DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)
KETIKA sibuk membongkar barang-barang lama, saya terjumpa koleksi majalah sekolah menengah saya dulu. Dalam salah satu majalah itu (tahun 1978 semasa saya di tingkatan empat), terdapat sebuah sajak tulisan saya. Itulah karya pertama saya yang tak tersiar di mana-mana penerbitan.
Menanti Hari Esok
Hidup di dunia diibaratkan pelangi pagi
cukup detik hilanglah sinaran
dan hilanglah cahaya yang ghairah
tiba-tiba datanglah cahaya garang suria
titik-titik embun pun pergi…ibarat manusia sebagai insan biasa
cukup detik pulanglah kepada Yang Kuasa
insan biasa yang datang dengan tangan
dan dada kosong
yang menerokai sendirian apakah erti kehidupan
cukup masanya akan datang jua akhirnya
sebuah perkhabaran yang paling bahagia.
Pelangi pagi takkan kunjung lagi
sinaran ghairah tidak mungkin berulang
hanya tinggal awan dan suria yang garang
membendung seribu kedukaan dan keinsafan
hadapilah kegagalan dengan kesabaran
kejayaan pasti pada hari depan
dalam menghadapi pancaroba kehidupan
perjuangan demi perjuangandemi kebahagian.
Segala apa yang berlaku
usahlah ditangis atau dikesalkan
pasti pada suatu masa
sinaran suria pastikan menjelma
mungkin pada hari esok akan ada bahagia
tak tertahan jiwa nan raga
menanti hari esok…
Saya ketawa tatkala membaca semula sajak yang ditulis hampir 30 tahun lalu. Ketawa kerana idea sajak ini saya adaptasi daripada sebuah sajak karya Sasterawan Negara, A Samad Said yang saya tidak ingat tajuknya dan filem ‘Menanti Hari Esok’ yang membawa kemasyhuran kepada seniman Jins Shamsuddin dan seniwati Noorkumalasari.
Meneliti dan mengkaji sajak ini, mengingatkan saya akan sesuatu – sebenarnya saya sangat terpengaruh dengan penulisan Pak Samad, kerana karyanya banyak membantu membentuk saya menjadi seorang penulis.
Penyiaran sajak ini adalah pemangkin kepada usaha saya terjun dalam dunia penulisan. Pada
peringkat awal, saya cuba menghantar tulisan ke forum-forum pembaca, malangnya tidak disiarkan kecuali sekali, itupun di sebuah akhbar mingguan kanak-kanak.
Apabila menginjak dewasa, saya cuba menulis cerpen dan rencana. Beberapa cerpen yang dihantar di pelbagai penerbitan, tiada khabar berita, hilang begitu saja. Demikian juga rencana,
tiada editor ambil peduli.
Pada tahun akhir di pusat pengajian tinggi, saya tidak pedulikan lagi soal menulis cerpen. Tetapi aneh sungguh, suatu hari saya menerima sepucuk surat yang di dalamnya ada sekeping cek RM40. Kandungan surat itu menyatakan cek itu adalah honarium sebuah cerpen saya yang tersiar dalam salah satu keluaran Mingguan Perdana. Akhbar ini laris dan terkenal pada awal 1980-an.
Wah, saya melompat kegembiraan. Tidak sangka, akhirnya cita-cita saya untuk menjadi seorang cerpenis tercapai jua. “Seluruh Malaya akan tatap namaku,” aku mulai berangan-angan.
Persoalannya, saya belum lagi melihat tulisan saya itu. Ini kerana selepas kecewa berbulan-bulan tidak melihat tulisan saya disiarkan, saya tidak lagi membaca apatah lagi membeli akhbar berkenaan.
Saya bersyukur dengan wang RM40 yang saya terima, tetapi sebagai penulis, tentulah lebih bermakna jika saya dapat menatap tulisan saya itu. Saya mahu memandangnya puas-puas. Saya mahu melihat nama saya (byline) terpampang dalam akhbar. Apatah lagi cerpen itu adalah buah tangan sulung saya yang disiarkan.
Melalui seorang sepupu saya, saya diberitahu seorang ibu saudaranya peminat akhbar berkenaan. Dia membeli dan menyimpan koleksi akhbar itu di rumahnya. Mendengar perkhabaran gembira itu saya pun bermotosikal dari Shah Alam ke rumah wanita berkenaan di Cheras bagi membongkar longgokan akhbar lama miliknya.
Berpandukan surat berserta cek yang dikirimkan kepada saya yang ada dinyatakan bilangan dan tarikh cerpen saya disiarkan dalam akhbar berkenaan, saya pun meneliti satu persatu akhbar itu. Saya bekerja keras berjam-jam lamanya, tetapi alangkah hampanya kerana selepas semua akhbar dibongkar, naskhah yang menyiarkan cerpen saya gagal ditemui.
Saya buntu memikirkan bagaimana cara mendapatkan naskhah akhbar yang amat bernilai sentimental pada diri saya itu. Disebabkan sibuk dengan tugasan dan kuliah, akhirnya pencarian itu saya pendamkan saja.
Beberapa tahun kemudian, selepas memasuki alam pekerjaan, seorang rakan yang mendengar keluhan saya menyatakan mengapa tidak ke pejabat akhbar berkenaan bagi melihat naskhah-naskhah lamanya.
Dia memberitahu, pada kebiasaannya syarikat akhbar menyimpan setiap naskhah akhbar yang diterbitkan untuk tujuan rujukan. Saya gembira tetapi kemudian kembali mendung apabila teringatkan akhbar berkenaan sudah ‘bungkus’ (tidak diterbitkan lagi).
Pencarian saya gagal dan sehingga hari ini saya tidak dapat menatap ‘anak sulung’ saya dalam dunia penulisan. Saya menganggap cerpen itu sebagai ‘anak sulung’ kerana karya-karya terdahulu disiarkan dalam majalah sekolah dan akhbar kanak-kanak, bukan media massa dalam erti kata sebenarnya.
Saya akan rasa bertuah jika ada orang atau pihak yang dapat menjejak dan menghantar kepada saya salinan cerpen berkenaan. Saya tidak ingat tajuk cerpen itu, tetapi kisah cerpen berlatarbelakangkan Kampung Pinang Sebatang yang masih tiada bekalan elektrik walaupun negara sudah berpuluh tahun merdeka.
Suatu ketika tiang-tiang elektrik sudah didirikan, tetapi terbiar lama dalam keadaan ‘togel’ tanpa sambungan pendawaian. Penduduk kampung yang kemudiannya mendengar ‘orang besar’ akan melawat kampung itu, bersepakat menggantung tempurung kelapa di tiang-tiang elektrik ketika kunjungan berkenaan. Mereka kemudian keluar beramai-ramai memalu tiang dan tempurung, menunjukkan protes.
Hasilnya, kampung itu mendapat bekalan elektrik. Mungkinkah kisah yang saya gambarkan melalui cerpen yang disiarkan Mingguan Perdana kira-kira 25 tahun lalu mempunyai persamaan dengan rakyat dan pengundi sekarang.
Kalau rakyat mahu pembangunan segera di kawasan mereka, doakan wakil rakyat cepat mati kerana jika itu berlaku akan diadakan pilihan raya kecil dan ‘ibu segala projek pembangunan’ akan dihantar secepat kilat ke kampung mereka!
No comments:
Post a Comment