Thursday, December 4, 2008

Pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan berterusan

Tidak lama dulu kita amat tertarik dengan ulasan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berhubung pembebasan Anwar Ibrahim.

Katanya pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak akan menjejaskan matlamat dan cita-cita Dewan Pemuda PAS untuk terus berada di persada politik tanah air.

Beliau berkata isu Anwar merupakan masalah semasa yang perlu diadaptasi dalam suasana Pemuda PAS melaksanakan perjuangan.

Menurut Salahuddin selama ini Pemuda PAS mempunyai visi dan misi tersendiri dan akan terus memperjuangkannya sehingga tercapai matlamat tersebut.

Beliau juga berkata Pemuda PAS akan melihat perkembangan semasa dari aspek yang luas dan akan melaksanakan perjuangan dengan acuan sendiri tanpa meniru acuan orang lain.

"Kita akan melihat dari segi yang positif dan menolak sebarang kemungkinan yang akan berlaku sebaliknya dan akan meneruskan kerjasama dalam memperjuangkan keadilan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perjuangan Pemuda PAS selama ini bukan bersifat peribadi iaitu hanya isu Anwar tetapi Anwar kebetulan menjadi isu besar negara.

Sentimen Salahuddin bertepatan sekali dengan senario yang dihadapi masyarakat Melayu khasnya dan umat Islam amnya.

Pemimpin boleh datang dan pergi dan kerap kali TERGELINCIR dan TERSASAR, tetapi perjuangan untuk hidup bersandarkan al-Quran dan hadis tetap akan diteruskan sehingga kiamat.

Hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang, bukannya menjadikan tokoh ternama termasuk Anwar sebagai sandaran perjuangan.
Jika pun seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti.

Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa.

Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon semuanya hancur. Mungkin Bush Si Penjenayah sedang menunggu gilirannya!

Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'. Lihatlah 'si tokoh kecil' di sekeliling Anwar sebagai misalannya. Ketika Anwar merengkok dalam penjara, 'si tokoh kecil' ini berkokok menghina, tetapi selepas Anwar dibebaskan, dia tidak malu-malu untuk menapak ke Bukit Damansara, mengucapkan tahniah!

Berhubung perjuangan melepasi batasan tokoh dan sempadan politik ini, penulis tertarik dengan perbicaraan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shafie Abu Bakar dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Berikut antara pesanan beliau: "Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana."

Di sinilah terletak cabaran besar kepada umat dan pergerakan Islam termasuk PAS sedangkan parti lawan hanya berseronok-seronok untuk menang di peringkat tempatan dan nasional.

"Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global," kata Dr Shafie.

Berdasarkan Tragedi 11 September 2001, ternyata cabaran umat dan pergerakan Islam semakin mencabar. Konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan Islam semakin menjadi-jadi malahan apa saja bentuk keganasan dengan segera dirujuk kepada orang Islam.

Maka tidak hairan timbulnya istilah-istilah menjijikkan media massa Barat malah diterima pakai media milik orang Islam sendiri seperti 'militan Islam' 'pengganas Islam', 'terroris Islam', 'pengebom Islam' dan 'pelampau Islam'.

Dalam keadaan dunia kini seolah-olah di bawah telunjuk kuasa unipolar Amerika Syarikat, cabaran umat dan pergerakan Islam untuk menegakkan hukum-hakam Allah dan hidup berpandukan al-Quran dan sunnah menjadi semakin sukar.

Kini di seluruh dunia timbul gerakan dan cengkaman kuasa untuk menafikan hak orang Islam. Misalnya di Eropah termasuk di Perancis, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan.

Sebaliknya dengan pelbagai helah seperti istilah 'dunia tanpa sempadan', segala yang jijik berpunca daripada cara hidup songsang Barat seperti filem lucah dan kegilaan kepada maksiat seperti arak, zina dan judi dilambakkan di negara Dunia Ketiga khususnya di negara Islam.

Jika ada kumpulan atau negara yang cuba hidup berlainan daripada budaya popular Barat, mereka akan dihancurkan. Inilah yang dialami oleh Taliban yang berkuasa di Afghanistan.

Kesimpulannya, pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung.
Bagi individu Muslim, perjuangan itu sepanjang hayat manakala bagi umat dan jemaah Islam, ia akan berterusan sehingga hari kiamat!

Tuesday, December 2, 2008

Aksi tunjuk alur bontot, buah dada punyai nilai berita/gambar?

Mereka bukan atlet negara ini. Mereka pun bukan pemenang sebarang pingat dalam Sukan Olimpik di Beijing atau di Athens.

Tetapi wanita-wanita ini mendapat liputan besar-besaran dalam akhbar arus perdana negara ini, termasuk akhbar harian berbahasa Melayu. Gambar-gambar mereka terpampang besar dalam akhbar.

Sebabnya? Ini adalah kerana ahli sukan ini seperti pemain bola tampar pantai dari beberapa negara Barat, hanya memakai coli dan seluar dalam sehingga ada yang ternampak alur bontotnya. Gimnasnya pula hebat dengan aksi 'kangkang dan terkoyak'nya.

Nampaknya gambar-gambar inilah yang gemar 'dimainkan' dan selalu ditonjolkan oleh karyawan meja sukan (editor sukan dan pembantu-pembantunya) yang saya percaya kebanyakannya beragama Islam. Ertinya, nilai gambar itu bukan kerana atletnya dapat emas, perak atau gangsa, tetapi keberanian mereka dedah alur bontot atau lipatan punggung atau besar kangkangannya!

Kita berasa amat hairan sekali kerana karyawan meja sukan ini tidak langsung mempunyai rasa sensitiviti terhadap agama. Kita tertanya-tanya sama ada karyawan ini solat atau tidak. Jika mereka menunaikan solat dalam erti kata sebenar-benarnya, tentu hati mereka akan berontak. Mereka akan lawan habis-habisan jika pihak yang lebih berkuasa mahukan gambar itu disiarkan.

Dengan tersiarnya gambar-gambar tidak senonoh ini berulang kali, apakah ia bermakna kebanyakan karyawan (pekerja) dalam media massa termasuk persuratkhabaran sebenarnya sudah mati cahaya keIslaman mereka? Apakah mereka tidak peduli akan perasaan pembaca? Mungkinkah yang penting bagi mereka asal surat khabar laris sudahlah, lebih banyak surat khabar laku, lebih besar peluang mereka untuk mendapatkan bonus besar pada hujung tahun.

Hal yang sama juga berlaku karyawan akhbar di meja lain terutama hiburan dan wanita.

Mereka tidak takut untuk menyiarkan gambar-gambar artis dengan pakaian keterlaluan. Mereka tidak ada rasa malu langsung menyiarkan gambar artis wanita Melayu/Islam yang sengaja menunjukkan alur payu dara, menayangkan paha gebu atau yang lebih daripada itu.

Gambar wanita sengaja dibesarkan sehingga kadang-kadang muat semuka akhbar bersaiz besar (broadsheet). Kadang-kadang artis itu bukanlah 'top', baru muncul sebuah dua drama, tetapi aksi sungguh dahsyat.

Di sini penulis hanya memperkatakan senario yang berlaku kepada akhbar harian arus perdana kerana akhbar ini dilanggani dan dibaca oleh hampir setiap lapisan dan peringkat umur masyarakat - daripada kanak-kanak sampailah golongan veteran.

Penulis tidak akan membincangkan akhbar tabloid mingguan dan majalah picisan kerana senarionya lagi teruk dengan pihak penerbit, pengarang dan penulis seolah-olah tidak peduli bahan disiarkan - daripada gambar separuh lucah kepada cerita tahyul dan 'rencana agama' menyesatkan semata-mata untuk melariskan jualan dan mengaut keuntungan.

Berbalik kepada akhbar arus perdana tadi, apakah sebenarnya yang menyebabkan karyawan akhbar kita semakin terhakis tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim sejati.

Bagi kebanyakan karyawan yang bekerja di syarikat-syarikat akhbar besar, mereka berkelulusan tinggi, sebahagian besar daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda daripada institusi pengajian tinggi.

Jadi setakat mana nilai kehidupan mereka ini sehingga sanggup mengetepikan hukum-hakam agama, ataupun mereka sendiri tidak tahu perbuatan mereka itu salah di sisi agama?

Apakah karyawan-karyawan akhbar ini tidak sedar, hasil pendapatan mereka daripada 'memperagakan gambar-gambar tidak senonoh' itulah yang akan dijadikan modal untuk diberi makan kepada anak isteri.

Tidakkah mereka tahu setitik darah yang dihasilkan daripada sumber pendapatan haram, mereka telah mendedahkan anak isteri ke jurang neraka yang bahan bakarnya adalah batu-batan dan manusia sendiri.

Seorang rakan selalu mengulangi ungkapan ini yang katanya adalah petikan kata-kata hikmah Sayidina Ali: "Kalau manusia itu memikirkan untuk memuaskan apa yang ada antara mulut dan perutnya, nilai orang itu sama dengan apa yang keluar daripada perutnya."

Kita juga berasa hairan kerana akhbar-akhbar kita tidak sekata dalam mempamerkan bahan untuk bacaan umum. Jika dalam ruangan agama dalam sesebuah akhbar itu, dikatakan dengan penuh semangat supaya wanita-wanita menutup aurat tetapi dalam akhbar yang sama dalam ruangan sukan disiarkan gambar wanita menutup 'anu'nya saja.

Demikian juga dalam ruangan artis dan hiburan, yang kerap disiarkan adalah 'wanita yang sudah patah tulang belakangnya' (asyik membongkok saja untuk mempamerkan 'aset'nya).

Sekali-sekala dalam ruangan agama, penulis begitu hebat memperkatakan bahana judi, tetapi dalam akhbar yang sama juga disiarkan keputusan 'empat nombor ekor'.

Kita berasa amat hairan dengan perkembangan ini - adakah ruangan agama itu sebagai medan berdakwah kepada orang luar sedangkan karyawan akhbar berkenaan sendiri tidak dapat didakwah. Atau adakah pengarang-pengarang kita yang hebat-hebat itu bagaikan ketam cuba mengajar anaknya berjalan betul?

Sebagai akhbar yang ditatap sekalian ahli keluarga, karyawan akhbar sewajarnya memahami bahawa bahan yang disiarkan perlu sesuai untuk semua. Akhir-akhir ini, akhbar-akhbar kita terlalu mementingkan nilai komersial sehingga tidak mempedulikan sensitiviti pembacanya.

Akhbar-akhbar semakin berani melaporkan aksi sulit di atas ranjang, membicarakan perlakuan seks secara terbuka dan menyiarkan gambar-gambar keterlaluan.

Nampaknya editor-editor akhbar semakin tidak mempedulikan 'taboo' (pantang larang) dalam masyarakat apatah lagi yang menyalahi agama. Seolah-solah yang dipentingkan adalah jualan (sale) sehingga perhitungan lain diketepikan sama sekali.

Tahukah tuan puan editor, apa yang dibuat oleh remaja (mungkin anak-anak tuan puan sendiri) jika mereka terangsang dengan apa yang akhbar tuan puan siarkan? Jika mereka melakukan maksiat, tidakkah tuan puan rasa berdosa?

Tidak takutkah tuan puan apa yang menunggu tuan puan dalam kubur nanti? Tidakkah tuan tahu balasan perlakuan dosa orang yang dididik akan berterusan sekalipun tuan sudah berada ribuan tahun dalam kubur. Sama seperti saham mengajar orang berbuat baik, saham mengajar orang berbuat jahat akan tetap diterima secara berterusan?

Kepada pengarang-pengarang akhbar, di sini ingin saya menyatakan bahawa kadang-kadang saya terpaksa mengoyakkan muka surat tertentu dalam akhbar tuan puan sebelum saya membawa pulang akhbar berkenaan untuk tatapan anggota keluarga.

Insaflah wahai diri sendiri dan tuan puan kerana 'masa penentuan' itu tersangat dekat - lebih-lebih ramai sahabat kita dalam dunia persuratkhabaran meninggal dunia dalam usia 40-an. Jadi tunggu apa lagi? Bertaubatlah!

Monday, December 1, 2008

Dalami ilmu bagi bendung perpecahan keluarga

Perbezaan pendapat dibenarkan tetapi memutuskan siraturahim adalah haram. Demikianlah sering kali kita diingatkan jika kita rajin mengikuti kelas-kelas pengajian di surau, masjid atau di pejabat.

Di samping itu kita juga sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu.

Jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup.

Jika demikian kewajipan besar kepada ibu bapa, adalah amat memilukan jika ada anak-anak yang sanggup mengadu perihal keluarga kepada pemimpin parti politik untuk mendapat simpati dan sedikit habuan dunia.

Ini adalah satu perkembangan yang menyedihkan kerana hal ehwal keluarga digembar-gemburkan sedangkan ada sesetengah ahli 'politik curang' dan penulis mencuri ruang untuk mencipta nama.

Selain itu ada anak-anak yang sanggup menceritakan kisah kurang menyenangkan arwah ibu bapa bagi menguatkan hujah kecondongan kegiatan politik mereka.

Kita ingin bertanya, apakah yang diingini anak-anak dengan mendedahkan kisah-kisah orang tua mereka yang sudah meninggal dunia? Sewajarnya sebagai anak, kita mendoakan ibu bapa kita agar ditempatkan di kalangan mereka yang diredai-Nya.

Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan.

Berhubung perkara ini, kita amat bersetuju dengan pandangan AJK PAS Pusat yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azammudden bahawa anak-anak sekarang sudah jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan.

Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja.

Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu.

Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi.

Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati.

Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung.
Ini jika kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' seperti yang kita ucapkan dalam setiap rakaat solat, insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar.