Tuesday, June 23, 2015

Wanita pertama; bantulah suami ke arah kebaikan..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
.

ADA kata-kata hikmah berbunyi - di sebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita sebagai pelengkapnya - si perempuan itu mungkin ibu atau isterinya.

Dalam banyak kes si isteri adalah pendorong kepada kejayaan dan kebahagian seorang suami dan tidak kurang juga si isteri adalah pelengkap kepada kehancuran suami.

Pasangan suami isteri di puncak kuasa sering menjadi rujukan masyarakat. Jika dulu si suami mungkin dikenali sebagai raja, khalifah, sultan manakala si isteri digelar permaisuri, ratu, sultanah manakala pada zaman moden ini dengan adanya gelaran presiden dan perdana menteri maka si isteri akan bergelar 'wanita pertama'.  Malah ada yang suka-suka memanggil diri sendiri 'wanita pertama'.

Wahai wanita pertama, gunakanlah kedudukan untuk membuat kebaikan sebanyak mungkin untuk kebahagiaan diri sendiri dan suami bukan saja untuk kebaikan di dunia tetapi juga sebagai saham di akhirat. Ingatlah wanita pertama akan sentiasa di contohi wanita-wanita di luar sana, Jika perlakuan baik dicontohi jutaan rakyat, banyaklah kebaikan akan diraih di akhirat nanti...ini mungkin 'saham' yang pahalanya berterusan di akhirat nanti.

Namun jika sikap kerakusan dipamerkan; misalnya gilakan kehidupan penuh glamor dan mewah, suka membazir dan boros berbelanja, gilakan perhiasan emas, permata dan barangan mewah serta mengamalkan cara hidup songsang seperti berbomoh dan 'berbotox' - ingatlah bahana besar akan menimpa jika berjuta-juta rakyat mengikut jejak hidup anda. Dosanya akan anda 'nikmati' bersinambungan di akhirat sana kerana perlakuan anda menjadi contoh diikuti rakyat, takut-takut dulu, kini dan selama-lamanya.

Dalam sejarah Islam, ada ramai wanita dicatat sebagai pemerintah dan yang berperanan sebagai 'wanita pertama'. Tentunya pada masa kini, kita tidak terlupakan Benazir Bhutto sebagai perdana menteri wanita Islam pertama pada zaman moden, demikian sebagai Megawati Sukarnoputri sebagai Presiden Indonesia.

Sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. (570-632 Masihi), dunia Islam tidak pernah sunyi daripada melahirkan tokoh wanita yang mencatat sejarah pada zamannya. Antara wanita itu ialah isteri Rasulullah s.a.w. sendiri, Sayidatina Khadijah binti Khuwailid, Sayidatina Aisyah Abu Bakar dan anakanda baginda, Sayidatina Fatimah az-Zahra.

Aisyah terbabit dalam kancah politik dan pernah bertempur dengan Muawiyah Abu Suffian iaitu khalifah Bani Umaiyah yang pertama. Khadijah diingati sebagai 'ibu kaum Muslimin' yang berstatus hartawan (jutawan) pada mulanya tetapi telah mengorbankan seluruh harta benda untuk perjuangan Islam sehinggakan apabila hampir meninggal dunia berpesan kepada Rasulullah dengan kata-kata yang bermaksud: "Apabila saya sudah mati nanti, jika tulang-tulang saya dapat digunakan untuk perjuangan Islam, gunakanlah ia..."

Salah seorang 'wanita pertama' yang hebat sumbangannya kepada kebajikan rakyat adalah Zubaidah Ja'far iaitu permaisuri kepada Khalifah Abasiyah teragung, Harun Al-Rashid. Zubaidah yang berkahwin dengan Harun Al-Rashid pada 185 Hijrah telah menghabiskan banyak wang dan hartanya sendiri untuk membina terusan dan saliran air untuk kemudahan jemaah haji di Makkah. Projek 'Ain (Terusan) Zubaidah itu tersangat hebat, bekas binaannya yang merentasi gunung dari Taif ke Makkah masih ada sehingga hari ini. Beliau juga membina pelbagai infrastruktur untuk kegunaan rakyat sepert masjid dan wakaf untuk kegunaan jemaah haji dalam perjalanan Iraq-Makkah.

Ya, ramai wanita pertama 'campur tangan' dalam urusan suami mereka sebagai pemerintah. Ada yang berkelakuan dan bertindak buruk; namun apa yang hendak ditekankan di sini contohilah mereka yang berkelakuan baik dan membuat pelbagai kebajikan. Mereka yang 'berkelakuan jahat' tidak perlu dicontohi, ramai daripada perempuan-perempuan ini menguasai istana-istana khalifah Umaiyah, Abasiyah dan Fatimiyah pada penghujung kekuasaan mereka. Kemewahan menyebabkan khalifah-khalifah lupa daratan. Mereka gemar berfoya dan bermesra dengan gundik daripada pelbagai bangsa. Hamba inilah yang berkuasa kerana khalifah lebih gemar mengikut telunjuk mereka dalam menjalankan tugas.

Sejarah Islam mencatatkan wanita Islam pertama menjadi pemerintah mutlak adalah Syajaratuddur daripada kerajaan Fatimiyah di Mesir. Syajaratuddur dicatatkan sebagai pemerintah yang mengetuai tentera Mesir mematahkan serangan angkatan Salib Kristian dan menawan Raja Louis 1X dari Perancis.

Wanita Islam lain yang menjadi ketua negara adalah Sultanah Radia daripada Dinasti Delhi yang memerintah India selepas menggulingkan abangnya Rosn ad-Din pada abad ke-13. Wanita Islam juga pernah memerintah Yaman. Antaranya Malika Urwa yang memerintah selama 50 tahun pada abad ke-11. Yaman juga terkenal dengan Ratu Balqis yang memerintah kerajaan Sabak pada zaman Nabi Sulaiman a.s.

Di Andalusia (Sepanyol) ketika Dinasti Umaiyah antara wanita yang mencatat sejarah adalah Az-Zahraa, Subaihah (Ratu Qurtubah) dan I'timad Ar-Rumaikiyah dan Aisha al-Hurra.

Bagi kita di Alam Melayu ini, muncul beberapa wanita Islam menjadi ketua negara. Sekurang-kurangnya empat wanita pernah memerintah kerajaan Aceh pada abad ke-17. Mereka termasuklah Taj al-Alam (Mahkota Alam) dan Nur al-Alam (Cahaya Alam). Sebahagian mereka menyumbang kepada kebajikan ummah, jadi apa kata 'wanita pertama' hari ini 'jangan menyusahkan suami' dengan gilakan kehidupan mewah termasuklah 'memburu' emas permata serta barangan berjenama, berbomoh dan 'berbotox' sebaliknya berbaktilah untuk kebahagiaan sejagat dunia dan akhirat!

No comments: