Friday, December 5, 2008

Sabun banyak tetapi mengapa masih ramai yang kotor?

Ketika hujung minggu baru-baru ini, saya berpeluang 'menyambung' hobi saya - membaca. Sebuah buku bertajuk 'Let's 'Teh Tarik'! yang diusahakan oleh Goh Chee Beng (terbitan Publish The Word - Petaling Jaya) menarik perhatian saya.

Bahagian pertama buku itu berkenaan kehidupan (life). Pengenalannya memikat hati.

Penulisnya menukilkan: "Someone once asked a well-known religious leader, 'If religion is valid, why is there so much evil in the world?' To this, the leader replied, 'With so much soap, why are there so many dirty people in the world?' Religion, like soap, must be personally applied if it is to make a difference in our lives."

(Seorang pemimpin agama terkenal ditanya: 'Jika agama benar-benar berkesan, mengapa berlaku banyak kejelekan di dunia ini?' Pemimpin berkenaan menjawab, 'Dengan banyaknya sabun, mengapa pula terdapat ramai orang busuk di dunia ini?' Agama, seumpama sabun, mestilah diaplikasi secara peribadi jika seseorang itu mahu penghidupannya lebih bermakna).

Benar, dunia dipenuhi 1,001 kejelekan. Lebih membimbangkan kejelekan dan kebaikan bercampur-aduk, sekali gus membingungkan orang awam seperti kita untuk memahami sesuatu isu ataupun membuat pilihan.

Sebagai contoh, isu poligami yang diuar-uarkan. Apabila isu ini timbul di sebuah negeri dikuasai Pakatan Rakyat, tokoh-tokoh agama/politik negara mengecam pihak berkenaan tetapi apabila perkara yang hampir sama diperkatakan di Perlis, pemimpin terbabit membisu seribu bahasa.

Jika orang Islam bingung memikirkan perkara itu, tidak hairanlah yang bukan Islam lebih keliru. Ketua Pergerakan Wanita DAP, Chong Eng, misalnya, ketika menyatakan pujiannya kepada Naib Ketua Wanita Umno, Sharizat Abdul Jalil kerana konsisten 'mempertahankan kebajikan wanita' menempelak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tajuk 'Wanita DAP sokong pendapat Sharizat'.

Demikianlah semakin hari semakin sukar golongan awam seperti kita mencari kebenaran dalam sesuatu isu itu.

Sebagai contoh, isu penahanan seseorang itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ada ulama menulis ISA sesuai dengan ajaran agama manakala yang lain pula menyatakan ia sama sekali tidak dibolehkan.

Demikian juga dengan majlis sambutan Krismas tidak lama lagi. Bolehkah orang Islam sama-sama menyalakan api pokok Krismas, mendengar lagu-lagu kumpulan gereja dan kemudian bersama menyanyi membesarkan hari itu. Bukankah hal ini amat memeningkan?

Kekeliruan bukan saja berkaitan isu dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. Ketika ini di seluruh dunia dicanangkan dengan 'Islam sederhana' dan 'Islam sebenar' sedangkan istilahnya kabur dan tidak difahami. Apakah tafsiran 'Islam sederhana' dan 'Islam sebenar' itu propaganda Amerika, tidaklah diketahui.

Yang jelas propaganda Amerika semakin terserlah pembohongannya. Antaranya ialah dakwaan kononnya angkawasannya seperti Neil Armstrong daripada kapal angkasa lepas Apollo 11 sebenarnya tidak mendarat di bulan tetapi di padang pasir Nevada.

Jika dakwaan itu benar, sudah berdekad-dekat (sejak 1969) seluruh dunia termasuk orang Islam dibohongi dan tidak mustahil lebih banyak pembohongan akan dilakukan pihak berkenaan.

Tugas orang awam seperti kita adalah terus menuntut ilmu bagi mengelak daripada dibohongi.

Selain itu, perkukuhkan lagi semangat perjuangan bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang kerana di dunia sekarang ini semakin 'ramai orang berbau busuk sekalipun terdapat banyak sabun'.

3 comments:

orangmuar said...

setiap kita manusia biasa akan melakukan kekotoran... dan setiap kali perlukan sabun utk mencuci kekotoran tersebut.. tapi mungkin banyak dari kita sekarang yg lebh suka bergelumang dgn kekotoran dan malas mencucinya.... Sabun macam2 brand pulak..

Encik H said...

aku cari buku ni merata tempat..tapi still x jumpa..

Encik H said...

maksud aku, let's teh tarik tu..aku sempat baca sikit jer kat kedai makan..

aku pegi kinokuniya, cuba buat special order, tapi diorang kata buku tu dah x dikeluarkan lagi..