Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
SEWAKTU di sekolah rendah dulu (1969-1974), penulis begitu meminati subjek Tawarikh (kini dikenali Sejarah). Mata pelajaran ini adalah bagi pelajar Darjah Empat, Lima dan Enam.
Dalam bab tokoh pejuang digambarkan kehebatan pemimpin seperti Robert Clive (askar British yang merintis jalan kepada kemasukan British ke India), Francis Light (kononnya pembuka Pulau Pinang), Stamford Raffles (kononnya pembuka Singapura) dan sejumlah Residen British di Tanah Melayu seperti JWW Birch (Perak), Frank Swettenham (Selangor) dan Hugh Clifford (Pahang).
Pelajar juga diajar menyanjungi peneroka dan pelayar Eropah seperti Vasco da Gama, Marco Polo, Magellan, David Livingstone dan memperakui kehebatan srikandi seperti Joan of Arc dan Florence Nightingle.
Sanjungan terhadap tokoh-tokoh ini difahami kerana ketika itu negara kita masih pada peringkat awal pencarian identiti dan jati diri tetapi melalui masa, apabila semakin ramai sejarawan dan cendekiawan tempatan dilahirkan, maka tafsiran sejarah juga mengalami perubahan.
Sejarah tidak pernah berubah, cuma tafsirannya berbeza mengikut zaman. Misalnya, jika dulu anak-anak sekolah diajar betapa berjasanya Birch, Swettenham, Low, J P Rodger dan sebagainya tetapi mengkelaskan Mat Kilau, Dol Said, Mat Saleh, Rosli Dhoby, Tok Bahaman dan Tok Janggut sebagai petualang, tetapi apabila merdeka, soal siapa pengkhianat dan siapa pembela bangsa terserlah sudah.
Demikian juga sanjungan kepada kehebatan Barat melalui pelayar seperti Marco Polo, Livingstone, Magellan dan da Gama semakin pudar sebaliknya yang dekat di hati rakyat atas kepentingan tertentu seperti agama, maka nama-nama seperti Ibnu Battuta dan Cheng Ho menghiasi buku sejarah.
Jika pada zaman persekolahan penulis dulu, tidak dihiasi dengan kisah kehebatan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu (kini Malaysia), tetapi hari pada peringkat sekolah rendah lagi anak-anak sudah diperkenalkan dengan tokoh seperti Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman Putra, Ismail Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn; malah membawa kepada pemimpin pada dekad baru iaitu Mahathir Mohamad, dan Abdullah Ahmad Badawi.
Ini satu perkembangan yang positif yang dapat menarik minat anak-anak kepada pejuang tempatan, tetapi disebabkan tafsiran sejarah negara yang berpaksi kepada komponen parti pemerintah Umno-BN; ketika itu, yang ditonjolkan adalah pemimpin-pemimpin ini saja sedangkan ada ramai lagi pejuang kemerdekaan tetapi nama dan kisah mereka disebut secara ringkas (seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Helmi) dan ramai lagi tidak disebut langsung.
Demikianlah tafsiran sejarah dibuat berdasarkan pihak yang memegang kuasa. Pada peringkat global, sebagai contoh, sesetengah sejarawan Barat menggambarkan Islam sebagai ancaman utama mereka, oleh itu mereka menafsirkan sejarah Islam sebagai penuh dengan keganasan tetapi apabila tokoh hebat seperti wartawan Yvonne Ridley yang melihat dan mengalami kemuliaan Islam, tentunya mereka tidak lagi membuat catatan (lama kemudian tentunya ia menjadi catatan sejarah) bahawa penganut Islam itu ganas.
Diulangi, sejarah tidak pernah berubah, cuma tafsirannya berbeza mengikut zaman. Tetapi ramai daripada kita hanya mencatat dan membaca sejarah tetapi tidak belajar daripadanya.
Misalnya kita ‘menangisi’ pemergian Hang Nadim, P Ramlee dan ramai lagi wira, tanpa kita sedari betapa ramainya tokoh-tokoh seumpama mereka yang masih hidup, kita ‘kambing-hitamkan’ semata-mata bagi memuaskan nafsu kita sama ada dari segi politik, pangkat, kuasa, kekayaan dan seumpamanya.
Jadi biarlah masa dan masyarakat menentukan kedudukan seseorang tokoh itu, sama ada dia pejuang atau pun pengkhianat bangsa dan tanah airnya.
No comments:
Post a Comment