Tuesday, May 11, 2010

Islam mula dagang, kini kembali dagang

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Dunia ibarat bangkai
Ali r.a. berkata: "Dunia ini adalah bangkai, dan barangsiapa yang ingini akannya, maka dia mesti sanggup berkawan dengan anjing-anjing. Dunia ini memperdaya, menyakiti dan kemudian berlalu. Allah tidak menetapkannya sebagai ganjaran bagi hamba-hamba-Nya yang salih, dan tidak pula sebagai azab bagi musuh-musuh-Nya."
***

NAMPAKNYA penyakit diabetes (kencing manis) yang saya deritai semakin teruk. Apabila doktor yang merawat saya pada pemeriksaan terakhir mencadangkan pengambilan ubat ditambah, saya cepat-cepat berkata tidak mahu. Saya bimbang memikirkan jika kadar ubat ditambah, alamat berterusanlah ubat itu terpaksa saya telan.

Ketika ini saya mengambil dua setengah butir ubat kencing manis dan darah tinggi pada setiap pagi dan kuantiti yang sama pada sebelah petang. Sekalipun berkata tidak mahu penambahan ubat, doktor itu menyenaraikan satu lagi ubat; saya perlu menelan sebutir setiap hari yang menurut doktor itu bagus untuk meredakan keadaan tangan saya yang mulai kebas-kebas.

Demikianlah ubat bertambah, bermaksud kesihatan saya semakin merosot tetapi sebagai manusia biasa, nafsu termasuk dari segi pemakanan masih menguasai diri. Sepanjang beberapa sisi pemeriksaan kesihatan yang saya lalui, sudah kerap benar doktor menasihatkan saya supaya mengambil makanan berdasarkan sukatan yang disediakannya.

Misalnya makan dua keping roti berserat setiap pagi bersama air kopi atau teh O atau milo tanpa gula; kemudian pada tengah hari, makan satu cawan nasi bersama ikan atau daging atau ayam yang saiznya satu kotak mancis dan sedikit sayur-sayuran manakala minumannya air kosong dan pada malamnya tidak digalakkan makan nasi. Minuman pun air kosong atau teh tanpa gula. Bagi buah-buahan pula, makan sepotong sahaja!

Itulah sebagai insan biasa, saya tidak dapat tahan nafsu makan. Saya pakai hentam saja, makan sesuka hati. Saya makan nasi macam orang biasa makan, pada sebelah malam pun masih makan nasi. Minuman pula, sehari tiga empat kali saya menghirup air kopi atau teh O bergula. Masalahnya, bukan saya yang memesan atau membancuh minuman tersebut, kawan-kawan saya telah membuatnya dan mempelawa saya minum. Tidak sedap pula hati saya menolak ajakan mereka.

Namun sejak akhir-akhir ini, saya berusaha sedikit keras untuk membendung nafsu saya itu. Saya sedar kesihatan saya semakin menurun dan pada sesi pertemuan dengan doktor, kerap saya disyarahkan. Doktor kuat membebel, habis saya ‘dibasuh’nya kerana tidak pandai menjaga kesihatan.

Kini saya mengamalkan minum air daun stevia rebaudiana botani. Pada setiap kali makan di kedai, saya memesan air panas dan kemudian memasukan daun kering yang bakanya berasal dari Paraguay, Amerika Selatan. Antara lain dikatakan khasiat stevia yang mula digunakan oleh kaum Red Indian Guarani 1,500 tahun dulu adalah bagi mengimbangkan kandungan gula dalam badan, jadi saya cubalah, mana tahu sesuai untuk diri saya.

Ketika minum bersama kawan-kawan di restoran, saya memesan air panas dan kemudian memasukkan daun kering stevia itu. Maka terpaksalah saya berpuas hati dengan meminum air hijau tersebut sedangkan seorang kawan saya yang sudah berusia 68 tahun dapat menikmati air barli sirap limau ais kegemarannya.

Saya hanya dapat memujuk hati sendiri dengan berkata, alangkah besarnya ganjaran seseorang yang berpenyakit tetapi dia dapat bersabar. Semoga kesabaran itu diganjari-Nya di samping menghapuskan dosa-dosa.

Sebenarnya, doktor mengesyorkan pesakit kencing manis menurunkan berat badan dan kurangkan serta kawal makanan; salah satu cara adalah dengan berpuasa sunat. Ini amat bertepatan sekali dengan puasa sunat yang dianjurkan oleh Islam iaitu berpuasa pada hari Isnin atau Khamis atau beberapa hari dalam sebulan.

Ketika menatap sarung plastik ubat-ubatan saya, tertera perkataan ‘dilarang mengambil minuman alkohol’. Hal ini membuatkan saya termenung, memikir-mikirkan bahawa kaedah moden termasuk rawatan penyakit adalah sejajar dengan ajaran Islam.

Amat tepat sekali bahawa ajaran Islam itu sebenarnya sesuai pada sepanjang zaman, malah mendahuli zaman. Misalnya Islam sejak zaman Rasul sudah mengharamkan minuman keras, tetapi baru kini melalui kajian saintifik dinyatakan bahawa arak itu membahayakan kesihatan.

Bagaimanapun kehebatan Islam ini tidak mahu diakui banyak pihak. Mereka tidak akan sekali-kali mengaku bahawa apa yang dibawa oleh Islam itu mendatangkan kebaikan (rahmat) bagi sekalian manusia. Mereka rela mengikut satu sistem yang mendatangkan kebaikan tetapi jangan sekali-kali mengaitkannya dengan Islam.

Satu contoh terbaik yang kini berjalan di negara kita adalah pengenalan koc khas untuk wanita dalam perkhidmatan Komuter KTM. Tujuan pelaksanaan pendekatan ini adalah untuk mengelakkan gangguan seksual kepada golongan wanita.

Jika itu tujuan (atau niat) pihak berkenaan, mereka akan dapat apa yang mereka niatkan, tetapi bagi mereka tetap berpendirian (istiqamah) bahawa Islam itu adalah tinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya, pengasingan lelaki dan wanita (mengelakkan percampuran bebas lelaki-wanita) adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

Pengenalan koc wanita ini mendapat sambutan hangat dan reaksi mengalakkan di kalangan rakyat termasuk pemimpin wanita. Penumpang berasa selesa, lega daripada himpitan lelaki ketika kereta api sesak. Tidak ada yang mengeluarkan komen negatif mengenainya. Ertinya tiada masalah kerana tujuan pengasingan ini adalah untuk mengelakkan gangguan seksual terhadap wanita.

Namun demikian cubalah katakan bahawa langkah pengasingan itu adalah daripada ajaran Islam kerana percampuran bebas lelaki-perempuan diharamkan apatah lagi dalam keadaan bersentuh-sentuhan ketika kereta api sesak. Apabila dikatakan Islam suruh saja, maka melentinglah pelbagai pihak termasuk pemimpin wanita sendiri yang mengatakan ia langkah diskriminasi terhadap wanita.

Pengalaman lalu menunjukkan apa saja langkah jika dikaitkan dengan Islam tidak disenangi. Sebagai contoh pelbagai cemuhan dihalakan kepada kerajaan PAS Kelantan kerana mengadakan kaunter bayaran berasingan bagi lelaki dan wanita di pasar raya. Demikian juga kempen berpakaian menutup aurat, kritikan keterlaluan diterima pihak pelaksana. Semuanya kerana ia dikaitkan dengan ajaran Islam.

Demikianlah ajaran Islam akhir-akhir ini dilihat begitu asing, seolah-olah sesuatu yang menakutkan. Tidak ramai orang berani menyatakan banyak perkara kebaikan yang kita lakukan sekarang ini adalah daripada ajaran Islam, mereka tidak berani menyebut akan Islam. Mungkinkah ajaran Islam semakin asing dalam kehidupan kita?

Mungkinkah perkara ini ada dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa Islam itu sudah kembali dagang, semakin terasing. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w., “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.” (Hadis riwayat Muslim)

2 comments:

joe penang said...

cubalah mengamal radix diet dan plantisol hpa. Biasalah pantang. Untuk kesihatan gak
Ibu saya km tahap awal. amalkan sinergy ni. Alhamdulillah 2 bulan sekali je kena p check gula...

p/s: Kita sihat/umur pjg bukan nak enjoy. tapi menghabiskan sisa umur utk beribadat padanya cam kerja utk jemaah dlll

Putra Panji said...

Semoga saudara terus diberikan kekuatan dan kesihatan selalu.

Promosi ESULIN, formulasi herba yang dikaji & diuji khusus untuk digunakan pesakit Diabetes.

ESULIN ; Utamakan Kualiti, Pertahankan Keberkesanan