***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Umar bin Al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang)...Kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Maka khabarkan kepadaku tentang hari Kiamat?" Lalu Nabi s.a.w. menjawab, "Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya," Maka Jibrail lalu berkata, "Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya," Maka Nabi s.a.w. menjawab, "Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan." (HR. Muslim)
***
PELIK sungguh, sebelum ini menteri bercakap berdegar-degar kononnya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan tahun depan, akan menguntungkan rakyat tetapi mutakhir ini mengumumkan sejumlah barangan keperluan utama dikecualikan daripada cukai itu.
Kalau GST untungkan rakyat, tidak perlulah kecualikan apa-apa kerana cukai itu menguntungkan mereka, jadi kenakanlah saja GST, nanti semua rakyat dapat manfaatnya. Rakyat pun jangan bantah apa-apa sebab berdasarkan cakap-cakap menteri, GST menguntungkan mereka.
Jika cakap menteri betul, adalah tidak wajar GST yang menguntungkan itu ditentang rakyat sehingga ada yang ditangkap semasa perhimpunan membantahnya di Dataran Merdeka pada Hari Pekerja tempoh hari. Sia-sia sahaja perjuangan membantah GST kerana berdasarkan cakap-cakap menteri rejim percukaian yang akan dibentangkan di Parlimen nanti amat menguntungkan rakyat.
Namun apabila sembilan barangan dan perkhidmatan keperluan utama termasuk produk pertanian seperti padi dan sayur-sayuran, barangan makanan seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak, daging (lembu, kerbau, khinzir, kambing, ayam dan itik), telur termasuk telur masin, ikan, udang, kerang dan sotong dan bekalan air dan elektrik domestik yang digunakan dalam jumlah kecil dikecualikan daripada dikenakan GST, tentulah rejim baru pencukaian ini terlalu membebankan rakyat, apatah lagi rakyat berpendapatan sederhana dan miskin.
Jika GST dikenakan ke atas barangan seperti beras, tepung dan gula yang amat diperlukan rakyat tentulah membawa keuntungan besar kepada kerajaan dan rakyat, jadi teruslah kenakan GST, kenapa pula mahu dikecualikan sebab selama ini menteri bercakap ia menguntungkan rakyat.
Antara mereka yang bercakap mengenai keuntungan rakyat akibat pelaksanaan GST adalan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang berkata GST akan menguntungkan rakyat keseluruhannya kerana ia melibatkan penurunan kadar cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur.
Beliau mendakwa pelaksanaan GST yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan sejak 1972 merupakan sistem percukaian lebih menyeluruh akan membolehkan kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan dan syarikat yang kini hanya tertumpu kepada kumpulan tertentu.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah juga berkata, pengenalan GST tidak akan membebankan orang ramai. Inilah jawapan standard yang diberikan oleh menteri apabila kerajaan bertindak atau mengambil pendekatan bagi meningkatkan pendapatannya.
Apabila harga petroleum dinaikkan, dengan bangganya menteri membuat perbandingan dengan negara jiran malah dengan negara maju seperti United Kingdom dan menyatakan harga minyak di sini adalah paling rendah di rantau sebelah sini.
Demikian juga kenaikan tarif elektrik atau air; menteri dengan juak-juak mereka akan berkokok menyatakan KENAIKAN INI TIDAK MEMBEBANKAN RAKYAT.
Tentunya sebarang kenaikan tidak akan membebankan golongan mewah dan kaya raya sehingga mampu menggelapkan berguni wang ke Australia, tetapi kenaikan harga minyak walau sesen jua yang membawa kepada kenaikan tambang pengangkutan dan makanan keperluan asasi, tentulah membebankan Si Ahmad yang tinggal di Mersing, Si Ah Kau di Hulu Selangor dan Si Mutusamy di Klang.
Disebabkan sehingga kini kerajaan enggan memperakui gaji minimum untuk pekerja malah ia menolak tuntutuan Kongres Kesatuan Sekerja Malasia (MTUC) yang mahukan gaji minimum ditetapkan RM900 sebulan, ada pekerja termasuk dalam sektor perladangan berpendapatan RM300 sebulan. Malah ada pekerja lain seperti pengawal keselamatan di kawasan luar bandar dibayar RM250 sebulan. Cuba bayangkan apa yang pekerja dan keluarga mereka mahu makan dengan gaji sedemikian.
Jadi bagi menteri, kenaikan harga minyak atau perkhidmatan tidak membebankan tetapi bagi rakyat miskin seperti Ahmad, Ah Kau dan Mutusamy, peningkatan harga barangan keperluan seperti beras membawa erti mereka boleh makan dua kali sehari atau sekali sehari atau berlapar sepanjang hari.
Parti-parti dalam Pakatan Rakyat menyatakan bantahan paling kuat terhadap cadangan GST itu. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata GST akan menyusahkan rakyat pertengahan dan bawahan termasuk ibu bapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka.
“Mereka yang hidup di luar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan di kilang akan meningkat dalam pasaran,” katanya.
Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.
Kata Ustaz Idris, harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak empat peratus, jadi bagaimana nasib rakyat berpendapatan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam seperti bas dan komuter.
“Rakyat perlu membuka mata terhadap isu ini dan PAS dan parti lain dalam Pakatan nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment