Kerjaya saya sebagai wartawan bermula ketika Tan Sri Elyas Omar adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur (1981-1992). Pada tahun-tahun 80-an, Tan Sri amat terkenal. Namanya sentiasa meniti di bibir wartawan, termasuklah wartawan sukan kerana Tan Sri amat aktif dalam bidang itu.
Bagi saya yang mula bekerja pada pertengahan tahun 80-an, tugasan pertama seperti 'wartawan-wartawan hijau' lain ialah menulis berkaitan longkang. Maka digelarlah wartawan muda seperti saya 'wartawan longkang' sebab laporan yang selalu dibuat ialah mengenai longkang tersumbat, paip pecah, tanah runtuh, pokok tumbang dan banjir kilat di Kuala Lumpur.
Apabila ribut dan hujan lebat berlaku pada waktu petang, maka 'wartawan longkang' seperti saya mula cemas. Mana tidak, kerana sudah tentu kami tidak dapat balik awal, kena buat tinjauan di mana berlaku banjir kilat, pokok tumbang, tanah runtuh dan pelbagai bencana alam lain.
Apabila orang lain berpusu-pusu dalam perjalanan balik selepas jam enam petang, kami 'wartawan longkang' sibuk pula membuat tinjauan dengan jurugambar kawasan banjir kilat. Antara laluan jalan raya utama yang kerap dilanda banjir ialah di Jalan Tun Razak (dekat Wisma Bernama) dan Kampung Baru.
Melaporkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas kepada kes lebih berat seperti pemandu maut ditimpa pokok adalah 'aktiviti biasa' di kalangan 'wartawan longkang' seperti kami.
Pada hari cuaca yang elok, kami akan membuat tinjauan longkang tersumbat, sungai dicemari sampah sarap, kawasan rendah yang digenangi air, jalan rosak ataupun setinggan yang dipaksa berpindah kerana tapak rumah mereka akan dibangunkan projek perumahan.
Lebih dua puluh tahun sudah berlalu, dan hari ini saya tidak lagi membuat tinjauan mengenai longkang tetapi menyunting berita-berita yang difailkan oleh anak-anak buah.
Ada antara laporan-laporan itu adalah mengenai longkang, sungai, setinggan, banjir kilat, masalah setinggan dan seumpamanya. Ertinya dari satu segi Kuala Lumpur pada tahun 2009 ini seolah-olah sama dengan Kuala Lumpur pada tahun 1985 dulu.
Kepada kebanyakan rakyat, sistem pengangkutan awam menjadi antara ukuran utama kecekapan perkhidmatan pihak berkuasa bandar raya. Dari segi ini Kuala Lumpur 20 atau 30 tahun lalu adalah amat berlainan daripada keadaan semasa.
Pada tahun 1985, pengangkutan awam adalah sinonim dengan bas mini. Tetapi hari ini, perkhidmatan kereta api ringan iaitu STAR, Putra dan Monorail menjadikan Kuala Lumpur setanding malah jika tidak, adalah lebih baik daripada kota-kota besar dunia dari segi pengangkutan awam.
Namun jika ditinjau dari segi perkhidmatan kenderaan awam lain seperti bas, Kuala Lumpur seolah-olah masih tidur dengan mimpinya yang panjang. Kepada pengguna pengangkutan awam ini, perkhidmatan masih di takuk lama dengan masalah seperti kesesakan dan ketidak-tepatan jadual masih tidak dapat diatasi.
Disebabkan perkhidmatan bas yang tidak memuaskan ini dan kurang cekapnya sistem bas penyambung (feeder bus) di kebanyakan stesen LRT menjadikan arus pergerakan kenderaan awam tidak berkesan dalam memenuhi kehendak warga kota yang perlu bergerak cepat.
Bayangkan seorang penumpang LRT yang serba canggih selepas tiba di sebuah stesen akan terpaksa termenung lama memikirkan bagaimana dia hendak ke destinasinya sedangkan di situ tiada pengangkutan awam seperti bas. Mungkin yang ada hanyalah teksi dengan sesetengah pemandunya adalah orang yang suka 'cekik darah'.
Ketidakberkesanan sistem pengangkutan awam menyebabkan ramai warga kota memilih untuk berkenderaan sendiri ke pejabat atau urusan lain. Dalam kesesakan pagi di jalan-jalan sesak ibu kota, perhatikanlah dalam setiap kereta - hanya ada seorang (pemandu) dalam kereta itu. Jika setiap orang mahu memandu sendiri ke pejabat sudah tentu jalan ibu kota akan sesak sekali gus berlaku pelbagai pembaziran.
Kita tidak perlu meniru Jakarta dalam memperkenalkan peraturan kenderaan dengan sejumlah penumpang tertentu saja dibenarkan memasuki ibu kota, tetapi memadailah dengan segera membaiki sistem pengangkutan awam kita.
Dari segi membaiki perkhidmatan, banyak syor boleh dikemukakan kepada Datuk Bandar untuk menangani kesesakan.
Dalam kes saya sebagai pengguna kenderaan awam dari arah selatan yang menggunakan Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur, saya mencadangkan Datuk Bandar dan pegawainya memikirkan untuk membina sebuah stesen LRT berdekatan dengan lebuh raya itu. Dengar khabar sebuah stesen hab pengangkutan awam sedang dibina di Bandar Tasik Selatan. Jika benar alhamdulillah dan syabas.
Dengan adanya stesen itu, kenderaan dari arah selatan terutama bas dan teksi boleh diminta menurunkan penumpang di stesen itu. Penumpang kemudiannya boleh menaiki kereta api ringan untuk ke pejabat masing-masing di ibu kota.
Sebuah lapangan besar tempat meletakkan kenderaan juga wajar dibina di kawasan berkenaan bagi membolehkan pemilik kereta meninggalkan kenderaan, seterusnya menaiki LRT untuk ke tempat kerja masing-masing.
Jika dilaksanakan cadangan ini, saya percaya kesesakan yang berlaku setiap hari terutama waktu pagi di lebuh raya itu (berhampiran Lapangan Terbang Sungai Besi) dapat dikurangkan. Cadangan yang sama juga boleh dilaksanakan di laluan memasuki ibu kota dari utara, barat dan timur.
Dari segi 'pembangunan longkang', 20 tahun sudah berlaku tetapi masalah berkaitannya di KL masih bergema. Setiap kali hujan lebat, debaran jantung warga KL akan bertambah kencang. Apa tidaknya, jika hujan lebat, beberapa kawasan rendah KL akan dinaiki air, menghalang kelicinan lalu lintas sekali gus menyebabkan kesesakan jalan raya yang amat teruk.
Jika banjir, sistem pengangkutan canggih seperti LRT juga akan lumpuh sekali gus menyebabkan ribuan penumpang terkandas.
Dua puluh tahun lalu kita tidak mendengar tentang 'smart drain' (longkang pintar) bagi mengatasi masalah banjir kilat tetapi hari ini kita telah digembar-gemburkan istilah itu. Projek gergasi bernilai berbilion-bilion ringgit ini kini sudah siap pun pembinaan di Sungai Besi. Harap-harap banjir besar dapat dielakkan.
Manusia termasuk yang perakus terus melaksanakan projek mereka yang tidak pernah habis-habis di KL ini. Mereka yang bijak ini terus meratakan bukit, menarah gunung, mengempang sungai, menggondolkan hutan, menjarah bumi dan sebagainya.
'Pelahap' (pemusnah alam) inilah yang perlu diawasi wahai Datuk Bandar! Ini kerana jika silap perhitungan akan terjadilah bencana seperti tsunami yang meranapkan bumi Aceh tempoh hari, ataupun dalam skala kecil tragedi seperti di Highland Towers. Malah Bukit Antarabangsa pun sudah runtuh tempoh hari. Tetapi pemaju dan orang KL tidak pernah serik.
Inilah yang kita tidak mahu berlaku di KL yang sama-sama kita huni ini. Semoga Allah menjauhkan diri kita daripada bencana ini. Sekian, wassalam. Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 1 Februari ini!
No comments:
Post a Comment