Saturday, November 7, 2020

Rabiulawal 21, 1442: Pemimpin usah 'bikin drama'... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)


ALHAMDULILLAH, baharu-baharu ini saya berpeluang bersolat subuh berjemaah di sebuah masjid di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Selepas solat, ada kuliah subuh. Tersentak saya tatkala mendengar penceramah menyentuh mengenai 'bala' menjadi pemimpin.


Pemimpin katanya, perlu sentiasa mendampingi rakyat. Tahu susah senang rakyat, macam Khalifah Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz. 


Sayidina Umar Al-Khattam malam-malam menjengah kehidupan rakyatnya, suatu malam terjumpa beliau seorang ibu 'menjerang batu' dalam periuk sebagai usaha 'mengaburi' anak-anaknya yang sedang kelaparan.


Umar Abdul Aziz pula masyhur dengan kisah beliau memadam lampu 'negara' (kerajaan) ketika mahu melakukan urusan 'kekeluargaan' dengan anaknya...pendeknya integriti beliau tersangat tinggi...harta negara sekecil apa pun tidak sesekali digunakan untuk urusan peribadi.


Sekarang ini, kata sang ustaz kita ada ramai pemimpin yang mendampingi rakyat ketika mereka mahukan sesuatu seperti berhajat menjadi calon pilihan raya dan selepas itu terbabit dalam 'pelbagai drama' kononnya mereka amat rapat dengan rakyat.


Menjelang pilihan raya akan ada 'drama' sesetengah pemimpin seperti mereka 'naik' (tunggang) basikal, menoreh getah, menggoreng mi dan sebagainya.


Sewajarnya semua orang apatah lagi pemimpin mengamalkan sunah-sunah mudah Rasulullah s.a.w. agar mereka disayangi Allah SWT dan di kalangan makhluk-Nya bukan saja di dunia ini tetapi juga di langit.


Sayogia sunnah dikhabarkan itu dapat dimanfaatkan semua termasuklah calon pilihan raya agar mereka akan sentiasa disenangi; tetapi niatnya mestilah betul iaitu untuk mengikut sunnah Rasul seterusnya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. Soal disenangi manusia seterus menang pilihan raya itu adalah bonus, yang penting kita mahu sentiasa berada di jalan-Nya yang lurus.


Ustaz itu sempat memberi tujuh sunnah saja; yang pertama sentiasalah senyum, mempamerkan wajah manis kepada sesiapa saja; yang kedua mendahuluilah memberi salam dan adalah lebih baik lagi dapat dijabat orang berkenaan; ketiganya banyakkan diam kerana diam itu adalah satu ibadah.


Berkenaan hal diam ini, sang ustaz berkata sewajarnya seseorang itu bercakap apabila perlu saja. Apabila seseorang itu diam dia akan dianggap hebat tetapi sebalik saja membuka mulut, dia akan dinilai lebih hebat jika buah cakapnya adalah mutiara sebaliknya nilaian dirinya jatuh terperosok jika mulutnya menuturkan 'hal longkang'.


Sunnah keempat ialah kita menjadi seorang pendengar yang baik (beri tumpuan kepada orang yang bercakap dan jangan suka memotong cakapnya). Apabila kita sudah memberi dia peluang bercakap sepuas-puasnya, tentunya dia rela hati mendengar cakap kita pula.


Sunnah kelima ialah sentiasa tampil menarik; katanya, Rasulullah s.a.w. apabila berjalan sentiasa membawa bekas (orang sekarang kata pouch) yang di dalamnya ada peralatan mendandan diri seperti minyak rambut, minyak wangi, kayu sugi dan gunting) untuk membolehkan baginda sentiasa menjaga penampilan diri.


Yang keenamnya adalah sentiasa menyenangi orang lain (sebarkan salam). Adalah senang untuk kita menyenangi atau kasihi orang yang kita cintai dan dia mencintai kita tetapi bagaimana mahu mengasahi orang yang membenci kita? Inilah yang dilakukan oleh Rasul s.a.w.; baginda boleh mengasihi orang Yahudi yang setiap hari membuat onar kepadanya. Demikian juga perbuatan jahat seorang wanita tua dibalasnya dengan kebaikan sehingga ramai individu yang memeluk Islam dengan kaedah ini.


Ketujuh, baginda Rasul sentiasa bersopan santun dalam sebarang tindak tanduknya. Jika kita bercakap cakaplah elok-elok sekalipun dengan lawan atau musuh kita.


Berdasarkan ini, alangkah moleknya jika sunnah Rasul ini dapat kita (termasuk calon pilihan raya dan penyokong mereka) mempratikkannya dalam lapangan kehidupan seperti ketika berkempen. Alangkah buruknya jika menggunakan kaedah tidak mengikut sunnah seperti pendekatan samseng semata-mata untuk menang pilihan raya.

No comments: