Friday, November 6, 2020

Rabiulawal 20, 1442: Dunia kian berjerebu, susah beza intan, kaca...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan 

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


TIDAK lama dahulu, saya sekeluarga melawat seorang anak di UIAM Kuantan. Kami solat di Masjid UIAM. Isteri saya bercerita selepas solat ada seorang lelaki tua berkopiah dan seorang kanak-kanak (mungkin anaknya) merayu ditolong, katanya dia kehabisan minyak kereta untuk balik ke Kemaman.


Isteri saya tanya jumlah duit diperlukan untuk isi minyak. Jawab 'pak haji' itu RM50. 'Punyalah baik' isteri saya, dia 'sedekahkan' RM50. Namun kemudian dia tidak sedap hati, jadi dia hendap 'pak haji' itu. Rupa-rupa 'pak haji' itu tak naik kereta pun. Dia 'berlepas' dari masjid itu bersama 'anaknya' dengan menunggang motosikal!


Demikianlah, dapat saya rasakan kehidupan sekarang lebih berjerebu (rumit) daripada sebelum ini. Semakin maju kita rasakan diri kita semakin payah pula hendak menentukan kesahihan sesuatu perkara itu. Kata bijak pandai, selain petunjuk daripada Allah SWT, hanya ilmu yang dapat 'mengkhabarkan' kepada kita kedudukan sesuatu perkara itu sama ada benar atau salah. Sama ada intan atau kaca.


Baru-baru ini saya menerima e-mel ini daripada Ibu Tija. Antara lain dia menulis: Syukur alhamdulillah saya ucapkan kepada Allah kerana atas kehendak-Nya melalui Mbah Rawa Gumpala saya sekarang sudah 'sukses', dapat buka perniagaan sendiri dan bahkan saya ada cadangan membangunkan hotel. Semua semua berkat bantuan Mbah Rawa Gumpala. Saya tidak pernah menyangka kalau saya sudah 'sukses' sebegini, bantuan Mbah Rawa Gumpala yang telah memberikan nombor selama tiga kali putaran dan alhamdulillah itu semuanya tembus (berjaya)..."


Kata Ibu Tija, kalau saya mahu 'sukses' saya boleh menghubungi Mbah Rawa Gumpala; dia memberikan nombor telefonnya. 


Tidak lama dulu, saya menerima sejumlah surat daripada 'tok guru' Siam yang dimasukkan dalam peti surat rumah saya. Antara surat yang diterima adalah;


* Risalah daripada Wat Suwannaram. (Disertakan gambar beberapa gambar sami Siam, paparan nombor ramalan yang menang dan testimoni berikut):  "Saya Abdul Rashid berterima kasih kepada tok guru kerana telah menolong saya mengubah nasib saya. Sebelum mendapat pertolongan daripada tok guru, kehidupan saya sangat susah. Suatu hari, saya terima risalah daripada tok guru, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi tok guru dan saya ikut nasihat tok guru, akhirnya nombor ramalan yang diberi tok guru telah mengubah nasib saya."


* Risalah daripada Wat Natawee. (Disertakan gambar sami Siam dan testimoni berikut): "Nama saya Hafizudin dari Selangor. Saya ingin mengucap terima kasih kepada tok guru kerana telah menolong saya membangunkan semula perniagaan. Dulu kebakaran telah berlaku pada kedai saya. Lagi pun kedai saya tidak mendapat sebarang pampasan daripada syarikat insurans. Sejak itu saya menghadapi masalah kewangan. Pada masa itu saya terima risalah daripada tok guru. Masa itu saya tidak percaya kepada nasib nombor ramalan tetapi sudah tiada cara lain lagi. Saya pun hubungi tok guru untuk meminta nasihat. Akhirnya nombor ramalan yang diberi oleh tok guru telah mengubah nasib saya."


* Risalah daripada Wat Pailom. Testimoni seorang lelaki tertulis: "Saya Mohd Syahir. Ribuan terima kasih kepada tok guru kerana telah menolong saya mengubah nasib saya, sebelum dapat pertolongan daripada tok guru, kehidupan saya sangat susah, suatu hari saya terima risalah daripada ‘master’, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi tok guru dan saya ikut nasihat tok guru, akhirnya nombor ramalan yang diberi oleh tok guru telah mengubah nasib saya."


Demikianlah nama suci Allah dan syiar-Nya telah disalahkan untuk meraihkan keuntungan dunia. Demikian juga nama orang Islam seperti Abdul Rashid dan Mohd Syahir seperti surat di atas. Orang sekarang pandai cakap syukur alhamdulillah, berpakaian 'orang beragama' seperti berkopiah dan berserban dan menggunakan istilah 'tok guru' tetapi hakikatnya akidah dan perlakuan mereka menyimpang daripada kehendak agama. 


Demikian juga mereka yang naik ke pentas dunia glamor (kerana menang sesuatu anugerah) dengan berpakaian 'tak cukup kain', penuh bangga mengucapkan 'Alhamdulillah dan sebagainya.


Ya, wahai pembaca dikasihi, berhati-hatilah kerana pada zaman 'berjerebu' ini sukar untuk membezakan mana satu intan, mana satu kaca. Namun insya-Allah ada jalan penyelesaiannya, salah satunya sentiasalah menuntut ilmu kerana bijak pandai ada menyatakan 'hanya jauhari mengenal manikam'!

No comments: