Saturday, October 5, 2019

Rumah tangga 14: Timur Tengah bergolak hingga akhir zaman...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************* Renungan ************ "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)

SEKARANG ini di negeri kami (Melaka) kecoh pasal air. Dilaporkan bekalan air bersih (paip) dicatu di sesetengah kawasan. Pada ketika setengah orang 'bengang' sekarang ini, ada individu 'melawak' di laman sosial - di Melaka katanya, bukankah ada banyak tempat yang dinama sempena air seperti Ayer Keroh, Ayer Molek dan Ayer Lelah; jadi mana ada masalah air di sini!

Bercakap pasal air teringat pengalaman saya dan isteri ke Jordan (sebuah negara di Timur Tengah) tidak lama dulu. Memanglah di Jordan ada banyak tempat bersejarah yang dapat memberi pengajaran hebat seperti Petra, Gua Ashabul Kahfi, makam pada syuhada seperti Jaafar Abu Talib dan tokoh Islam seperti Bilal bin Rabah. tetapi 'pengalaman mengenai air' ini mungkin tidak dapat saya 'terlupakannya.'

Suatu lewat malam ketika berada di sebuah hotel di Amman (ibu kota Jordan) saya membuka kepala paip di bilik air...tiada air yang keluar. Saya menjadi panik...bukan apa...bukan tak ada air untuk minum tetapi memikirkan saya dan isteri dalam keadaan berjunub...macam mana mahu mandi wajib sedangkan esok selepas subuh akan berangkat ke kawasan yang jauh.

Fikir punya fikir saya dapat idea...di tingkat kami yang tinggi itu tiada air, mungkin di tandas tingkat bawah di lobi hotel ada air kerana di situ tekanannya bagus. Saya pun capai tuala kecil dan membawa beberapa botol minuman yang kosong menuruni lif. Alhamdulillah di tandas itu ada air. Saya pun mandi dan kemudian mengisi botol-botol dengan air dan membawanya ke bilik. Saya turun dan naik lif hampir 10 kali - untuk mengisi air di bilik agar isteri dapat mandi - ya demikianlah 'pengorbanan' seorang suami yang sayangkan isteri!, ehwah...

Sepanjang usia saya mengembara di serata dunia, di Jordan ini yang pertama saya hadapi di hotel tiada air...mungkin ini salah satu 'keluarbiasaan' di negara-negara Timur Tengah yang selalu bergolak. Apa saja boleh berlaku di rantau ini, baru-baru ini telaga minyak Arab Saudi diserang dan dirosakkan dalam masa yang singkat dan pantas.

Ya, suasana tegang sentiasa berlaku di rantau ini. Dari dulu hingga sekarang, malah sampai ke kiamat nanti. Ini kerana di sinilah akan berlaku peristiwa-peristiwa akhir zaman seperti turunnya Imam Mahdi, Dajjal dan Nabi Isa a.s., menurut hadis-hadis.

Sebagai penggemar sejarah Islam, rantau ini menarik minat saya. Apatah lagi mengingatkan kota-kotanya yang tergambar 'romantis' seperti Baghdad, Kaherah, Damsyik, Basra apatah lagi Makkah dan Madinah.

Kota Baghdad yang sinonim dengan Khalifah Harun Al-Rashid begitu mempesonakan. Sejak kecil lagi saya begitu berminat dengan kota yang terbabit dengan kisah 1,001 malam ini.

Pada 2003 dulu, kota Baghdad ini jatuh ke tangan Amerika. Kejatuhan Baghdad adalah detik hitam sejarah umat Islam, terutama orang Arab. Ini kerana buat pertama kalinya, sebuah ibu kota negara Arab diduduki 'penjajah' Amerika.

Pemusnah Baghdad adalah George W Bush (bekas Presiden Amerika) yang bergelar 'Bush The Destroyer' menyamai Alexander The Great (Iskandar Zulkarnain) dan Hulagu Khan (anak cucu Genghiz Khan) yang semuanya memusnahkan tamadun besar di bumi Iraq.

Jika kemaraan anak cucu Genghiz Khan memusnahkan dunia Islam pada abad ke-13 dapat disekat oleh seorang pemerintah Mesir, siapakah agaknya yang dapat diharapkan untuk menyekat kemaraan 'Bush The Destroyer' dan pengganti-penggantinya?

Jika anak cucu Genghiz Khan akhirnya memeluk Islam dan melahirkan dinasti agung seperti Moghul di India atau pemerintah Islam di Asia Tengah seperti Timurlane, apakah kesudahan nasib Bush dan anak cucunya (Amerika)?

Mungkinkah empayar Amerika akan tumbang seperti mana tumbangnya Soviet Union pada tahun 1991 dulu selepas melakukan pelbagai kezaliman ke atas umat Islam Soviet seperti orang Tartar, Chechen dan Tajik?

Penguasaan Amerika ke bukan bermakna 'sudah tamat kisah 1,001 malam'. Amerika dilaporkan akan meneruskan 'fantasi'nya, kali ini menghalakan 'mucung meriam'nya ke arah sejumlah negara di Timur Tengah terutama Iran.

Tetapi satu hal yang perlu diingat oleh 'Bush The Destroyer' dan pewarisnya ialah hakikat bahawa Asia Barat bukanlah medan mudah bagi bala tenteranya.

Catatan sejarah membuktikan rantau ini sentiasa bergolak dengan kuasa bertukar tangan dengan cepat sekali. Asia Barat adalah rantau yang paling banyak menyaksikan pergolakan dalam sejarah manusia. 'Kemenangan' Amerika dan sekutunya, hanyalah satu nota kecil dalam lipatan sejarah rantau itu yang sering dilanda peperangan sejak 5,000 tahun lalu.

Banyak empayar dan tamadun pernah bangun dan hancur. Penakluk dari Asia dan Eropah datang silih berganti untuk mengaut kekayaannya, yang mutakhirnya minyak. Raja Nebukadnezar dari Babylon, bangsa Rom, Iskandar Zulkarnain, bangsa Mongol, Napoleon Bonaparte, bangsa Turki (Uthmaniyah) - semuanya pernah membasahkan padang pasir rantau itu dengan darah.

Timur Tengah menjadi medan pertempuran bagi kedua-dua Perang Dunia. Sejak 1945, hampir seluruh pelosok rantau itu terbabit dalam konflik: Israel, Mesir, Syria, Lubnan, Iraq, Iran, Cyprus, Sudan, Chad, Libya, padang pasir Sahara, Algeria, Yaman, Oman dan Jordan.

Peperangan besar juga berlaku pada setiap dekad, bersama-sama konflik sempadan yang terkira banyaknya, revolusi dan rampasan kuasa. Jika hal ini diambil kira, Amerika dan konconya sengaja menempah padah dalam usahanya melanjutkan kisah 1,001 malam! 

Thursday, October 3, 2019

Rumah tangga 13: Beri peluang pembayar zakat tunaikannya kepada kerabat...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan, yang telah menciptakan manusia daripada bibit ('alaq). Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, yang mengajarkan dengan qalam (dengan alat tulis baca), mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq, 96: 1-5)

TIDAK lama dulu, ustaz pada kuliah subuh hujung minggu di kampung saya membicarakan bahagian Kebaktian dan Perhubungan Silaturrahim daripada kitab Bahru Al-Madzi - Syarah Mukhtashar Shahih At-Tirmidzi (Juzu' 13) susunan Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi. 

Ketika membicarakan bab keutamaan membuat bakti, ustaz menyatakan kedudukan teratas sekali adalah ibu, kemudian ibu, kemudian ibu (tiga kali) dan selepas itu baharulah bapa, kemudian anak, datuk, nenek, adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, bapa saudara, ibu saudara dan seterusnya.

Apa yang menariknya, beliau berulang kali menegaskan bahawa dalam membuat kebajikan termasuk menunaikan zakat hendaklah diutamakan kepada keluarga dulu dengan syarat anggota keluarga itu bukanlah dalam tanggungan kita seperti ibu bapa, isteri dan anak-anak tetapi termasuk dalam asnaf golongan layak menerima zakat seperti fakir dan miskin. 

"Jadi bukan semua wang zakat yang wajib ke atas kita, diserahkan kepada pusat zakat. Hal ini perlu orang awam ketahui dan orang yang menguruskan pusat zakat pun perlu mengetahuinya. Petugas pusat zakat sewajarnya memberitahu pembayar zakat bahawa mereka boleh memilih untuk mengambil sebahagian wang yang mereka mahu zakatkan itu untuk diberikan kepada anggota keluarga mereka yang layak," tegas ustaz.

"Namun ini tidak berlaku, apa yang terjadi pusat zakat mengambil semua wang pembayar zakat dengan tidak memberi peluang kepada mereka untuk berbakti kepada kaum kerabat. Sewajarnya, pembayar zakat dinasihatkan agar mengambil sebahagian daripada wang zakat itu untuk mereka menunaikan kewajipan itu kepada kaum keluarga masing-masing," katanya. 

Ustaz berkata adalah lebih afdal untuk berzakat kepada kaum kerabat kerana seseorang itu akan mendapatkan pahala lebih ketika dia salurkan zakatnya kepada kerabatnya daripada dia salurkan kepada orang lain. Ini kerana menyalurkan zakat ke keluarga nilainya berganda; selain dapat berzakat kita dapat mempererat silaturrahim.

Hal menyerahkan zakat kepada orang miskin yang masih kerabat dinilai lebih afdal daripada diberikan kepada orang lain, berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya zakat kepada orang miskin nilainya zakat (saja), sedangkan zakat kepada kerabat, nilainya dua: zakat dan silaturrahim.” (HR. Nasai, Dariri, Turmudzi, Ibnu Majah dan disahihkan al-Albani) - Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin 18 nombor 301 

Demikianlah, apa yang biasanya berlaku kepada kebanyakan pembayar zakat sekarang ini - mereka menyerahkan semua wang zakat itu kepada pusat zakat manakala anggota keluarga yang layak seperti miskin, fakir, terputus perbelanjaan dalam perjalanan atau sedang menuntut ilmu tidak disantuni. Maka, makin pudarlah hubungan siraturrahim sesama anggota keluarga, misalnya seorang pakcik yang kaya dilihat 'kedekut' kerana tidak membantu si anak buah yang benar-benar memerlukan bantuan untuk melanjutkan pelajaran.

Apa yang lebih menghairankan pusat zakat tidak memberikan nasihat ini sebaliknya mereka cenderung mengambil semua wang yang mahu dizakatkan. Memang betul penerima adalah termasuk lapan golongan yang diistilahkan sebagai asnaf seperti firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah Ayat 60 yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” 

Wang zakat ini perlu dikeluar dan diberikan kepada asnafnya apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Ertinya keluarkan dan berikan saja kepada golongan yang berhak tanpa diambil kira musim dan sebagainya. Orang yang ada dalam simpanannya harta yang diwajib dikeluarkan zakat mengikut syaratnya, tetapi menangguh-nangguhkan pada masa yang kononnya sesuai mengikut jadual mereka seperti hari kebesaran, mereka hanya mengundang ancaman daripada Allah SWT. Ertinya, dalam bab zakat ini, berikan saja kepada golongan yang berhak sebab mereka ada hak di atas harta itu, jangan banyak dolak-dalih.

Kemudian kepada pembayar zakat, berikan hak kepada mereka untuk menunaikan sebahagian zakat itu kepada anggota keluarga masing-masing yang layak! Mengapa tidak dihebahkan perkara yang tersangat baik ini yang ternyata dapat mempererat siraturrahim di samping perkara pokok iaitu menunaikan kewajipan masing-masing? 

Wednesday, October 2, 2019

Rumah tangga 12: Dua puluh tahun bersama Harakah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


SEPTEMBER 2019 genaplah 20 tahun saya menulis di Harakah.Pada Harakah Bilangan 1116, bertarikh 20 September 1999, muncul tulisan sulung saya di ruang pojok 'Duniaku Duniamu', kini ditukar kepada 'Celoteh LanH'. Sejak itu, sudah ratusan, mungkin ribuan artikel saya sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris 'termuat' dalam Harakah.

Bagi 'seorang manusia', usia 20 tahun belum matang; baharu belajar mengenal dunia - kata orang, bagai kura-kura yang baharu menjengok dari tempurungnya atau katak yang baharu keluar dari tempurung untuk melihat dunia...

Benar saya bagaikan 'katak atau kura-kura muda' yang 'tercenggang-cenggang' melihat 'keindahan dan keajaiban' dunia (contohnya ketika mengembara dalam atau luar negara dan mengikuti kelas pengajian tasawuf misalnya mempelajari kitab Hikam). Saya yang kini menginjak usia akhir 50-an, 'merasakan; saya 'masih hijau' dalam kehidupan tetapi apa nak dikata hakikatnya sudah berada di akhir usia. Orang putih kata 'the game is over'!

Dua tiga hari lalu, seorang jiran yang belum sampai pun 60 tahun berangkat menemui Illahi. Kalau diukur usia Nabi Muhammad s.a.w., saya hanya berpeluang menyambut hari raya tidak sampai lima (5) kali saja. Ya Nabi s.a.w. yang kita kasihi meninggal pada usia 63 tahun mengikut tahun Hijrah; kalau mengikut tahun Masihi umur Nabi s.a.w. kira-kira 60 tahun sahaja.

Jadi sebagai 'orang tua', salah satu perkara saya mahu berpesan kepada anak-anakku (anak semua manusia) - 'pahatlah ilmu di batu semasa muda', janganlah jadi jadi macam 'pakcik ini; - apabila dah tua barulah nak 'belajar agama'.

Ya, sejak pencen daripada bekerja sepenuh masa, hampir setiap malam pakcik luangkan masa, mengikuti pengajian di masjid. Namun, nampaknya sukar untuk mempelajari ilmu semasa tua ini bersama geng KRU (kumpulan rambut uban) dan RTM (rehat tunggu mati) pakcik. Selalu tersenggok-senggok dan tertidur ketika bersandar di tiang atau dinding. Ya, badan kena disandarkan di tiang atau dinding, jika tak terasa sakit tulang belakang. 

Kata sesetengah bijak pandai, orang tua ini berperangai pelik sikit - apabila konsentrasi diperlukan seperti ketika belajar dia tertidur tetapi semasa mahu tidur malam, dia tak boleh tidur...mata terkebil-kebil pandang sana sini macam cicak kubin!

Teringat pakcik sebuah syair Arab yang sebahagiannya berbunyi: Kukerap terlupa apa yang kupelajari pada masa tua sedang yang kupelajari pada masa muda tidak pula kuterlupa; takkan berkesan ilmu itu kecuali yang dituntut pada masa muda; kalaulah boleh dibelah hati si pelajar pada waktu muda kelihatan ilmunya umpama ukiran di atas batu; ilmu itu tak akan berkesan jika dituntut pada usia tua. Pabila tumpul hati tumpullah pendengaran dan penglihatan hidup manusia bergantung dua; akal dan logikanya Pabila luput kedua-duanya, hidup sia-sia tidak berhaluan. 

Pendeknya semasa tua ini, 'pikup' (pick up) kita terhadap ilmu sangat lemah. Semakin tua seseorang semakin sukarlah untuk dia menerima ilmu. Sebaliknya, fikiran seseorang kanak-kanak masih banyak ruang kosong, membolehkan dia mudah menerima ilmu sedangkan orang dewasa banyak perkara perlu difikirkan menyebabkan dia sukar menerima perkara baru. Kata orang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Atau lebih teruk lagi, ilmu melantun keluar sebelum masuk ke dalam telinga. 

Jadi 'pahatkan' ilmu di batu semasa muda; jangan menunggu masa tua seperti pakcik kerana ketika itu ia ibarat membuat lakaran di atas pasir. Apabila ombak datang, pasir pun sirna apatah lagi lakaran itu. 

Oleh itu wahai anak-anakku, janganlah dipersia-siakan usia muda kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara - hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, masa kayamu sebelum papamu dan zaman mudamu sebelum tuamu!" - Riwayat Al-Baihaki daripada Ibnu Abbas