Tuesday, January 20, 2009

Sketsa Melayu - 'Wedding of the Year' dan Palestin

Antara perkara panas dibualkan di kalangan orang Melayu/Muslim dewasa ini adalah perkahwinan Mawi-Ekin (kononnya akan menjadi 'Wedding of the Year'), kekejaman Israel di Palestin dan hal-hal berkaitan makhluk halus seperti pameran hantu di Muzium Shah Alam tidak lama dulu.

Perkahwinan Mawi-Ekin sudah terlalu banyak diperkata dan diperhebohkan. Terlalu banyak 'sosek' mengenai hal ini. Daripada halaman akhbar, medan 'online', 'gosip' kedai kopi dan pejabat, kebanyakannya, memperuntukkan terlalu banyak ruang dan masa membincangkannya. Sudah banyak tenaga, masa dan wang dihabiskan untuk perkara ini.

Namun inilah wajah sebenar masyarakat dan sesetengah orang Melayu. Pada ketika dunia gegak gempita dengan keganasan Zionis Israel laknatullah, mereka masih leka dengan hal-hal lara termasuk boros dan membazirkan masa, membincangkan hal-hal membabitkan nafsu serakah seperti pakaian, pelamin, 'setting' perkahwinan, jumlah tetamu, bersanding, berarak dengan kereta kuda malah hak siaran TV.

Melayu terus leka dan dilekakan. Daripada perkahwinan kononnya bagaikan kisah puteri dan Cinderella, Melayu terus dileka dan disogokkan keghairahan untuk menyaksikan malah sehingga kepada percaya kepada unsur-unsur tahyul melalui pameran hantu.

Jika dua perkara ini sudah dapat meleka dan melalaikan Melayu daripada realiti, apatah lagi hal lain yang lebih dahsyat lagi. Ambil saja Akademi Fantasia (AF) atau 'Jom Heboh' dan Juara Lagu sebagai contoh. Melayu terus hanyut dan semakin hanyut kerana mereka mudah saja 'dikong-kalikong'.

Ini baru membabitkan hal sosial, belum lagi menyentuh bab politik dan ekonomi di mana orang Melayu mudah saja tertipu dengan cakap-cakap muluk dan janji manis pemimpin bernafsu tinggi atau penyamun atau 'toyol' dan 'jenglot' yang bertopengkan manusia.

Pemimpin-pemimpin jenis ini juga bertuan dan bertuhankan 'jenglot', 'toyol', bomoh serta dukun bagi membolehkan mereka yang rakus ini terus berkuasa. Masakan tidak percayakan bomoh, sebab dulu pernah ada kes dukun kerat 18 seorang tokoh politik.

Bagi menakutkan orang awam yang kebanyakannya jahil, mereka bawakan segala macam toyol, hantu dan seumpamanya bagi menakutkan manusia Melayu. Kebanyakan Melayu akan terus berfantasi dan bersikap penakut dalam menghadapi realiti.

Nah, kezaliman sudah berada di depan mata. Tetapi disebabkan sudah ditakutkan dengan 'toyol' atau 'jenglot' atau oleh 'pemimpin toyol dan jenglot' (perompak harta rakyat dan negara), mereka takut untuk berubah.

'Pemimpin jenglot dan toyol' mengugut kalau rakyat berubah atau menukar kerajaan, nanti negara akan kembali menjadi seperti zaman Jepun - makan ubi kayu, atau pun negara akan huru-hara.

Kezaliman ini juga berlaku di luar negara. Umat Islam Palestin dilanyak semahu-mahunya oleh Zionis laknatullah, tetapi disebabkan sudah diajar oleh 'pemimpin toyol dan jenglot' yang berkiblatkan Washington, London, Paris dan Moscow, mereka bersikap bagaikan tidak apa-apa.

Berhubung perkara ini, penulis tertarik dengan penegasan seorang penceramah bebas, Dr Azhar Yaakob dalam kuliahnya di pejabat penulis baru-baru ini bahawa umat Islam dan pemimpinnya sudah dijangkit penyakit bakhil (kedekut), antaranya kedekut dari segi politik dan ekonomi.

Bakhil, katanya, bukan saja membabitkan wang ringgit dan harta tetapi pelbagai kelebihan lain seperti ilmu, tenaga, kepandaian, kuasa, pangkat dan kedudukan.

Orang berilmu jika enggan menyumbangkan ilmunya, dia itu kedekut, demikian juga jika seseorang itu kuasa dan kedudukan sebagai pemimpin, jika dia tidak menyumbangkan tenaga, masa dan buah fikirannya ke arah kebaikan sejagat, dia juga adalah kedekut.

Katanya, umat Islam kini diratah musuh kerana pemimpin mereka bersikap kedekut termasuk meninggalkan satu sunnah besar iaitu perisytiharan Al-Baraah (Al-Taubah) ke atas musuh-musuh Islam sebagaimana yang diperkatakan oleh ilmuan Islam, Syed Qutb. Ketika ini tiada pemimpin negara umat Islam yang bersedia menyeru kepada kesepakatan ummah sejagat dan kemudian mengisytiharkan perang termasuk pemulauan dan boikot apa saja perkara berkaitan rejim Zionis dan sekutu-kutunya.

Beliau berkata disebabkan tidak mengikuti sunnah ini, maka umat Islam bagaikan terompah kayu saja, yang menjadi bahan lanyakan saja oleh musuh-musuhnya. Inilah barah yang melanda umat Islam, katanya.

Persidangan demi persidangan, mesyuarat demi mesyuarat, tetapi umat Islam terus dizalimi - daripada krisis Bosnia, Kosovo, Chechnya, Kashmir, Selatan Thailand, Arakan (Burma), Selatan Filipina (Mindanao), semuanya tiada jalan penyelesaian.

Malah krisis Palestin yang sudah berpuluh-puluh tahun berlarutan di bumi ketiga paling suci dalam Islam, terus gagal ditangani sedangkan saban tahun umat Islam terus memperingati dan merayakan Israk Mikraj yang akan menjelang tidak lama lagi.

Jika Melayu/Islam terus dilekakan dengan apa didakwa 'Wedding of the Year' atau anak-anak mereka diajar untuk takut dengan 'jenglot', 'toyol', 'jin botol' dan 'bomoh', percayalah parti berslogankan 'dulu kini dan selamanya' akan terus memegang kuasa.

Ini kerana kebanyakan orang Melayu tidak peduli sama ada 'rumah kecil bertiang seribu' mereka semakin senget atau dihimpit kondominium pencakar langit asalkan perut mereka kenyang dan dapat menikmati aksi melampau dan terlampau program realiti seperti AF, filem dan drama Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Thailand dan kini menjalar sehingga Amerika Latin dan Korea.

Maka terpukaulah kebanyakan manusia Melayu di depan TV berjam-jam lamanya -siang dan malam - mungkinkah kerana terpana akibat melihat 'jenglot', 'toyol' dan 'jin botol' di Shah Alam. Sehinggakan apabila traktor dan jentolak sudah berada di depan pintu, bersiap-sedia merobohkan pondok masing-masing, mereka akan berkata: "Ini adegan filemkah?" atau " Ini cubaan saja. Cobaan (ejaan lama). Cobaan. Cobaan!" - Wallahuaklam bissawab.

No comments: