Saya hadir di Masjid Tabung Haji tengah hari 9 Januari 2008. Selain bersolat Jumaat, saya terpanggil untuk sama-sama menyertai membantah kezaliman rejim Zionis (Israel dan sekutunya Amerika) ke atas penduduk Gaza. Saya tidak dapat menahan diri daripada tidak membuat apa-apa selepas melihat gambar menyayat hati anak-anak Palestin yang dibunuh sedemikian rupa.
Ketika berada di Masjid Tabung Haji, saya teringatkan suasana yang hampir sama kira-kira lapan tahun lalu (2001). Ketika itu saya solat Jumaat di masjid itu, kemudian menyertai jemaah membantah pembataian Amerika ke atas umat Islam Afghanistan.
Sebagai orang muda (ketika itu masih berusia 30-an), selepas solat saya pun bingkas bangkit, penuh bersemangat, berlari, berarak beramai-ramai ke Kedutaan Amerika. Panas mentari tidak dipedulikan. Laungan takbir saya turut membantu gegak gempita pemuda. Di depan pintu masuk kedutaan, saya gagah menahan panas untuk mengikuti ceramah ringkas pemimpin.
Ketika itu Afghanistan diperintah Taliban yang dituduh Amerika menyorokkan tokoh didakwa pengganas nombor satu dunia, Osama bin Laden. Kerana Taliban enggan menyerahkan Osama dan pemimpinnya Mullah Omar, Amerika pun menghujani bumi barakah itu ledakan dan bedilan roket.
Tindakan Amerika itu menyebabkan ratusan ribu rakyat Afghanistan menyerang sempadan, menjadi pelarian di Pakistan. Salah satu bandar sempadan yang menjadi tumpuan adalah Peshawar.
Hendak dijadikan cerita, saya dan jurugambar Nasir Sudin dihantar ke Peshawar untuk membuat liputan. Ketika itu semangat tinggi, apatah lagi ketika berada di sana, suasana sungguh menyayat dan memilukan kerana ketika itu Ramadan. Jadilah Ramadan yang dikongsi bersama pelarian Afghanistan begitu mengesankan. Masih terbayang-bayang kesejukan malam solat tarawih bersama jemaah di Masjid Emas, Peshawar.
Juga terbayang menikmati epal berdebu untuk berbuka puasa. Orang di sini nampaknya tidak peduli membasuh buah-buahan, mereka makan saja. Lagi pun air susah didapati. Jadi kami pun sama-sama makan epal berdebu. Bertawakal sajalah.
Hari ini (9 Januari 2009), saya benar-benar insaf kerana ketangkasan itu tiada lagi pada diri saya. Saya berjalan lambat-lambat ke Kedutaan Amerika. Nasib saya baik kerana berjalan di bawah bendera besar PAS yang dijulang oleh sekumpulan pemuda perkasa. Saya menumpang teduh di bawah bendera itu kerana tidak tahan sengatan sang matahari. Malulah saya berkeadaan begitu kerana ada golongan Hawa yang cergas bergerak di depan, tetapi 'apo nok dikato'.
Itulah saya, sejak disahkan sebagai penghidap kencing manis (diabetes) sejak tahun 2002, saya dapat merasakan kelainan diri. Kadang-kadang jika tekanan gula terlalu rendah, anggota badan akan berpeluh, kepala mula pitam dan mahu muntah rasanya. Badan pun terasa sengal-segal, kadang-kadang mahu mengangkat tangan pun ada masalah.
Jadi sebelum saya pengsan di tengah-tengah orang ramai itu dan menyusahkan orang yang mahu berdemo, lebih baik saya mencari ketenangan diri. Pada perhimpunan hari ini, saya yang sudah berada di depan pintu masuk Kedutaan Amerika, kemudiannya melintasi jalan dan mencari teduh di bawah pokok besar berhampiran Kedutaan Singapura.
Seorang rakan yang terserempak di sana, tertawa memandang saya. Ehh, demo di bawah pokok, katanya yang saya tahu ikhlas dan memahami di sebalik kata-kata itu. Tetapi terasa juga betapa saya semakin tua dan tidak berdaya. Saya buat setakat yang saya boleh, tidak terikut-ikut dengan upaya orang lain. Kalau orang boleh berdiri, berdirilah; biarlah saya duduk asalkan tidak menyusahkan orang lain.
Saya cukup sedar bahawa terkandung pengajaran yang cukup bermakna yang perlu saya dan rakan-rakan dan pembaca hayati. Orang tua-tua dan bijak berkata; ketika zaman kanak-kanak ilmu tiada, tenaga tiada pengalaman pun tiada; ketika muda tenaga banyak pengalaman kurang; sudah tua pengalaman banyak, ilmu banyak tetapi sayang tenaga pula sudah habis; itulah sebabnya manusia selalu tersadung dalam hidup ini.
Jadi kepada anak-anak muda, saya ingatkan, perhebatkan perjuangan jangan dibazirkan tenaga muda itu sebab akan ditanya nanti - zaman muda kamu ke mana kamu habiskan? Akan buruklah nasib badan jika dijawab dihabiskan di pub dan kelab (maksiat) sebaliknya akan berbahagiakan yang menjawab dihabiskan untuk perjuangan antara lain membela nasib umat Islam Palestin sekalipun melalui demonstrasi seusai solat Jumaat tadi (9 Januari 2009)!
No comments:
Post a Comment