Tuesday, May 3, 2011

Rahsia guruku asyik sebut-sebut ulama dari Lubuk Merbau…

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya." (Al-Baqarah 278)
***

SEORANG ustaz dalam kuliah mingguannya (kuliah subuh) di sebuah masjid berhampiran rumah penulis, pada permulaan pengajian selalu menyebut-menyebut dan memuji-muji akan Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi yang katanya satu-satunya ulama Melayu dari Nusantara yang kitabnya disyarahkan di Masjidilharam.

Katanya, kitab-kitab ulama bukan Arab seperti dari Pakistan dan India biasalah disyarahkan di Makkah tetapi tidak demikian dengan kitab ulama Melayu. Hanya kitab Sheikh Idris Al-Marbawi dari Alam Melayu disyarahkan di sana, katanya.

Oleh kerana setiap kali pengajian dia menyebut akan ilmuan dari Lubuk Merbau, Perak ini, saya pun mengambil inisiatif untuk mengenali beliau. Maklumlah saya yang berpendikan sekular amat jahil dalam mengenal ulama-ulama tanah air, apatah lagi yang mengarang kitab dalam bahasa Arab. Sepuluh tahun terakhir ini barulah saya kenal kitab Hikam yang disusun Sheikh Ibni Atho’illah As-Kandari.

Untuk mengenal kitab Sheikh Idris Al-Marbawi adalah lagi jauh, tetapi syukurlah kini saya sudah memiliki dua juzuk daripada kitab Bahru Al-Madzi (tulisan rumi). Sheikh Idris adalah satu-satunya anak Melayu yang mensyarahkan hadis-hadis yang dikumpul At-Tirmidzi yang kitabnya ada di perpustakaan terkemuka di dunia Islam termasuk di Makkah Al-Mukarramah, kata ustaz berkenaan.
Siapa Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi?

Ulama yang mengambil nama sempena kampungnya, Lubuk Merbau ini, dilahirkan di Makkah pada 1893 Masihi. Dalam usia 10 tahun beliau sudah hafal 16 juzuk al-Quran. Sekembalinya beliau dan keluarganya ke Lubuk Merbau, beliau menyambung pengajian di pelbagai pondok termasuklah Pondok Syeikh Wan Ahmad di Bukit Candan, Kuala Kangsar: Pondok Tuan Hussein di Pokok Sena, Kedah; Pondok Syeikh Ahmad Pattani, Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Dua buah judul karangannya meletakkan beliau tersangat dekat di hati anak-anak murid (menurut ustaz yang mengajar di masjid kampung saya, Syeikh Idris menggunakan ayat menggambarkan kedekatan itu seperti “ketahuilah ya saudaraku”) iaitu Kamus Idris Al-Marbawi (Kamus Arab-Melayu) dan Bahru Al-Madzi (Bahru Mazi Li Syarah Mutkhtashar Shahih At-Tirmizi). Bahru Madzi adalah terjemahan dan syarah kitab hadis Sahih Tirmizi. Ia menghurai 2,775 hadis yang yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi. Ini adalah kitab syarahan hadis Nabi s.a.w. yang pertama sekali dalam bahasa Melayu yang yang terbesar (22 jilid, lebih 5,000 halaman). – Rujukan majalah Anis, Mei 2010, Sheikh Idris Al-Marbawi Menghurai 2,775 Hadis.

Tidak dinyatakan tarikh mula ditulis, melainkan pada tiga jilid terakhir disertakan fakta berkenaan. Kata Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi dalam jilid 20, “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang ke-20 ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.”

Manakala dua jilid lagi – jilid 21 mulai dikarang pada 26 Syaaban 1374 (255 halamam) dan jilid 22 mula dikarang pada 25 Rabiulawal 1376 (242 halaman) dan selesai pada Jamadilakhir 1377. Semua karangan Sheikh Idris dihasilkan semasa berada di Mesir, berselang-seli dengan kesibukannya menuntut ilmu dan mengajar.

Kenapa dikatakan gaya kupasan Sheikh Idris dekat di hati anak-anak murid atau mereka yang mentelaah kitabnya. Mari kita rujuk salah satu bab dalam kitabnya yang menyatakan Islam melarang keras umatnya termasuk imam (pemimpin) daripada mungkir janji. Dalam Bahru Al-Madzi, Juzuk 11, muka surat 225-226, ada ditulis: “Daripada Ibnu Umar, katanya: ‘Telah aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam, bersabda ia: Bahawasanya yang menyalahi janji, dirikan baginya bendera pada hari kiamat.” (Hasan Shahih)

“Ketahuilah kiranya, YA SAUDARAKU! Telah dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi satu hadis yang menunjukkan ada bagi tiap-tiap orang yang menyalahi janji di dunia, iaitulah begini bunyi hadisnya, yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu alaihi wassalam, namanya Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, katanya: Telah aku dengar Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam, bersabda ia: Bahawasanya orang yang menyalahi janji itu didirikan baginya bendera pada hari kiamat di punggungnya.”

Maka bendera itu diangkat tinggi atas kadar menyalahi janjinya kerana memasyhur kepada alim akan tabiatnya di dunia. Maka yang lebih besar bendera ialah bendera raja yang menyalahi janji dan diberitahu pada sekalian bendera itu dengan kata: “Inilah penyalahi janji si anu.” Kata Abu Isa hadis ini hasan shahih.

Menyalahi janji itu haram, istimewa pula daripada orang yang mempunyai pemerintahan kerana menyalahi janjinya membawa kepada mudarat melampau kepada makhluk yang banyak.

Dan kata ‘qil’: Sebab haram berlebih-lebih orang yang mempunyai pemerintahan itu kerana ketiadaan yang memaksakan dia kepada menyalahi janji oleh kekuasaannya atau menyempurnakannya, sebagaimana yang datang ia pada hadis yang shahih pada membesarkan dosa bohong raja besar.”

Penggunaan ungkapan YA SAUDARAKU mendekatkan Syeikh Idris dengan pembaca tetapi agak sukar juga bagi orang umum seperti saya memahami kupasan Sheikh Idris. Oleh itu seseorang itu perlu berguru bagi memahami kitab beliau. Sheikh Idris Al-Marbawi telah meninggalkan khazanah tidak ternilai dalam perkembangan dan pengamalan Islam di Alam Melayu.

Beliau beliau meninggal dunia dalam usia tua pada 1989. Syeikh Idris dimakamkan di kampung tercintanya Lubuk Merbau, dan sehingga kini nama Al-Marbawi masih disebut-sebut oleh tok guru, ustaz, ustazah dan mereka yang dekat dengan lubuk ilmu Islam.

Monday, May 2, 2011

Sudah nasib, wanita perlu ‘bertelanjang’ untuk bersukan...

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam jannah yang penuh kenikmatan, dan sesungguhnya orang-orang yang durhaka benar-benar berada dalam neraka." (QS. Al-Infithar: 13-14)

***
ADEGAN seorang lelaki asyik menonton siaran langsung sukan renang (air) dan gimnastik di kaca televisyen dimarahi isterinya kerap menjadi bahan lakaran kartunis. Bukan apa, isteri meradang melihatkan keasyikan si laki melihat tubuh wanita yang terbabit dalam acara sukan berkenaan.

Memang dunia sukan menampilkan atlet wanita yang memakai ‘seadanya’ dalam acara berkenaan dan kini ditambah lagi dalam acara seperti bola tampar pantai, malah dalam acara olahraga pun pesertanya tampil dengan pakaian menyamai coli dan seluar dalam. Sesetengah atlet wanita Malaysia masih kekal dengan singlet dan seluar pendek tetapi sesetengah yang berani sudah mengikut rakan mereka dari Barat.

Dalam acara badminton, biasanya peserta wanita tampil dengan baju-T dan seluar pendek. Mulai 1 Mei ini pemain wanita dikehendaki memakai skirt pula – itulah kod pakaian baru Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Semua pemain wanita perlu memakai skirt pada kejohanan Grand Prix dan kejohanan utama yang menurut IMF akan menjadi daya tarikan kepada sukan tersebut. Apa tak tertariknya lelaki kerana apabila pemain melompat, akan terangkat-angkatlah skirt itu dan berdebar-debarlah hati dan terbelalaklah biji mata mereka!

Demikianlah betapa sukan moden mengeksploitasi tubuh wanita. Tetapi wanita sendiri tidak bantah, malah suka pula, jadi apa boleh dilakukan?

Dalam isu ini, tidak terdengar pula pemimpin dan aktivis-aktivis wanita yang biasanya lantang bersuara, menyatakan bantahan. Mungkin mereka suka agaknya. Apabila mereka suka, takkan kita ini yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong nak ke depan?

Namun sukacita kita nyatakan dalam bab berhubung pakaian ahli sukan wanita ini, pemimpin dan aktivis Iran kerap ke depan bagi memperjuangkan hak wanita untuk berpakaian sempurna ketika bersukan. Tidak lama dulu, Persekutuan Bola Sepak Iran memperjuangkan agar anggota pasukan bola sepak wanita mereka diberi hak untuk mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya (termasuk bertudung kepala) pada satu kejohananan antarabangsa di Singapura.

Iran juga pernah menganjurkan Sukan Negara-Negara Islam yang membabitkan atlet wanita yang menutup aurat sepenuhnya di tempat tertutup pula. Di kejohanan-kejohanan antarabangsa pun wanita Iran muncul dengan pakaian menutup aurat.

Jika pemerintah Iran bertegas, bagaimana pula sikap kita, termasuklah individu (atlet) sendiri? Jika atlet Bahrain, Rugaya Al-Ghasari istiqamah berhijab sekalipun bertanding di Sukan Olimpik, bagaimana ahli sukan kita?

Jika Rugaya yang menjuari acara 200 meter Sukan Asia di Doha beberapa tahun lalu boleh berhijab, apalah sangat diri kita yang masih terhegeh-tegeh mencari medal di Sukma atau Sukan Sea sehingga sanggup pakai seluar dan baju katuk!
Jika wanita Islam sendiri tidak bangkit menyatakan ketidakadilan badan-badan sukan antarabangsa lebih-lebih lagi yang ada dalam negara, siapa pula mahu memperjuangkan harga diri dan maruah mereka? Nak harapkan pemimpin dan aktivis berfikiran sekular...usah haraplah!

Sunday, May 1, 2011

Impian pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh." (QS: Adz-Dzariyat 56-58)

***
TANGGAL 3 Mei setiap tahun diisytiharkan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Sebagai insan yang sudah terbabit suku abad dalam dunia persuratkhabaran, tentunya perkembangan di bidang ini terutama di dalam negara menarik perhatian penulis.

Ketika sesetengah akhbar terutama yang berbahasa Melayu hanyut dalam isu fitnah termasuk menyiarkan gambar-gambar lucah dan ada kalanya membakar isu perkauman, adalah perlu untuk institusi pendidikan terutama yang terbabit terus dalam bidang media massa mengorak langkah mentarbiyah bakal wartawan (pengamal media) masing-masing.

Di institusi pengajian tinggi negara, setakat yang saya tahu, tiada lagi fakulti, sekolah, atau pun akademi Kewartawanan Islam. Perkara ini masih asing, sama seperti Perniagaan Islam atau Perbankan Islam suatu ketika dulu.

Jika Perniagaan Islam dan Perbankan Islam malah Kejururawatan Islam dapat disemarakkan dan kini diterima sebahagian besar rakyat - Islam dan bukan Islam - sebagai pengajian di institusi pengajian tinggi dan diamalkan dalam kehidupan seharian, mengapa tidak perkara yang sama digerakkan dalam memajukan Kewartawanan Islam.

Bagi melahirkan wartawan dan penulis yang tunduk dan akur kepada apa yang boleh dan tidak boleh (halal dan haram) dalam mereka menjalani tugas kewartawanan masing-masing, adalah wajar bakal wartawan dibimbing dan dididik dalam sebuah institusi formal yang menawarkan 'Kewartawanan Islam'.

Media Islam mesti bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang dapat melaksanakan tugas-tugas kepada Allah dan ia hendaklah membimbing akal fikiran manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.

Laporan berita fitnah dan penyiaran bahan lucah seperti yang berleluasa hari ini dan paling sedih dilakukan sendiri oleh peneraju-peneraju akhbar dan media elektronik yang beragama Islam, tidak memenuhi kehendak ummah yang mahu berfikir, apatah lagi mengaku sebagai seorang Muslim.

Apatah lagi sekarang ini dengan kemajuan teknologi perhubungan seperti internet, facebook, twitter dan blog, semua orang boleh menjadi penulis yang berupaya mencapai ribuan malah jutaan pembaca.

Dalam al-Quran (Ayat 6, Surah Al-Hujurat), Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."

Berdasarkan maksud firman Allah SWT ini, adalah penting untuk pengamal media dan cendekiawan mengambil iktibar untuk mewujudkan (atau jika sudah ada, memantapkan) satu cabang ilmu - 'Kewartawanan Islam'. Bidang ini kurang mendapat perhatian jika dibandingkan dengan 'Kewangan Islam', 'Perbankan Islam', 'Ekonomi Islam', 'Insurans Islam' dan pelbagai skop pengajian lain yang digandingkan dengan nama 'Islam'.

Mungkin ada pihak yang berhujah 'Kewartawanan Islam' tidak segah bidang disebutkan (seperti kewangan dan perbankan) yang membabitkan soal wang tetapi berdasarkan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pantas, cabang ilmu ini perlu diterokai, dijelas dan diperkemaskan.

Dua puluh atau 30 tahun lalu, tiada orang bercakap mengenai 'Insurans Islam' atau 'Perbankan Islam' sebagai satu subjek di pusat pengajian tinggi, tetapi kini ia sudah menjadi kenyataan. Begitulah diharapkan dengan 'Kewartawanan Islam', tetapi persoalannya kini, siapa dan di mana ilmu ini hendak disuburkan.

Jika pihak swasta yang terbabit dalam dunia penyiaran dapat merintis jalan dalam menubuhkan akademi kewartawanan dan penyiarannya, tidak ada sebab individu atau kumpulan orang Islam yang berkemampuan sama ada dari segi kewangan atau keilmuan untuk menubuhkan sebuah 'akademi kewartawanan Islam' ataupun sekurang-kurang menghasil sejumlah karya-karya bermutu mengenai kewartawanan Islam.

Ini setidak-tidak akan menjadi cabaran kepada perkumpulan orang Islam, sama ada yang berkaitan dengan politik atau tidak, untuk membuktikan bahawa Islam mencakupi semua aspek kehidupan, hatta dalam pemberitaan dan pelaporan (kewartawanan) kerana media sudah menjadi dominan dalam masyarakat moden.

Sekolah-sekolah kewartawanan dan komunikasi di pusat pengajian tinggi sarat dengan segala ilmu dan teori oleh tokoh-tokoh Barat (dari Amerika dan Eropah) tetapi tidak mengetengahkan langsung seorang pun sarjana Islam dalam bidang berkaitan. Tidak juga dikutip sebarang ayat-ayat al-Quran atau hadis berhubung bidang komunikasi dan kewartawanan.

Pendek kata, hari ini kita dapat saksikan betapa jauh dan terpisahnya bidang kewartawanan dan keagamaan menyebabkan ada pengamal media yang mengaku beragama Islam gagal membezakan antara perkara yang dibenar dan tidak dibenarkan (halal dan haram) dalam mereka menjalankan tugas masing-masing, (atau mereka berpura-pura tak tahu) lantas mereka berterusan menyemarakkan fitnah dan kelucahan melampau!