buku. Mana tahu terjadi apa-apa, tidaklah isteri kehilangan punca. Sayang juga pada bini...heh...heh.

Pada minit terakhir berangkat menaiki bas ekspres Melaka-KL, saya tidak jadi memakai baju kuning yang telah disiapkan. Kata isteri kalau saya pakai baju kuning, dia bimbang saya tidak sampai ke KL. Saya terima cakapnya. Memang betul pendapatnya, belum sampai di Tol Ayer Keroh, ribuan kenderaan sudah terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Polis menjalankan pemeriksaan ketat pagi itu.

Saya lihat ramai 'mat motor' tersangkut. Saya lega kerana tidak bepakaian kuning. Sekurang-kurang apabila polis bertanya, tidaklah mati kutu untuk menjelaskan mengapa saya perlu ke KL. Ketika melalui kesesakan itu saya terfikir, mengapa pihak berkuasa buat sekatan jalan raya di Melaka, bukankah perhimpunan itu di KL. Apakah mereka begitu takut sekali sehingga bertindak menyekat orang Melaka ke KL?

Bas yang saya naiki meluncur laju sehingga ke Hentian Sebelah Serdang. Pemandu bas memberhentikan kenderaan. Dia pergi buang air. Mungkin melalui rakan dia sudah tahu 'macet' (ibu segala kesesakan) telah berlaku di lebuh raya menujuk KL. Oleh itu dia 'legakan' dirinya terlebih dulu. Memang betul, tidak lama selepas dia menggerakkan kenderaan itu, saya saksikan antara kesesakan paling teruk dalam sejarah hidup saya.

Ketika itu jam 11.00 pagi. Dalam keadaan kenderaan kejap bergerak, kejap berhenti itu, dua jam setengah kemudian barulah bas itu melalui tempat punca kesesakan. Rupa-rupanya 'mat-mat polis' telah menutup sepenuhnya lebuh raya menuju Istana Negara (Jalan Mahameru). Apabila laluan itu ditutup, maka semua kenderaan dari selatan, terpaksalah bersesak-sesak menuju Jalan Loke Yew dan Pudu.

Aduh, hampir jam 1.45 petang barulah bas itu memasuki Jalan Pudu. Saya dapat satu 'idea'. Daripada saya terus menaiki bas itu melalui kesesakan jalan raya untuk ke Hentian Puduraya, lebih baik saya turun dan menaki LRT di Pudu. Sekalipun pada mulanya saya bercadang singgah solat di Masjid Jamek, tetapi memikirkan waktu untuk berhimpun (3.00 petang), masih jauh, saya membuat keputusan ke pejabat di Jalan Pahang Barat dulu.

Kereta api ringan yang saya menaiki tiba di Stesen Masjid Jamek kira-kira jam 2.00 petang. Dari dalam kereta api saya nampak ramai FRU berkawal di sekeliling Masjid Jamek. Ramai juga orang berpakaian kuning di sekiar masjid itu. Saya juga nampak trak meriam air FRU. Anggota FRU juga berkawal di sepanjang bawah laluan LRT itu. Saya tidak berhajat menyertai perhimpunan di Masjid Jamek, tetapi mahu terus ke Dataran Merdeka.

Apabila kereta api melalui kawasan hampir Dataran Merdeka, saya lihat padang di situ kosong saja. Yang kelihatan anggota FRU mengawal di jalan-jalan raya sekitar kawasan itu. Trak dan kenderaan FRU dilintangkan di atas jalan. Sahlah, mustahil untuk rakyat memasuki padang di Dataran Merdeka ketika itu.

Saya sampai di pejabat kira-kira jam 2.15 petang. Selepas solat dan ketika mahu ke lokasi perhimpunan bersama beberapa kawan, hujan lebat menyebabkan perjalanan terhalang. Ketika itu ada kawan mendapat panggilan telefon, FRU telah bertindak, menyembur gas pemedih mata dan air kimia di kawasan sekitar Masjid Jamek. Beberapa orang juga dilaporkan telah ditahan.

Jadi pada hari bersejarah itu, saya telah ditakdirkan untuk tidak kena semburan air kimia dan pemedih mata FRU. Saya telah tidak pergi ke Masjid Jamek. Saya tahu akibat terkena semburan gas pemedih mata dan air kimia ini - sakitnya tidak terperi. Saya berpengalaman merasainya ketika demonstrasi membantah serangan AS ke atas Afghanistan di depan Kedutaan AS pada tahun 2001 dulu.

Kerana terlalu sakit, saya yang biasanya sedaya upaya menjaga mulut daripada berkata kasar dan lucah, telah memaki, menyebut perkataan - B...B..., B...B...

Selepas hujan reda, kami ke Stesen LRT Titiwangsa. Kami bercadang turun di Stesen Bandaraya dan berjalan kaki ke Dataran Merdeka. Tetapi melalui panggilan telefon rakan-rakan, mereka memberi tahu perkhidmatan LRT digantung. Kemudian ada yang memanggil menyatakan penganjur meminta rakyat untuk terus ke Istana Negara.

Sebagai alternatif, kami menaiki monorel di Stesen Titiwangsa. Monorel sesak. Perjalanan terasa begitu lambat. Lebih setengah jam kemudian kami sampai di Stesen Tun Sambanthan. Kami bergegas melalui jejambat menyeberangi Sungai Klang untuk ke Istana Negara. Nun jauh, kelihatan perarakan warna kuning di lebuh raya. Kami mempercepatkan langkah. Kami berselisih dengan beberapa orang berpakaian kuning. Kata mereka memorandum sudah diserahkan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong.

Sudah diserahkan? Mengapa begitu cepat? Terasa begitu rugi kerana tidak dapat bersama puluhan ribu rakyat pada detik bersejarah itu. Rasanya tidak berbaloi, datang dari jauh, bersusah payah di lebuh raya, tetapi majlis yang dijangka bermulakan jam 3.00 petang itu (berarak dari Dataran Merdeka) sudah tamat. Sedangkan waktu itu baru jam 4.00 petang. Namun kami bersyukur kerana memorandum itu telah dapat disampaikan kepada pihak Istana.

Daripada mereka yang pulang itu, kami diberitahu masih ramai orang berhimpun di Masjid Negara. Kami pun menaiki monorel dan turun di Stesen Maharajalela. Sepanjang Jalan Maharajela berdedai-dedai orang ramai, sebahagian besarnya berpakaian kuning menuju Masjid Negara.

Kami menyertai mereka ke Masjid Negara. Ribuan orang berada di sana. Alangkah anehnya, ramai yang mahu memasuki pekarangan masjid untuk solat, tidak dibenarkan berbuat demikian. Mereka diminta bersurai. Di sana kami berpecah, saya menuju Dataran Merdeka, manakala rakan-rakan entah ke mana mereka menghala.

Mamak restoran untung besar

Di Jalan Raja, berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, kelihatan puluhan anggota FRU. Di belakang mereka ada trak meriam air. Mereka berdiri tegak, membuat barisan, memagar laluan ke Dataran Merdeka. Gayanya, mereka siap sedia bertindak. Sepasang pelancong 'mat Saleh' melepasi saya. Beberapa 'mat' di sebelah saya menjerit kepada 'mat saleh' itu; "See, this is Malaysia!" Pasangan mat saleh itu tersengih saja.

Di tangga depan Bangunan Sultan Abdul Samad, saya duduk berehat, sambil memerhatikan karenah anak-anak muda menghadapi anggota FRU yang berdiri kaku. Ada seorang reformis perempuan bertudung dengan berani beraksi di depan anggota FRU.

Dia tampil bergaya, berposing manakala seorang rakan merakamkan aksi itu dengan telefon bimbitnya. FRU diam, tidak bergerak-gerak. Apabila wanita itu beraksi, ramai lagi anak muda mengikut jejaknya. Mereka beraksi dan mengambil gambar depan anggota FRU, mungkin mahu dijadikan koleksi paling berharga dalam hidup mereka. Mungkin gambar itu boleh diberi tajuk 'Aku dan FRU pada 10/11/07' atau 'Aku dan Demokrasi ala-Malaysia' atau 'Malaysia Serba Boleh!'

Baru saya teringat saya belum makan tengah hari itu. Mungkin kerana terlalu 'excited', saya terlupa makan. Saya raba sesuatu dalam beg. Terjumpa epal, lalu saya pun 'bedal'. Sebelum datang saya sudah baca tip pemimpin reformis yang memberi nasihat peserta perhimpunan membawa sedikit makanan dan minuman, mana tahu terperangkap dalam kesesakan orang ramai atau terkepung oleh FRU.

Kemudian saya bergegas, menyelusuri jalan ke Hentian Pudu. Di jambatan merentangi Sungai Klang, tiba-tiba muncul sebuah helikopter yang jelas tertera perkataan 'Polis Diraja Malaysia' kerana terbang rendah. Ia 'muncul di atas kepala' peserta perhimpunan. Ketika melepasi orang ramai, debu dan pasir berterbangan. Rasanya, diri saya pun seperti mahu dibawa pergi helikopter itu.

Sebelum sampai di Puduraya, saya perlu 'menyelesaikan satu misi penting dulu' iaitu mengisi perut saya yang mulai berbunyi. Saya singgah di sebuah restoran mamak yang terletak di persiaran pejalan kaki bertentangan dengan Pasar Seni.

Waduh, restoran ini sesak sekali. Nak masuk pun payah. Tetapi disebabkan sudah terlalu lapar, saya pun rempuh saja. Ambil nasi dan lauk ikan, pergi ke sebuah kerusi kosong, dan terus makan. Orang di sebelah, menegur saya. "Wah, banyaknya orang," katanya sebagai pemula perbualan.

Saya mengangkat muka daripada pinggan makan. Memang betul. Penuh restoran itu. Untung besar, mamak hari ini, fikir saya. Ada ratusan orang dalam restoran itu. Ramai pelanggan berbaju kuning. Yalah, selepas puas berarak, berjalan berkilometer jauhnya, tentu mereka lapar. Saya lapar, tentu mereka pun lapar.

Peniaga seperti mamak pemilik restoran itu untung besar pada hari perhimpunan itu. Hakikat ini bertentangan dengan dakwaan pemimpin negara dan akhbar burung kakatua, kononnya peniaga takut membuka kedai. Mereka berkata rakyat terutama peniaga takut huru-hara. Mereka takut perniagaan terjejas. Saya tengok mamak di restoran itu senyum dan sengih saja (tentulah kerana untung besar) sedangkan tiada sebuah kedai pun ditutup.

Nampak sangat pemimpin ini penakut dan mengarut dalam tindakan mereka. Kata orang, manusia itu takut kerana dia bersalah. Orang salah, bayang-bayang pun dia takut. Macam orang guna pinggan mangkok masjid secara curi-curi, orang lain tidak apa-apa, tetapi dia rasa setiap kerlingan, renungan dan pandangan tok imam, tok bilal dan siak seolah-olah memperlinya.

Demikian juga perompak, perasuah dan penyamun harta negara. Dia rasa setiap tindakan rakyat itu untuk menghukumnya kerana dia sudah melakukan kesalahan. Hakikatnya rakyat mahu berhimpun saja. Orang bersalah akan tetap diburu rasa bersalah sampai bila-bila. Sampai ke lubung kubur. Hidupnya akan sentiasa diburu ketakutan.

Di Selangor, Menteri Besarnya, Mohd Khir Toyo bertindak menghadiahkan penyapu kepada pegawai negeri yang dakwanya tidak cemerlang, gemilang dan terbilang. Apa kata rakyat melakukan tindakan sama berdasarkan slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan'. Lain kali jika Bersih menganjurkan perhimpunan, pakat-pakatlah bawa penyapu bagi membersihkan negara daripada pemimpin korup dan perasuah. Jayakanlah kempen 'Pemimpin Korup Sifar' sama seperti 'Setinggan Sifar'!

No comments: