Gempar satu dunia Presiden Amerika Syarikat, George Bush yang akan pencen Januari ini dilempar kasut di Baghdad.
Seorang cendekiawan berkata segala jasa (jika ada) dan kezaliman Bush akan dilupakan orang, tetapi satu dunia (catatan sejarah) tidak akan melupakan Bush mengakhiri perkhidmatannya sebagai orang paling berkuasa di dunia dengan menerima hadiah kasut di mukanya!
Dunia dan Bush akan mengenang peristiwa ini sehingga ke akhir hayatnya. Ia umpama orang mengencingkan dirinya ketika dia nazak, hampir menuju ke kuburan.
Berikut ini rencana yang saya tulis mengenai Bush selepas dia memenangi pilihan raya presiden Amerika buat penggal kedua.
Pemilihan semula George W Bush sebagai Presiden dan penguasaan parti pimpinannya (Republikan) ke atas Kongres, adalah tamparan hebat kepada pencinta keamanan.
Jika dulu serangan Bush terhadap Afghanistan dan Iraq dalam kempen beliau, kononnya untuk menghapuskan keganasan dikatakan 'tidak mendapat restu' rakyat Amerika, pemilihan semula beliau dan penguasaan partinya terhadap Kongres seolah-olah mengesahkan rakyat Amerika memberi lampu hijau kepada Bush.
Dengan pengekalannya di kedudukan 'Orang Paling Berkuasa' atau 'No 1' di dunia, apakah yang dapat diharapkan selain menanti tindak-tanduk 'Super-human' ini ke atas dunia.
Kepada orang Islam, mereka mempunyai senjata ampuh iaitu doa, oleh itu bersama-samalah berdoa agar dunia dapat diselamatkan daripada pemusnah Afghanistan dan Iraq ini.
Berita kemenangan Bush dilaporkan disambut penuh muram di dunia Arab. Di rantau Timur Tengah, hanya Israel yang bergembira manakala pemimpin negara umat Islam menunjukkan reaksi berhati-hati. Mereka bimbang jika tersalah cakap cengkaman Bush akan mengenai tengkuk mereka, seterusnya mematahkannya.
Misalnya, jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Masood Khan, penuh berdiplomasi dipetik sebagai berkata: "Ini masalah dalaman Amerika Syarikat. Rakyat Amerika perlu memberi keputusannya.
"Kerana peranan global Amerika dan hubungan khas dengan Pakistan, kami memerhatikan pilihan raya ini dengan penuh minat. Kami berharap kesinambungan dasar Amerika terhadap Pakistan dan rantau ini."
Kemenangan Bush mengesahkan penerimaan masyarakat dunia khususnya rakyat Amerika terhadap keangkuhan dan keegoannya ke atas negara dan umat Islam. Di Iraq saja dilaporkan lebih 100,000 orang awam terbunuh selepas serangan tentera Amerika ke atasnya pada Mac 2003.
Empat tahun yang akan datang akan menyaksikan Bush menyemarakkan kempen menentang apa yang didakwanya keganasan - dan apa yang begitu merisaukan keganasan ini dikaitkan dengan Islam.
Sehubungan itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan jika kempen memerangi 'pengganas Islam', 'pemisah Islam', 'militan Islam' dan pelbagai label lagi akan menjadi agenda utama dari New York ke Sydney atau dari Moscow ke Johannesburg.
Dalam kemelut ini, bagi dunia dan umat Islam, tentulah sedikit sebanyak menggantungkan pengharapan kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) walaupun sepanjang sejarahnya, peranan payung kepada lebih 55 negara Islam ini mengecewakan.
Contohnya, dalam keganasan dan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan, OIC 'tidak berkutik' pun. Demikian juga dalam krisis Bosnia dan Palestin, OIC hanya mengeluarkan 'suara mengutuk' dan selebihnya mendiamkan diri.
Malaysia sebagai Pengerusi OIC digembar-gemburkan berjaya dalam memberi kefahaman kepada Bush mengenai Islam berdasarkan lawatan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Rumah Putih tidak lama dulu.
Bush dilaporkan semakin memahami Islam, termasuk mengadakan majlis berbuka puasa untuk sejumlah pemimpin umat Islam. Bagaimanapun, tidak dilaporkan aspek Islam mana yang difahami oleh Bush atau apa yang disampaikan kepadanya.
Bagaimanapun berdasarkan perkembangan semasa, dunia terus dihantui keganasan bukan dilakukan oleh orang Islam ke atas orang bukan Islam bagi melayakkan mereka dicop sebagai 'pengganas Islam' atau 'pelampau Islam' tetapi kezaliman yang semakin menjadi-jadi ke atas umat Islam.
Contohnya amat jelas, rejim Israel semakin ganas ke atas umat Islam Palestin, rejim Moscow makin ganas ke atas umat Islam Chechnya, rejim Beijing semakin ganas ke umat Islam Xinjiang dan yang terbaru rejim Bangkok pimpinan PM Thaksin Shinawatra berlaku zalim ke atas umat Islam Petani.
Sehubungan itu, sempena kedatangan tahun baru hijrah, marilah kita bersama-sama berdoa agar pemilihan Bush tidak 'menyemakkan' dunia dengan tangannya yang berlumuran darah anak-anak Afghanistan, Palestin dan Iraq. Berdoalah agar tangannya tidak terus berlumuran darah anak-anak Sudan, Iran, Syria dan negara umat Islam lain pula. ALLAHUAKBAR
No comments:
Post a Comment