Saturday, June 13, 2015

Dari UKM ke Harakah (19): Pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan berterusan...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)


SALAH seorang tokoh akademik UKM yang kemudian menjadi pemimpin PAS adalah Dr Shafie Abu Bakar. Beliau adalah Adun Kajang bagi penggal 1999-2004. Pada Muktamar PAS Ke-61 di Kuala Selangor namanya disebut oleh Timbalan Pengerusi Tetap, Ustaz Kamal Ashaari dalam sesi perbahasan.

Kenapa? Ini kerana wakil rakyat kawasan sama yang ditukarkan namanya kepada Bangi, sekarang ini adalah Shafie Ngah. Ya Shafie juga. "Sebelum Shafie Abu Bakar, ada Adun bernama Shafie juga. Jadi kalau nak jadi wakil rakyat kawasan ini, pastikan awak bernama Shafie," kata Ustaz Kamal membuat perwakilan dan pemerhati ketawa berderaian.

Sebagai bekas 'budak UKM', tentunya ada 'aura tersendiri' antara saya dengan Dr Shafie. Suatu hari beberapa tahun lalu, saya berkesempatan mewancara Dr Shafie bagi mendapatkan pandangannya mengenai perjuangan dan kepimpinan.

Beliau berkisah mengenai perjuangan melepasi batasan tokoh dan sempadan politik. Seusai muktamar kali ini yang menyaksikan ramai tokoh di kalangan profesional 'tumbang', mungkin pandangan beliau dapat menjadi 'pengubat hati' sebelum seseorang itu kembali kepada semangat asal dalam perjuangan. Atau beliau akan lebih bersemarak lagi.

Berikut antara pesanan Dr Shafie: "Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana." 

Di sinilah terletak cabaran besar kepada umat dan pergerakan Islam termasuk PAS sedangkan parti lawan hanya berseronok-seronok untuk menang di peringkat tempatan dan nasional, katanya.

"Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global," kata Dr Shafie.

Dan jangan lupa tentangan bukan di kalangan manusia saja tetapi mahkluk pembinasa seperti iblis dan syaitan. 

Memasuki fasa pasca Tragedi 11 September 2001, ternyata cabaran umat dan pergerakan Islam semakin mencabar. Konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan Islam semakin menjadi-jadi malahan apa saja bentuk keganasan dengan segera dirujuk kepada orang Islam. 

Maka tidak hairan timbulnya istilah-istilah menjijikkan media massa Barat malah diterima pakai media milik orang Islam sendiri seperti 'militan Islam' 'pengganas Islam', 'terroris Islam', 'pengebom Islam' dan 'pelampau Islam'.

Dalam keadaan dunia kini seolah-olah di bawah telunjuk kuasa unipolar Amerika Syarikat dan kemajuan dalam bidang komunikasi, cabaran umat dan pergerakan Islam untuk menegakkan hukum-hakam Allah dan hidup berpandukan al-Quran dan sunnah menjadi semakin sukar. 

Kini di seluruh dunia timbul gerakan dan cengkaman kuasa untuk menafikan hak orang Islam. Misalnya di Eropah termasuk di Perancis, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan. 

Sebaliknya dengan pelbagai helah seperti istilah 'dunia tanpa sempadan', segala yang jijik berpunca daripada cara hidup songsang Barat seperti filem lucah dan kegilaan kepada maksiat seperti arak, zina dan judi dilambakkan di negara Dunia Ketiga khususnya di negara Islam. 

Jika ada kumpulan atau negara yang cuba hidup berlainan daripada budaya popular Barat, mereka akan dihancurkan. Inilah yang dialami oleh Taliban yang berkuasa di Afghanistan. Demikian juga dengan kuasa diberikan oleh rakyat kepada pemimpin Ikhwan Muslimin Mesir; mereka diguling oleh 'orang sebangsa' dan lebih dahsyat lagi dikenakan hukuman mati bagi menghapuskan sama sekali saki baki perjuangan mereka.

Jika pemimpin seperti Presiden Mesir, Mohamad Morsi sudah tiada (dihukum mati) 'akan lahir ramai lagi Morsi' sebagai kesinambungan kepada perjuangan. 

Kata Dr Shafie, pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung. Bagi individu Muslim, perjuangan itu sepanjang hayat manakala bagi umat dan jemaah Islam, ia akan berterusan sehingga hari kiamat.

Pandangan Dr Shafie selari dengan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-61 dengan tema 'Beristiqamah Hingga Kemenangan' di mana Presiden Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kemenangan yang dimaksudkan adalah luas dan berkekalan sepanjang dunia dan akhirat.

Presiden PAS mengingatkan bahawa dalam perjuangan, ada yang tidak beristiqamah sehingga gugur di pertengahan jalan; ya kepada pemimpin yang terpilih dan tidak terpilih, ingatlah bahawa pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan tidak begitu; ia tetap berterusan!

No comments: