Thursday, January 15, 2009

Fikir-fikirkanlah 'Dacing Akhirat'

Beberapa hari menjelang pilihan raya, dacing mengamuk sakan. Dacing berada di mana-mana. Dacing mendominasi ruang dan tempat. Tengok kiri dacing, tengok kanan dacing. Tengok depan dacing. Dacing berimbang atas kayu ini sudah ketinggalan zaman - orang sekarang pakai dacing elektronik atau dacing ada muka. Tetapi kenapa dacing 'kuno' ini membiak subur akhir-akhir ini?

Subuh-subuh buta, keluar saja dari rumah untuk ke masjid, sudah nampak dacing. Malah dalam rumah pun, ceritanya tidak lain daripada dacing, dacing dan dacing. Radio cakap pasal kebaikan dacing. TV pun cakap pasal dacing. Malah apabila membuka saja komputer, lambang dacing tertera di skrinnya.

Bermotosikal untuk ke tempat kerja, sepanjang laluan nampak ribuan dacing. Di tepi sekolah, di tembok masjid ada dacing. Batang pokok pun tak selamat daripada ditampal dacing.

Sebut saja dacing, tidak salah untuk kuncu-kuncu pejuang dacing ini pasang lambang di bangunan awam, malah billboard (iklan besar di tepi jalan raya) juga terpampang gambar pemimpin dacing.

Beli akhbar dan baca berita, hampir semuanya pasal dacing. Ada iklan dacing. Pendeknya, di mana-mana saja ada dacing. Cerita akhbar, TV dan sebagainya berkisar kepada dua perkara saja. Satu dacing baik. Kedua, yang selain dacing, semuanya jahat-jahat belaka.

Kerana terlalu banyak dacing dan dikelilingi dacing, penulis cuba memahaminya dari sudut sosio-budaya orang Melayu. Dalam hidup bermasyarakat, atau norma manusia bertamadun, seseorang itu tidak boleh menilai dirinya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, kerana ketelitian bangsa ini, ada satu peribahasa menyebut 'masuk bakul angkat sendiri'.

Sekarang BN masuk dacing, selepas itu angkat sendiri. Sebab itu apabila harga barangan keperluan atau harga minyak naik, orang yang masuk bakul ini (dacing) akan berkata 'kenaikan ini tidak membebankan'.

Mana ada beban, dia sendiri sudah masuk dalam bakul. Yang menanggung beban adalah orang di luar bakul (luar dacing). Orang dalam dacing, semuanya kata tidak membebankan. Betullah tu, sebab dia berfikir dalam timbangan dacing. Macam ikan busuk atau ayam pencen sudah masuk dacing, takkan boleh menjerit, aku beratlah!

Memang hebat fikiran orang Melayu dulu. Mereka mencipta simpulan bahasa, peribahasa yang cantik-cantik itu sebagai iktibar untuk orang kemudian. Orang Melayu dacing tidak faham kecantikan dan keindahan bahasa Melayu. Sebab itu mereka menginggeriskan Sains dan Matematik.

Berbalik kita kepada peribahasa 'masuk bakul angkat sendiri'. Adalah norma dalam masyarakat, seseorang yang jahat tidak akan berkata dia jahat. Seorang pencuri tidak akan berkata dia pencuri.

Seorang penyamun tidak akan mengaku dirinya penyamun. Sebaliknya apabila berlaku sesuatu kecurian dalam sesebuah kampung, si pencuri yang terperangkap akan menjerit, mengejar orang lain dengan mengatakan orang lain sebagai pencuri.

Apa yang berlaku sepanjang zaman, seorang penyamun akan pura-pura buat baik bagi menutup 'kepenyamumannya'. Orang puasa dia puasa. Orang raya dia pun raya. Orang bayar zakat fitrah, dia pun bayar zakat fitrah. Orang naik haji, dia pun naik haji. Itulah penyamun tarbus namanya. Banyak filem sudah dibuat mengenai hal ini. Jadi apa nak dihairankan jika penyamun tarbus dacing mengaku dia terbaik di dunia ini.

Dalam masyarakat Melayu, adalah pelik seseorang itu mengaku dia baik. Orang Melayu ini pemalu. Orang Melayu yang baik tidak mendabik dada dia baik. Sebab baik itu adalah penilaian orang.

Apabila seseorang itu mengaku dia baik atau mengiklankan bahawa dia baik, tentulah ada yang tidak kena dengan dirinya. Apabila orang mendakwa dia baik, hampir pasti dia tidak baik atau ada 'wayarnya putus' (short-cicuit).

Orang Melayu halus dalam budi bicaranya. Ada yang gemar bercakap 'cara kebalikan' (reverse). Apabila seseorang anak terjatuh kerana memanjat pokok, bapanya akan berkata, "panjat, panjat, panjat lagi", tetapi hakikatnya si bapa tadi tidak mahu si anak memanjat pokok lagi. Demikian betapa hebatnya orang Melayu berbahasa!

Tetapi apa yang dacing sudah buat? Dacing mengiklankan dia hebat! Kalau digunakan pendekatan 'reverse' tadi, hakikatnya dacing itu tidaklah hebat. Kalau dacing kata PENDIDIKAN PERCUMA, ia bermaksud PENDIDIKAN TIDAK PERCUMA.

Tanyalah mana-mana ibu bapa yang ada anak di sekolah. Mana ada pendidikan 'free'. Bagi seorang anak, kos ke sekolah rendah pada penggal baru lalu adalah antara RM100-RM300. Anak sekolah menengah pula (asrama) kosnya antara RM500-RM1,000. Betul buku teks adalah 'free', tetapi janganlah berbohong menyatakan pendidikan 'free'.

Dacing memang suka cakap 'reverse'. Katanya jangan berpolitik di bangunan sekolah, masjid dan tempat awam lain. Tetapi dia buat. Katanya, jangan hasut rakyat, dia yang mempropaganda rakyat. Mana tidaknya, buka saja radio atau TV, akan terdengarlah dakyah murahan..."Kerajaan dacing telah buat itu, telah buat ini...kejayaan sana, kejayaan sini...cemerlang, gemilang, terbilang..."

Kalau dacing telah buat semuanya, orang lain selama ini buat apa? Selepas itu dibilang pula, "pembangkang huru-hara...rakyat tidak selamat...bla,bla." Demikiannya kerja dacing siang dan malam. Petugas penyiaran, wartawan yang mengaku beriman, tidak takut dosakah berbohong menyatakan dacing baik-baik saja?

Akhir sekali dengarlah nasihat terakhir yang terbaik mengenai hal ehwal dacing ini. Dacing dunia ini lazimlah sifatnya tidak dapat diadili. Kuasa, pangkat dan duit boleh membeli dunia ini. Bolehlah masuk bakul (dacing), angkat sendiri. Tetapi semua mahu ingat ada satu lagi dacing yang timbangannya MAHA TEPAT. Itulah dacing akhirat. Ketika diadili dacing ini, TIDAK BOLEH LAGI MASUK BAKUL (DACING) ANGKAT SENDIRI!

Ingatlah masa manusia itu hanya ada tiga ? SEMALAM, HARI INI dan ESOK. Semalam adalah sejarah. Hari ini buatlah kebaikan sebanyak mungkin. Esok (termasuk tanggal 8 Mac) belum tentu. Entah-entah esok sudah berada di alam barzakh. Jadi usahlah difikirkan sangat dacing di dunia ini, fikirkanlah dacing di sana. Itulah jalan selamat di dunia dan akhirat.

No comments: