Sunday, September 27, 2020

Safar 9, 1442: 'Sampai maut memisahkan kita'

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SUDAH lama saya tak 'belayar'. Maksud saya menggembara secara solo, sama ada dengan berbasikal, bermotosikal dan menaiki kenderaan awam di dalam negara atau menaiki feri menyeberangi Selat Melaka ke Indonesia.


Baharu-baharu ini saya ke jeti Pelabuhan Melaka untuk melepaskan 'gian menggembara'. Dari sinilah dahulunya saya berlepas dengan feri untuk ke Dumai, Pekan Baru dan Bengkalis di Propinsi Riau, Indonesia. Tetapi gara-gara COVID-19, hampir tiada peluang untuk ke Seberang (Indonesia).


Kali ini saya hanya bersiar-siar di kawasan muara Sungai Melaka. Ketika menghirup-hirup udara segar di sebuah persiaran kaki yang diserikan dengan pohon-pohon redup, saya terperasan sebuah tulisan di sebuah binaan batu yang melindungi sebatang pohon berkenaan. Ia luahan hati seseorang kepada kekasihnya.


Sampai maut memisahkan kita

Aku takkan pernah berpisah

Dengan kamu Hasianku

Dan sampai Tangan Tuhan

Memisahkan kita berdua

Aku takkan pernah meninggalkan

Atau melepaskan kamu Hasianku.

D cinta R ----07-04-18


Ehwah...tersengih sendirian saya membaca bait-bait puitis itu. Agak saya ini  tulisan seorang pemuda Seberang berdasarkan gaya bahasa dan nama individu yang dilampiaskan rasa rindu gelora...ya aku takkan melepaskan kamu Hasianku...


Begitulah, adat orang muda sedang kemaruk cinta, semuanya indah sahaja. Sanggup melakukan apa saja termasuk berkorban diri untuk sang kekasih. Lautan api sanggup direnangi. 


Itu kisah sebelum kahwin, dah kahwin lain ceritanya.. Apatah lagi selepas berpuluh-puluh tahun kahwin dengan anak berderet-deret. Pasangan masing-masing dah tak lawa atau 'handsome' lagi. Ketika itu baharulah tahu istilah lautan api sanggup kurenangi tak lebih temberang sahaja!


Bukan sahaja fizikal pasangan berubah (dahulu ramping sekarang gemuk gedempol atau dahulu gigi dan rambut tersusun rapi sekarang sudah gondol), perangai dan hati pun sudah berubah. Yalah, bukankah ada kata-kata berbunyi, anak sungai lagikan berubah ini pula hati orang.


Ketika bercinta atau awal-awal kahwin perangai bukan main baik lagi. Semua dikontrol. Kentut pun cuba 'dikemut'.Tetapi selepas setahun dua apatah lagi berpuluh-puluh tahun bersama, terserlah dan 'terbangunlah serigala' (perangai buruk) pasangan.masing-masing.Kentut macam bom atom, berdengkur macam lembu apatah lagi yang gemar melakukan perkara haram seperti mempunyai hubungan sulit, mendengki pasangan sehingga ada yang sanggup melakukan penderaan malah pembunuhan.


Namun alangkah indahnya, ada pasangan yang boleh bercinta dan berbahagia sehingga ke akhir hayat mereka. Inilah yang suami isteri idaman. Ya, apakah rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan begitu? Seorang ustaz berkata Allah SWT kurniakan mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu?  Nak tahu, rajin-rajinlah belajar ilmu rumah tangga.


Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir."


Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah.


Semuanya indah, semuanya cantik. Pujian melangit diberikan kepada pasangan masing-masing. Si teruna akan berkata kepada si dara "Dinda adalah satu antara 1,000", manakala si dara akan berkata kepada si teruna, "Abanglah lelaki paling 'handsome'.


Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah.


Namun manusia daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang 'solid' tadi, anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya. Pakailah alat mekap macam mana pun, tua tetap datang, kulit mulai berkedut, laki pun tidak lagi mengucapkan kata-kata hikmat "kau sentiasa di hatiku." "Untuk mengucapkan "I love you, atau aku cinta kamu", sudah terasa geli-geleman pada sesetengah orang. Apatah lagi jika kata-kata itu diucapkan di depan anak cucu, mereka akan berkata nanti, "orang tua ni dah buang tabiat ke?"


Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal  sekali pun kau sudah 'kondem' (tak boleh pakai), aku tetap menyayangimu! Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri.


Bukalah mata dan hati kamu luas-luas, kamu akan dapati ada suami yang terus melayani si isteri sekalipun orang rumahnya itu telah 'tersadai' di atas katil kerana berpenyakit, demikian juga ada isteri yang terus setia sekalipun suami sudah terperosok di atas kerusi roda.


Demikianlah betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurnikannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda dan kemudian bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman? Jelaslah iman yang dapat menyelamatkan sesebuah rumah tangga.



No comments: