Wednesday, June 10, 2015

Umno - dulu, kini dan selamanya menyusahkan rakyat

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

KERANA GST (cukai barangan dan perkhidmatan) peniaga tolak kerajaan BN - demikian lapor sebuah akhbar alternatif menarik perhatian saya. Antara lain laporan itu menyatakan selepas dua bulan GST diperkenalkan kini ramai peniaga berazam tidak mengundi Umno-BN pada PRU ke-14.

Mereka meluahkan kehadiran GST benar-benar membebankan kerana dipaksa membayar sehingga RM10,000 bagi membeli 'software' ditetapkan kerajaan. Keluarga seorang peniaga yang diwawancara merupakan penyokong kuat Umno-BN. Malah semasa kempen pilihan raya keluarga ini turun menyumbangkan tenaga bagi memenangkan calon BN.

Tanpa segan silu peniaga ini berkata beliau dan keluarganya akan mengajar Umno pada PRU ke-14 nanti kerana banyak menyusahkan rakyat. Ya, sejak akhir-akhir ini Umno 'semakin banyak' menyusahkan rakyat malah pemimpin semua peringkat termasuk tertingginya saling bercakaran dan tuduh menuduh manakala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa seperti dalam kes 1MDB menyebabkan rakyat termasuk pegawai kerajaan semakin tertekan. Malah organisasi kepercayaan rakyat seperti Tabung Haji 'mahu dirembat mereka'.

Kini di peringkat tertinggi berlaku 'peperangan' tidak berkesudahan. Misalnya bekas PM Mahathir Mohamad VS PM Najib Razak. Najib pula 'dilawan' oleh TPM Muhyiddin Yassin. Jika Muhyiddin ambil tempat Najib, siapa isi kedudukannya? Nama-nama yang ada - Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Hishammuddin Hussein - kurang menyakinkan. Penyokong pun tak yakin, jadi bagaimana; tidak berlakukah perang lagi dalam Umno?

Jelas sekali kepimpinan Umno sedang bergolak. Pemimpin Umno bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing. Kedudukan dan pangkat dan kuasa menjadi impian. Semua berebut jawatan tertinggi. Matlamat menghalalkan cara, yang penting aku berada di kemuncak kuasa. Itulah Umno, dulu kini dan selamanya. Selari dengan slogan ini, Umno juga menyusahkan rakyat (seperti yang dialami peniaga penyokong Umno) dulu, kini dan harap-harap tidak selamanya.

Sama seperti peniaga penyokong Umno itu, dulu ramai anggota keluarga kami turut menyokong Umno. Dulu, semasa aku kecil Umno dan kapal layar cukup kuat di kampungku. Apa tidaknya, ayahku pun pernah jadi 'ranas' (runners) untuk Umno masa pilihan raya. Dapatlah $10 (dulu belum pakai tanda RM). Tok guru aku pun kuat sokong Umno. Katanya, orang Melayu bukan undi calon (kalau wakilnya bukan Islam), tetapi pemimpin teratas, Tunku Abdul Rahman atau Tun Razak Hussein. 

Pengalaman masa kecilku dengan Umno, sedikit saja. Jadi aku tidak mahulah sentuh Umno zaman Tunku, Tun Razak dan Hussein Onn. Masa itu aku tidak peduli bab politik. Yang aku tahu belajar dan terus belajar, maklumlah nak jadi orang pandai. Disebabkan orang tuaku bantu Umno dan tok guruku pun orang Umno, aku kira Umno masa itu oklah. 

Aku nak cerita Umno selepas tahun 1986. Tahun itulah aku mula bekerja sebagai wartawan. Jadi tahulah aku sikit sebanyak pasal cerita Umno ini. Tahun 1986 ini, pemimpin Umno berkelahi besar. Tup-tup Musa Hitam 'resign' daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, dia dan Mahathir dikatakan bagus 'kliknya'. Pemimpin 2M. Ini menyebabkan ada dua kumpulan dalam Umno. Ada geng Musa Hitam ada geng Dr Mahathir.

Peletakan jawatan Musa Hitam menyebabkan Umno berkrisis sepanjang tahun. Pemimpin menyalahkan satu sama lain. Sebagai pemberita, aku diheret ke sana, ke sini. Sanusi Junid, kata macam ini, Anwar Ibrahim kata macam itu pula. Ghafar Baba pula lain 'story', Khalid Yunus pula lain pula cakapnya. 

Perbalahan pemimpin Umno ini habiskan 'tenaga' saja. Buat aku penat, dan orang lain penat. Sepatutnya mereka bersatulah, membangunkan bangsa, negara dan agama seperti yang sering dia orang ucapkan. Ini asyik bergaduh aja. Apabila bergaduh banyaklah tenaga, wang ringgit dan apa saja dibelanjakan untuk tujuan tidak berfaedah. 

Kemudian tahun 1988 berlaku satu kejadian teramat dahsyat. Sebab asyik saman menyaman dan tidak puas hati, dalam satu kes, mahkamah putuskan Umno parti tidak sah. Ertinya Umno sudah mati. THE END. Apabila Umno sudah mati, aku sebagai wartawan lagi susah. Kena berkejar sana, berlari sana, buat liputan. Bukankah pemimpin Umno ini menyusahkan rakyat saja. Bergaduh sampai parti diisytiharkan sudah mati. Apabila parti mati barulah mereka berpuas hati, agaknya. 

Apabila Umno mati, ada geng pulak dalam Umno. Punyalah dia orang menyusahkan wartawan seperti saya dan banyak orang lain. Kejap kena kejar PJ, kejap kena pergi Bangsar. Pada satu majlis di PJ, aku dengar Rais Yatim dan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) lanyak cukup-cukup sama Dr Mahathir. Belasah sana, belasah sini. Itu tidak kena, ini tidak kena. Yang kena (bagus) dia orang saja. Turut hadir Rahmah Osman, mana agaknya puan ini sekarang? 

Apabila Umno sudah mati, Dr Mahathir hidupkan Umno Baru. Masa mula-mula Umno Baru ini hidup, dalam surat khabar, dituliskan Umno Baru, kemudian Umno (B) kemudian tidak pakai apa-apa lagi, Umno saja. Hakikatnya, parti yang ada sekarang adalah Umno Baru. Umno lama dah mati. Umno baru inilah yang banyak menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...(tak beranilah aku tulis sebab besok siapa tahu). 

Sepuluh tahun kemudian (1998), Umno sekali lagi menyusahkan rakyat. Besar kesnya. Kali ini Timbalan Presidennya merangkap TPM, Anwar Ibrahim dipecat. Apabila dipecat, Anwar pun buatlah 'tour' jelajah Malaysia, cerita dia dizalimi. 

Selain Anwar, turut berceramah satu negara adalah salah seorang Naib Presiden Umno ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi. Tujuannya untuk menenangkan ahli-ahli Umno. Ketika Anwar dipecat, Abdullah ada di Durban, Afrika Selatan, menghadiri Sidang Kemuncak Komanwel atas kapasitinya sebagai Menteri Luar, mewakilkan Mahathir. 

Apabila balik (atau bergegas pulang?), Abdullah pun memulakan siri 'slow talk'nya kepada ahli-ahli Umno - menerangkan keadaan. Abdullah menjelajah kampung dan bandar, menceritakan keadaan sebenar. Beliau berusaha mengurangkan 'damage' yang sudah berlaku kepada Umno. Apa perkara sebenar yang diceritakan Abdullah itu? 

Pada masa Anwar dipecat, saya sudah 'resign' daripada tugas sebagai wartawan. Saya sudah bosan dengan dunia kewartawanan begitu. Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan semasa. Suatu hari saya sempat mengikuti 'talk' Abdullah kepada ahli-ahli Umno di Dewan Masjid Al-Azim yang terletak dalam Kompleks Masjid Al-Azim di tengah-tengah bandar Melaka. 

Apa Abdullah cakap mengenai Anwar? Katanya, dia pun sedih dengan pemecatan Anwar. Mereka sama-sama dari Penang. Kongsi banyak perkara. Kongsi banyak rasa. Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh ada dalam Umno, katanya. Ini kerana Anwar telah 'buat benda tu'. Kerana 'hal itu' Umno tidak dapat terima Anwar, katanya. Ini 'fitnah', tapi ada pemimpin Umno 'check dulu' atau tunggu keputusan mahkamah? Tidak, mereka ada agenda, mereka mahu jatuh menjatuhkan satu sama lain. Pantang saja dapat peluang...

Demikianlah Umno berpecah dan terus berpecah. Menyusahkan rakyat saja. Bukankah lebih baik semua tenaga yang ada digembleng untuk kebajikan rakyat. Ini asyik bergaduh saja, dulu, kini dan selamanya. Apabila banyak wang, tenaga, dan fikiran digunakan untuk bergaduh dan menaikkan diri sendiri, bila agaknya bangsa Melayu ini dapat ditolong. 

Kalau betullah Umno dah tolong orang Melayu, baguslah. Tetapi aku percaya jika orang Umno, terutama pemimpinnya tidak bergaduh besar sepanjang masa, macam anjing dan kucing, maka lebih banyaklah orang Melayu sudah tertolong. Apabila pemimpin asyik bergaduh macam mana rakyat nak jadi baik. Kata orang bapa borek, anak rintik. 

Sebab apa pemimpin Umno ini asyik bergaduh? Salah satu sebabnya aku ingat, dia orang tidak amal Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Jika terima Islam sepenuh, selamat dunia akhirat. Taklah selalu gaduh-gaduh macam sekarang. 

Orang Umno mahu ingat parti sendiri pun pernah mati, nanti Melayu pula akan mati. Kesian Hang Tuah dengan 'Melayu Tak Hilang Dari Dunia'nya. Jadi tolonglah pemimpin Umno, jangan menyusahkan rakyat, dulu, kini dan selamanya seperti yang awak sudah buat selama ini.

Monday, June 8, 2015

Dari UKM ke Harakah (18): Muktamar, perjuangan tegak Islam tetap diteruskan

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

SELEPAS menyertai Harakah pada September 1999, muktamar PAS pertama yang saya buat liputan adalah muktamar tahunannya ke-46 yang diadakan di Kuala Terengganu pada bulan Jun 2000.

Muktamar ini berlangsung di bumi Terengganu selepas kejayaan gemilang PAS dalam pilihan raya umum (PRU) ke-10 pada 29 November 1999 yang menyaksikan negeri penyu itu jatuh ke tangan parti Islam dengan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besarnya.

Saya sempat merekodkan sebahagian intisari ucapan dasar Presiden PAS ketika itu, Dato' Fadzil Mohd Noor (kini Allahyarham) dan Tuan Guru Abdul Hadi yang saya garapkan dengan isu-isu antarabangsa yang selalunya menjadi fokus saya. Sekalipun sudah 15 tahun berlalu, isu yang diutarakan masih relevan.

Antara lain saya mencatat: "Untuk hidup aman damai, manusia perlu saling faham memahami. Tetapi di persada antarabangsa masa kini keadaan ini tidak berlaku. Umat Islam terus dinafikan hak untuk mengamalkan segala peraturan yang telah digariskan oleh agama.

Mengenai cabaran global ini, Presiden PAS menegaskan: "Hari ini kita bermuktamar dengan suasana umat Islam di seluruh dunia sedang menghadapi cabaran yang amat besar. Kita sebagai gerakan Islam yang terunggul di rantau ini harus peka dengan cabaran-cabaran global yang dihadapi oleh dunia Islam dalam rangka kita melangkah ke abad ke-21 Masihi.

"Walaupun jumlah umat Islam di seluruh dunia kini melebihi 1.2 bilion dan dikurniakan dengan sumber hasil bumi yang melimpah-ruah, secara keseluruhannya umat Islam berada dalam kealpaan yang membawa kepada penghinaan.

"Jelas kepada kita kebanyakan konflik dunia adalah di wilayah-wilayah umat Islam. Lihatlah apa yang berlaku di Afghanistan, Palestin, Somalia, Algeria, Bosnia, Tajikistan, Sudan dan Chechnya. Umat Islam terus ditindas, dibelasahi, dizalimi, diperangi dan dihina tanpa segan dan silu lagi.

"Di Asia Tenggara umat Islam sedang berhadapan dengan kemelut bangsa Moro di Filipina, Rohingya di Burma (Myanmar), Patani di Thailand dan Aceh di Indonesia. Kita telah menyaksikan bagaimana persoalan Timor Timur (kini Timor Leste) telah dapat diselesaikan hasil desakan serta hasrat masyarakat antarabangsa untuk melihat kedamaian dan kestablian sejagat dihormati.

"Namun kita perlu peka dan prihatin kerana masih banyak wilayah yang mempunyai konflik seumpama ini. Kita mengharapkan agar masyarakat antarabangsa menggunakan 'neraca keadilan' dan 'pembelaan' yang sama seperti yang diberikan kepada Timor Timur."

Demikianlah antara perkara penting yang dapat saya kutip daripada ucapan dasar Ustaz Fadzil. Ya, keberkesanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensinya dalam menangani konflik Timor Timur yang majoriti penduduknya beragama Kristian, pernah diberi pujian tetapi bagaimana pula penerimaan dan tindakan pihak yang sama mengenai nasib yang menimpa umat Islam Chechnya, Kashmir dan selatan Filipina.

Hari ini pula kita dapat saksikan bagaimana Muslim Rohingya dizalimi di negara asal mereka, Myanmar; kemudian diusir dan  dibiarkan 'terkapai-kapai' di laut tanpa sebarang pihak termasuk pertubuhan antarabangsa bertindak segara. Demikian betapa malang nasib menimpa umat Islam.

Tuan Guru Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar Pemuda turut mempersoalkan sikap berat pertubuhan antarabangsa ini. Beliau hairan mengapa masyarakat antarabangsa dapat bertindak cepat di Timor Timur sedangkan tidak mempedulikan nasib umat Islam yang teraniaya di Bosnia dan Kosovo (Eropah Timur)..

Katanya, apabila menyedari kekuatan umat Islam rantau berkenaan selepas mereka dibantu saudara seagama dari bahagian lain dunia, barulah pihak antarabangsa bertindak. Berdasarkan perkembangan dan pengalaman kurang enak ini, Tuan Guru Abdul Hadi berpendapat umat Islam perlu berdikari demi kesejahteraan seluruh umat manusia.

Untuk menjayakan rancangan ini, segala hukum-hakam Islam hendaklah diamalkan dalam penghidupan dan inilah yang menjadi tunjang kepada perjuangan PAS - menegakkan hukum Allah di bumi ini.

"KIta akan meneruskan perjalanan (perjuangan) walaupun anjing-anjing berterusan menyalak di sepanjang jalan"  -  demikian antara kata-kata penuh makna Tuan Guru Abdul Hadi bagi menyemarakkan semangat pejuang PAS!

Wednesday, June 3, 2015

Isu Mesir; OIC menepati 'Ohh I See'?


DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 


BEKAS Presiden Mesir, Dr Mohamad Morsi dihukum gantung sampai mati. Demikian juga tokoh ulama kontemporari, Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi (hukuman dijatuhkan dengan Al-Qaradhawi tiada di Mesir).  Selain Morsi, ramai pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir juga dihukum mati manakala sebahagian lagi dihukum penjara.

Demikianlah betapa rejim Abdel Fattah As-Sisi berlaku zalim, bertindak kejam bagi menghapuskan sama sekali penentangan rakyat yang telah memberi mandat kepada Morsi dan Ikhwanul Muslimin melalui pilihan raya selepas era Hosni Mubarak yang ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat 'Arab Spring'. Kini rejim As-Sisi berazam menghilang sama sekali pengaruh dan apa-apa saja berkaitan Ikhwanul Muslimin di Mesir; mungkin mereka mahu berkuasa 'dulu, kini dan selamanya'.

As-Sisi dan rejimnya mengulangi keganasan dan kezaliman pemerintah/diktator masa lalu seperti Jamal Nasir, Anwar Sadat dan masa purba seperti Firaun, tetapi persoalan kita sebagai sebahagian umat ini, apa yang dilakukan oleh pertubuhan yang memayungi umat Islam sejagat iaitu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dulunya dikenali sebagai Pertubuhan Persidangan Islam.

Amat malang sekali perkembangan di Mesir langsung tidak peduli OIC, ironinya di bumi Mesirlah Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam diisytihar dan dikeluarkan pada Persidangan Menteri Luar Islam OIC ke-19 di Kaherah pada 5 Ogos 1990. Sebanyak 57 negara menandatanganinya, dan tentunya Mesir sebagai anggota kanan OIC dan tuan rumah persidangan turut mengambil bahagian!

Melalui dokumen itu, negara anggota OIC amat menyedari kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di bumi dan menyedari kepentingan mengeluarkan sebuah dokumen tentang hak asasi manusia dalam Islam yang akan menjadi garsi panduan buat negara ahli dalam semua aspek kehidupan.

Deklarasi Kaherah memperakui peranan sejarah dan pemeradaban umat Islam yang dijadikan Tuhan sebagai umat yang terbaik yang telah menyumbang kepada manusia sebuah peradaban sejagat dan seimbang dalam mana keharmonian antara kehidupan ini dan kehidupan alam kemudian dicapai dan dalam mana ilmu digabungkan dengan iman; dan peranan yang harus dimainkan ummah ini untuk membimbing manusia yang terkeliru dengan trend dan idoleogi-ideologi yang saling bersaing dan untuk menyediakan penyelesaian buat masalah-masalah kronik yang dihadapi peradaban materialistik ini.

Ia juga berhasrat untuk menyumbang kepada usaha-usaha manusia sejagat untuk menonjolkan hak-hak asasi manusia, untuk memelihara manusia daripada eksploitasi dan penindasan, dan untuk menyatakan kebebasan serta haknya terhadap kehidupan yang terhormat sesuai dengan Syariah Islam.

Dalam dekralasi  ada dinyatakan kehidupan adalah kurnia Tuhan dan hak kepada kehidupan dijamin buat setiap manusia. Menjadi tanggungjawab individu, masyarakat dan negara untuk memelihara hak ini daripada dicabul, dan adalah dilarang MENGAMBIL NYAWA melainkan dengan alasan yang dibenarkan Syariah.

Ia juga menyatakan diilarang mengambil tindakan yang memungkinkan penyelapan genosid manusia sejagat, pemeliharaan nyawa manusia sepanjang tempoh yang ditentukan Tuhan menjadi tanggungjawab yang diperintahkan Syariah dan keselamatan daripada kecederaan jasad adalah hak yang dijamin. Menjadi tanggungjawab negara untuk memeliharanya, dan dicegah pelanggarannya tanpa sebab yang ditetapkan Syariah.

Nah, OIC telah mengisytiharkan komitmennya di Kaherah, namun nampaknya ia hanya tertera di kertas saja; tiada sebarang tindak balas daripadanya. Kezaliman di depan mata tidak dipeduli, apakah OIC mahu mengiyakan persendaan masyarakat antarabangsa bahawa ia benar-benar tidak bertaring malah bergigi lantas layak digelar organisasi 'Ohh I See'.

Ketika Al-Sisi menggulingkan Presiden Morsi yang dipilih rakyat, OIC 'tidak berkutik pun' dan kini apabila Morsi dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, OIC juga tidak ada suara. Apakah OIC yang kini kepimpinannya dikuasai negara Arab pro rejim Mesir, mahu hilang wibawa di kalangan negara, gerakan, jemaah dan umat Islam.

Selain isu Mesir, kita cukup bimbang dengan perkembangan di dunia Islam seperti serangan Arab Saudi ke atas Yaman, kebangkitan Islamic State (IS) di Syria dan Iraq, masalah orang Islam minoriti seperti Rohingya, Kashmir dan Xinjiang yang tidak dipedulikan oleh OIC, negara dan umat Islam. Malah kini orang Palestin bukan saja dizalimi rejim Zionis tetapi juga rejim As-Sisi Mesir.

OIC yang Setiausaha Agungnya kini Iyad Amin Madani dari Arab Saudi nampaknya semakin kurang relevan dalam membela umat Islam, kita bimbang keberadaannya mutakhirnya adalah hanya untuk memuaskan nafsu negara pendukung syaitan dunia iaitu Amerika Syarikat. Kita doakan OIC tidak menepati sendaan 'Ohh I See'.