DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
BEKAS Presiden Mesir, Dr Mohamad Morsi dihukum gantung sampai mati. Demikian juga tokoh ulama kontemporari, Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi (hukuman dijatuhkan dengan Al-Qaradhawi tiada di Mesir). Selain Morsi, ramai pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir juga dihukum mati manakala sebahagian lagi dihukum penjara.
Demikianlah betapa rejim Abdel Fattah As-Sisi berlaku zalim, bertindak kejam bagi menghapuskan sama sekali penentangan rakyat yang telah memberi mandat kepada Morsi dan Ikhwanul Muslimin melalui pilihan raya selepas era Hosni Mubarak yang ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat 'Arab Spring'. Kini rejim As-Sisi berazam menghilang sama sekali pengaruh dan apa-apa saja berkaitan Ikhwanul Muslimin di Mesir; mungkin mereka mahu berkuasa 'dulu, kini dan selamanya'.
As-Sisi dan rejimnya mengulangi keganasan dan kezaliman pemerintah/diktator masa lalu seperti Jamal Nasir, Anwar Sadat dan masa purba seperti Firaun, tetapi persoalan kita sebagai sebahagian umat ini, apa yang dilakukan oleh pertubuhan yang memayungi umat Islam sejagat iaitu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dulunya dikenali sebagai Pertubuhan Persidangan Islam.
Amat malang sekali perkembangan di Mesir langsung tidak peduli OIC, ironinya di bumi Mesirlah Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam diisytihar dan dikeluarkan pada Persidangan Menteri Luar Islam OIC ke-19 di Kaherah pada 5 Ogos 1990. Sebanyak 57 negara menandatanganinya, dan tentunya Mesir sebagai anggota kanan OIC dan tuan rumah persidangan turut mengambil bahagian!
Melalui dokumen itu, negara anggota OIC amat menyedari kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di bumi dan menyedari kepentingan mengeluarkan sebuah dokumen tentang hak asasi manusia dalam Islam yang akan menjadi garsi panduan buat negara ahli dalam semua aspek kehidupan.
Deklarasi Kaherah memperakui peranan sejarah dan pemeradaban umat Islam yang dijadikan Tuhan sebagai umat yang terbaik yang telah menyumbang kepada manusia sebuah peradaban sejagat dan seimbang dalam mana keharmonian antara kehidupan ini dan kehidupan alam kemudian dicapai dan dalam mana ilmu digabungkan dengan iman; dan peranan yang harus dimainkan ummah ini untuk membimbing manusia yang terkeliru dengan trend dan idoleogi-ideologi yang saling bersaing dan untuk menyediakan penyelesaian buat masalah-masalah kronik yang dihadapi peradaban materialistik ini.
Ia juga berhasrat untuk menyumbang kepada usaha-usaha manusia sejagat untuk menonjolkan hak-hak asasi manusia, untuk memelihara manusia daripada eksploitasi dan penindasan, dan untuk menyatakan kebebasan serta haknya terhadap kehidupan yang terhormat sesuai dengan Syariah Islam.
Dalam dekralasi ada dinyatakan kehidupan adalah kurnia Tuhan dan hak kepada kehidupan dijamin buat setiap manusia. Menjadi tanggungjawab individu, masyarakat dan negara untuk memelihara hak ini daripada dicabul, dan adalah dilarang MENGAMBIL NYAWA melainkan dengan alasan yang dibenarkan Syariah.
Ia juga menyatakan diilarang mengambil tindakan yang memungkinkan penyelapan genosid manusia sejagat, pemeliharaan nyawa manusia sepanjang tempoh yang ditentukan Tuhan menjadi tanggungjawab yang diperintahkan Syariah dan keselamatan daripada kecederaan jasad adalah hak yang dijamin. Menjadi tanggungjawab negara untuk memeliharanya, dan dicegah pelanggarannya tanpa sebab yang ditetapkan Syariah.
Nah, OIC telah mengisytiharkan komitmennya di Kaherah, namun nampaknya ia hanya tertera di kertas saja; tiada sebarang tindak balas daripadanya. Kezaliman di depan mata tidak dipeduli, apakah OIC mahu mengiyakan persendaan masyarakat antarabangsa bahawa ia benar-benar tidak bertaring malah bergigi lantas layak digelar organisasi 'Ohh I See'.
Ketika Al-Sisi menggulingkan Presiden Morsi yang dipilih rakyat, OIC 'tidak berkutik pun' dan kini apabila Morsi dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, OIC juga tidak ada suara. Apakah OIC yang kini kepimpinannya dikuasai negara Arab pro rejim Mesir, mahu hilang wibawa di kalangan negara, gerakan, jemaah dan umat Islam.
Selain isu Mesir, kita cukup bimbang dengan perkembangan di dunia Islam seperti serangan Arab Saudi ke atas Yaman, kebangkitan Islamic State (IS) di Syria dan Iraq, masalah orang Islam minoriti seperti Rohingya, Kashmir dan Xinjiang yang tidak dipedulikan oleh OIC, negara dan umat Islam. Malah kini orang Palestin bukan saja dizalimi rejim Zionis tetapi juga rejim As-Sisi Mesir.
OIC yang Setiausaha Agungnya kini Iyad Amin Madani dari Arab Saudi nampaknya semakin kurang relevan dalam membela umat Islam, kita bimbang keberadaannya mutakhirnya adalah hanya untuk memuaskan nafsu negara pendukung syaitan dunia iaitu Amerika Syarikat. Kita doakan OIC tidak menepati sendaan 'Ohh I See'.
No comments:
Post a Comment