Sunday, November 15, 2020

Rabiulawal 29, 1442: Jenayah menjadi-jadi, hukum Allah penyelamat manusia (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA suatu majlis ilmu antara waktu maghrib dan isyak di sebuah masjid berhampiran kediaman saya tidak lama dulu, tok guru mengingatkan bahawa setiap Muslim tidak akan terlepas daripada ditanya usaha mereka dalam menunaikan kewajipan agama termasuklah menjayakan hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada tiga iaitu hukum hudud, qisas dan takzir.


Tok Guru berkata, dalam menunaikan kewajipan beragama ini ada yang boleh dilakukan sendiri seperti solat dan ada yang tidak boleh dilakukan sendiri, ia membabitkan negara seperti melaksanakan hukum jenayah hudud, qisas dan takzir. Sekalipun ia membabitkan pihak berkuasa, tidak ada Muslim yang terlepas daripada ditanya oleh Allah SWT mengenai peranannya dalam pelaksanaan hukum jenayah ini, kata tok guru.


"Jadi kepada orang awam seperti kita ini, apa kita boleh buat untuk menghadapi pertanyaan Allah nanti?" tanya tok guru yang sendiri menjawab: "Pertama, kita mesti mengaku bahawa hukum-hakam ini wajib ke atas diri kita kerana ia difardukan Allah sama seperti sembahyang dan puasa. Kedua kita mesti berniat untuk melaksanakannya tetapi memohonlah keampunan bersungguh-sungguh kepada Allah kerana tidak ada daya untuk melakukannya.


"Ketiga kita hendaklah mendoakan agar pemimpin yang memerintah kita hari ini terbuka hatinya untuk melaksanakan hukum Allah ini. Kita berdoa bersungguh-sungguh agar mereka dapat menerima Islam sepenuhnya."


"Keempat," kata tok guru, "kita hendaklah membantu sedaya upaya jika ada pihak yang berusaha ke arah melaksanakan hukum-hakam ini, dan yang kelimanya kita tidak pula berusaha menggagalkan pihak yang mahu melaksanakannya termasuklah membantu pihak berkenaan," kata tok guru.


Tok guru mengingatkan selalulah berbuat kebajikan dan jika kita tidak boleh berbuat baik, janganlah berbuat jahat kerana itu sudah dikira ibadat juga. Jika kita tidak mampu membuat kebajikan, jangan pula menghalang orang yang mahu berbuat kebajikan.


Berbicara mengenai bab hudud ini, sebagai seorang Muslim saya dengan rendah diri ingin mengingatkan diri sendiri dan pembaca bahawa ini hukum Allah, setiap Muslim perlu ada niat dan usaha untuk melaksanakannya dan sebagai penulis saya menyatakannya secara terbuka dalam kolum ini.


Hari ini kes jenayah berleluasa. Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Mengapa orang tidak takut berzina dan membuang bayi?


Jawapannya, kata ustaz, kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak. Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.


Ambil contoh ketegasan hukum qisas. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.


Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga. Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.


Allah SWT berfirman maksudnya: " Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya." (Surah al-Maidah ayat 45)


Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, pencurah asid akan menerima pembalasan dicurah asid ke mukanya pula manakala yang mengelar tubuh mangsa, akan dikelar juga tubuhnya.


Masyarakat juga perlu disedarkan akan mahalnya diat (denda) yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta; jika seekor unta RM3,000, nilaian diat adalah RM300,000!


Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.


Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?

No comments: