Monday, January 28, 2019

Ringankan beban tampung persekolahan anak-anak...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

BARU-BARU ini seorang anak saya yang belajar di sekolah menengah harian (bukan asrama) meminta saya wang RM330; katanya untuk membayar pelbagai yuran sekolah yang 'dilonggokkan' di bawah PIBG.

Permintaan itu adalah daripada seorang anak; cuba bayangkan jumlah bayaran perlu dibereskan ibu bapa yang mempunyai ramai anak - sama ada di bangku sekolah rendah, menengah, pra-universiti dan institusi pengajian tinggi. Yuran bagi anak-anak di sekolah berasrama penuh 'mengerunkan' kerana ia boleh mencapai RM1,000.

Malahan bagi anak-anak yang hendak dimasukkan ke kelas pra-sekolah (tadika), perbelanjaannya lebih tinggi. Ada mendakwa tadika  'ada kelas sikit' mengenakan bayaran RM1,000!

Demikianlah bukan murah memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak. Namun menjadi harapan kita kerajaan HARAPAN dapat melihat perkara ini dan mencari jalan bagi meringankan bebanan rakyat (khasnya ibu bapa) dalam menyekolahkan anak-anak agar mereka menjadi insan terbaik pada masa depan.
 
Ya, diakui bahawa bagi melahirkan sebuah tamadun hebat, sejajar dengan pengorbanan semua peringkat masyarakat daripada ibu bapa sehinggalah guru, setiap insan perlukan pendidikan terbaik sama ada dari segi keperluan keduniaan atau akhirat. 

Masa depan negara bergantung kepada generasi mudanya. Mereka wajar mendapat pendidikan terbaik termasuk bimbingan kerohanian bagi membolehkan generasi akan datang memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan tanah airnya. 

Namun demikian, kos pendidikan semakin lama semakin tinggi, suatu hari nanti dikhuatiri tidak mampu ditanggung golongan sederhana sekalipun. Perkembangan ini sungguh membimbangkan kerana pendidikan sebenarnya adalah keperluan asas yang didambakan setiap rakyat.

Mengapa kos pendidikan yang dikenakan ke atas anak bangsa berterusan naik;  perkara ini perlu ditangani secara bijaksana oleh pemimpin HARAPAN dalam suasana 'udara segar' Malaysia Baharu.

Kita perlu fikirkan di beberapa negara maju seperti Britain, Sweden dan Finland pendidikan adalah percuma sedangkan ibu bapa di negara kita dikenakan bayaran yang berterusan naik pada sesi baharu persekolahan. 

Selain kos semakin meningkat di sekolah, pengajian peringkat tinggi juga mahal. kita difahamkan setiap pelajar dikehendaki membayar yuran yang mencecah RM1,000. Bagi meringankan beban ibu bapa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pendahuluan pinjaman RM1,500 bagi setiap pelajar baharu. 

Ertinya sebelum seseorang pelajar itu memasuki institusi pengajian tinggi, dia sudah mula mengumpul hutang; selepas tamat pengajian beberapa tahun kemudian, berapa agaknya hutang terkumpulnya kepada PTPTN? 

Hutang pendidikan begitu membebankan rakyat, terutama generasi muda yang baharu menempoh dunia pekerjaan. Akibat terlalu banyak komitmen, pelbagai masalah termasuk dari segi sosial akan membelenggu sekali gus menjejaskan kemajuan dan kesejahteraan negara. Kini timbul desakan agar PTPTN ini dikaji semua termasuk dihapuskan agar diberikan pendidikan percuma kepada rakyat. 

Perkembangan ini membuktikan bahawa tinggi harapan rakyat agar HARAPAN dapat memberi komitmen menyediakan pendidikan percuma kepada semua rakyat Malaysia, daripada peringkat tadika sehinggalah ke pengajian ijazah pertama.

Harapan rakyat wajar diusahakan semampu mungkin oleh kerajaan HARAPAN kerana pendidikan percuma itu adalah berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana antara lain menyatakan hak bumiputera untuk berdaya saing dengan kaum lain; salah satu carannya melalui pendidikan. 

Sayogia usaha baik ini diperluaskan kepada semua kaum; semua pihak terutama pelajar yang memerlukan akan dibantu sepenuhnya agar semua rakyat berpeluang mendapat pendidikan terbaik daripada tadika sehinggalah ke pengajian tinggi.

Kita yakin, 'keberhasilan' negara daripada pencukaiannya dan keuntungan puluhan bilion ringgit oleh Petronas, membolehkan rancangan pendidikan percuma itu dijayakan. Ya dengan syarat, kewangan negara ditadbir dengan telus, maka tidak timbul soal untuk memotong peruntukan dengan banyaknya dalam bidang pendidikan negara sehingga ibu bapa perlu membayar 'yuran besar' bagi pendidikan anak-anak mereka.

Friday, January 25, 2019

Jangan lari... (27): Memutuskan siraturahim mengundang bencana...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
PERBEZAAN pendapat dibenarkan tetapi memutuskan siraturahim adalah haram. Demikianlah sering kali kita diingatkan jika kita rajin mengikuti kelas-kelas pengajian di surau, masjid atau di pejabat.

Di samping itu kita juga sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu. 

Jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup. 

Jika demikian kewajipan besar kepada ibu bapa, adalah amat memilukan jika ada anak-anak yang sanggup berpatah arang dengan orang tua mereka termasuklah kerana perselisihan pandangan dalam politik.

Akibat daripada terputusnya hubungan ini, ada anak-anak yang sudah lama tidak menjenguk ibu bapa masing-masing. Mereka tidak peduli kebajikan orang tua mereka di kampung - makan ke, sihat ke, mereka tak ambil kisah lagi.

Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan. 

Seorang tokoh agama berkata ramai anak-anak sekarang sudah jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka. 

Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan. 

Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja. 

Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu. 

Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi. 

Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati. 

Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung. Ya, jangan lari daripada mempelajari dan mengamalkan ilmu agama.

Apabila kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' seperti yang kita ucapkan sekurang-kurangnya 17 kali sehari (dalam setiap rakaat solat), insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar.  

Monday, January 21, 2019

Kebajikan rakyat: Henti cari alasan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

DULU saya seronok mendengar ceramah tokoh-tokoh pembangkang yang hari ini sudah menjadi pemimpin kerajaan...antara lain mereka mengkisahkan tokoh-tokoh masyhur yang begitu prihatin nasib rakyat, antaranya Umar Abdul Aziz, seorang Khalifah Bani Umaiyah (memerintah 717-719 Masihi) yang kerap dianggap sebagai Khalifah Al-Rasyidin kelima selepas Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

Daripada percakapan mereka, seolah-olah mereka 'mahu menjadi' Umar Abdul Aziz atau setidak-tidak mencontohinya. Mungkin ada yang sudah lupa, jadi 'diputarkan' kembali sedikit sebanyak kisah Umar Abdul Aziz (hidup 682-719 Masihi). Ya, Umar Abdul Aziz hidup lebih kurang 37 tahun dan memerintah dua (2) tahun saja tetapi dapat menjadikan kebajikan rakyatnya yang terbaik pada zaman itu.

Umar Abdul Aziz masyhur dengan 'kisah lampunya' (integriti). Dia memadam lampu kerajaan tatkala melayan anaknya...dialah yang mengungkapkan kata-kata tegas penuh ketakutan kepada Allah SWT kepada isterinya, Fatimah selepas dilantik khalifah yang kerajaannya terbentang dari Lautan Atlantik di barat ke India di sebelah timur dalam usia 35 tahun.

Khalifah berkata dia tak ada masa lagi untuk berseronok-seronok dengan anak isterinya, masa yang ada termasuk waktu tidurnya di atas tilam empuk dalam istana indah, perlu dikorbankan seluruhnya untuk Allah SWT termasuk melayan keperluan rakyat. Kalau isterinya bersedia menjalani kehidupan begitu berpanjanganlah jodoh mereka, jika tidak suka, dia sedia menceraikannya "dan kamu carilah lelaki lain yang boleh membahagiakan kamu." 

Sungguh Umar Abdul Aziz telah menjalankan pemerintahan dengan penuh ketakutan kepada Allah SWT sehinggalah dia meninggal dunia pada usia 37 tahun. Sungguhpun pemerintahannya tersangkat singkat, keadilannya disanjung Timur dan Barat, membolehkan namanya diletakkan sebaris dengan Khalifah Al-Rasyidin yang empat.

Umar diiktiraf di peringkat antarabangsa. Wikipedia mencatatkan: The short rule of Hazrat Umar Abdul Aziz (717-719 AD) was like an oasis in a vast desert -- a benevolent rain which had fallen on an arid soil. It was the brightest period in the 91-year Caliphate of the Umayyads, which, though short lived, had transformed the outlook of the State and had released such powerful democratic forces that after his death the attempts for the restoration of autocracy under Hishaam failed miserably and ultimately culminated in the fall of the Umayyads at the hands of the Abbasids.  

Kehebatan dan keadilan Umar Abdul Aziz Bagi juga tersebar di Alam Melayu. Pada tahun 718 Masihi, Raja Srivijaya (empayar terbesar ketika itu), Sri Indravarman mengutus surat dengan hadiah-hadiah kepada Khalifah memohon dihantar wakil ke Palembang untuk diajar Islam kepada baginda dan rakyatnya.

Nah, kisah Umar Abdul Aziz yang menjadi 'basahan mulut' pihak tertentu suatu ketika dulu, sekarang ini perlu disemarakkan terus di kalangan pemimpin (yang sudah berkuasa) sekarang. Apabila mengingati Umar Abdul Aziz, sedarlah kita bahawa tokoh ini 'tidak diwariskan kebagusan' ketika mengambil alih pemerintahan.

Umar mewarisi sebuah pemerintahan yang korup, boros, bermewah-mewahan dengan sesetengah khalifah, pemimpin tertinggi termasuk gabenornya amat zalim. Mereka termasuklah Yazid bin Muawiyah dan Al-Hajjaj Ibn Yusuf Al-Thaqafi yang didakwa membunuh ribuan rakyat.

Jadi kepada mereka yang 'menjadikan Umar Abdul Aziz' sebagai rujukan masa lalu, adalah 'tidak bagus' untuk menyalahkan rejim lama yang banyak berhutang atau menjadikan  pemimpin lama yang korup dan perasuah sebagai alasan untuk melambat-lambatkan atau tidak langsung menunaikan 'janji-janji bagus' kepada rakyat. Mereka tidak boleh mendiamkan diri daripada 'bercakap' untuk mencontohi Umar Abdul Aziz.

Mereka juga tidak boleh menjadikan alasan tempoh pemerintahan masih awal atau singkat kerana tokoh yang mereka uar-uarkan dulu (Umar Abdul Aziz) dalam tempoh dua tahun sudah memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Ya, kebajikan rakyat adalah keutamaan pemimin. Kisah Khalifah Harun Al-Rasyid (memerintah 786-803 Masihi) daripada bani Abasiyah ini wajar dijadikan teladan. Baginda bukan hanya terkenal gagah berani, namun sangat mencintai para ulama. Khalifah sering kali menziarahi para ulama untuk mendengar nasihat dan fatwa mereka.

Ketika menunaikan haji, baginda berjumpa  Abdul Aziz Al-'Umari. Beliau adalah seorang ulama alim dan zuhud, Khalifah segera menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan nasihat daripadanya.

Abdul Aziz bertanya: "Wahai Khalifah, adakah tuan melihat kumpulan manusia yang berkumpul di Baitulllah?"

"Ya," jawab Khalifah. "Berapa jumlah mereka?" "Mereka sangat ramai. Bilangan mereka tak terhitung." Al-'Umari berkata: "Ketahuilah wahai Khalifah, setiap orang daripada mereka pada hari kiamat nanti akan ditanya tentang diri mereka sendiri. Akan tetapi engkau akan ditanyakan tentang setiap orang daripada mereka semua."

Mendengar ucapan ini, Khalifah hampir pengsan. Baginda menangis membayangkan betapa beratnya hisab di akhirat bagi sesiapa yang menjadi pemimpin di dunia. Harun Al-Rasyid menangis tetapi bagaimana pemimpin kita termasuk diri ini sebagai pemimpin kecil (seperti mengepali rumah tangga)?