Tidak lama dulu kita amat tertarik dengan ulasan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berhubung pembebasan Anwar Ibrahim.
Katanya pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak akan menjejaskan matlamat dan cita-cita Dewan Pemuda PAS untuk terus berada di persada politik tanah air.
Beliau berkata isu Anwar merupakan masalah semasa yang perlu diadaptasi dalam suasana Pemuda PAS melaksanakan perjuangan.
Menurut Salahuddin selama ini Pemuda PAS mempunyai visi dan misi tersendiri dan akan terus memperjuangkannya sehingga tercapai matlamat tersebut.
Beliau juga berkata Pemuda PAS akan melihat perkembangan semasa dari aspek yang luas dan akan melaksanakan perjuangan dengan acuan sendiri tanpa meniru acuan orang lain.
"Kita akan melihat dari segi yang positif dan menolak sebarang kemungkinan yang akan berlaku sebaliknya dan akan meneruskan kerjasama dalam memperjuangkan keadilan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perjuangan Pemuda PAS selama ini bukan bersifat peribadi iaitu hanya isu Anwar tetapi Anwar kebetulan menjadi isu besar negara.
Sentimen Salahuddin bertepatan sekali dengan senario yang dihadapi masyarakat Melayu khasnya dan umat Islam amnya.
Pemimpin boleh datang dan pergi dan kerap kali TERGELINCIR dan TERSASAR, tetapi perjuangan untuk hidup bersandarkan al-Quran dan hadis tetap akan diteruskan sehingga kiamat.
Hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang, bukannya menjadikan tokoh ternama termasuk Anwar sebagai sandaran perjuangan.
Jika pun seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti.
Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya.
Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa.
Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon semuanya hancur. Mungkin Bush Si Penjenayah sedang menunggu gilirannya!
Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'. Lihatlah 'si tokoh kecil' di sekeliling Anwar sebagai misalannya. Ketika Anwar merengkok dalam penjara, 'si tokoh kecil' ini berkokok menghina, tetapi selepas Anwar dibebaskan, dia tidak malu-malu untuk menapak ke Bukit Damansara, mengucapkan tahniah!
Berhubung perjuangan melepasi batasan tokoh dan sempadan politik ini, penulis tertarik dengan perbicaraan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shafie Abu Bakar dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Berikut antara pesanan beliau: "Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana."
Di sinilah terletak cabaran besar kepada umat dan pergerakan Islam termasuk PAS sedangkan parti lawan hanya berseronok-seronok untuk menang di peringkat tempatan dan nasional.
"Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global," kata Dr Shafie.
Berdasarkan Tragedi 11 September 2001, ternyata cabaran umat dan pergerakan Islam semakin mencabar. Konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan Islam semakin menjadi-jadi malahan apa saja bentuk keganasan dengan segera dirujuk kepada orang Islam.
Maka tidak hairan timbulnya istilah-istilah menjijikkan media massa Barat malah diterima pakai media milik orang Islam sendiri seperti 'militan Islam' 'pengganas Islam', 'terroris Islam', 'pengebom Islam' dan 'pelampau Islam'.
Dalam keadaan dunia kini seolah-olah di bawah telunjuk kuasa unipolar Amerika Syarikat, cabaran umat dan pergerakan Islam untuk menegakkan hukum-hakam Allah dan hidup berpandukan al-Quran dan sunnah menjadi semakin sukar.
Kini di seluruh dunia timbul gerakan dan cengkaman kuasa untuk menafikan hak orang Islam. Misalnya di Eropah termasuk di Perancis, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan.
Sebaliknya dengan pelbagai helah seperti istilah 'dunia tanpa sempadan', segala yang jijik berpunca daripada cara hidup songsang Barat seperti filem lucah dan kegilaan kepada maksiat seperti arak, zina dan judi dilambakkan di negara Dunia Ketiga khususnya di negara Islam.
Jika ada kumpulan atau negara yang cuba hidup berlainan daripada budaya popular Barat, mereka akan dihancurkan. Inilah yang dialami oleh Taliban yang berkuasa di Afghanistan.
Kesimpulannya, pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung.
Bagi individu Muslim, perjuangan itu sepanjang hayat manakala bagi umat dan jemaah Islam, ia akan berterusan sehingga hari kiamat!
No comments:
Post a Comment