Friday, September 25, 2020

Safar 7, 1442: Hari Malaysia: Jitukan rakyat hadapi tuntutan Filipina

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat 44) 


HARI Malaysia bergema sekali lagi. Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 membabitkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak. Singapura terlepas daripada genggaman Malaysia dua tahun kemudian dan sehingga kini banyak isu masih menjadi duri dalam daging dalam hubungan kedua-dua negara. 


Kini, kita berhadapan dengan gelagat gelojoh sebuah lagi negara jiran Filipina, yang terus menerus melakukan tuntutan ke atas Sabah malah telah memasukkan Negeri Di Bawah Bayu sebagai sebahagian wilayahnya dalam pasport warga Filipina. 


Apabila menyentuh Hari Malaysia yang membabitkan Singapura (yang nama lamanya Temasik), kita tertarik mengambil teladan dicatatkan dalam Sejarah Melayu melalui kisah Hang Nadim yang menyelamatkan Singapura (Temasik) daripada serangan ikan todak. Tentunya pengarangnya tidak saja-saja menukilkan kisah ini tetapi bermaksud memberi didikan dan pengajaran kepada anak bangsanya. 


Kisah Singapura dijadikan pengajaran bagi kita semua supaya insya-Allah tidak berlaku kepada Sabah dan Sarawak. Hampir semua pihak sudah maklum akan kisah Hang Nadim, seorang budak yang menyelamatkan Temasik dengan mencadangkan batang-batang pisang sebagai benteng sedangkan pembesar negara mengerahkan rakyat menahan serangan todak dengan paha masing-masing. Kebijaksanaan Hang Nadim ternyata memakan diri, pembesar yang iri hati yang bimbang apa akan dibuat beliau apabila dewasa nanti, menabur fitnah dan akhirnya budak itu dihukum mati.


Hari ini, kita mempunyai ramai Hang Nadim tetapi nampaknya sejarah berulang, mereka disenyapkan atau mahu dilenyapkan sebelum benar-benar mati. Salah seorang Hang Nadim itulah yang membuka mulut untuk menyemarakkan Hari Malaysia sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa bahagian timur tanah air (Sabah dan Sarawak) seolah-olah sudah terlepas pandang dalam pelbagai segi. Apabila lontaran ini berjaya menggegarkan Putrajaya, baharulah dipertingkat usaha untuk menambat hati anak negeri Sabah dan Sarawak sehingga ada yang merajuk menyatakan mereka duduk di tepi tandas dalam banglo mewah.


Kini Hari Malaysia bergema di serata negara sehinggakan rakyat berbangga dianugerah cuti umum, tetapi sedarkah kita kejituan rakyat dan pemimpin kedua-dua bahagian tanah air ini yang dipisahkan oleh Laut China Selatan ada lompang yang jika diperbaiki hasilnya dapat memantapkan ikatan rakyat sekali gus menolak ancaman luar seperti tuntutan tak munasabah yang dikemukakan Manila. Pemimpin dan rakyat perlu berpadu - tiada dengki mendengki dan khianat seperti dipamerkan pembesar Singapura menyebabkan seorang rakyat bijaksana (Hang Nadim) dibunuh.


Jelas sekali kesatuan serta kejituan sesama rakyat serta pemimpin kedua-dua bahagian tanah air kita amat penting bagi menghadapi isu ini. Bagi orang Islam, perpaduan sesama rakyat atau pemimpin terlaksana dengan berpegang kepada tali Allah. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk." (QS. Ali Imran 3:103)


Demikianlah maksud ayat al-Quran di atas dijadikan rujukan bagi membuktikan keutuhan kerajaan-kerajaan Melayu-Islam di Nusantara bagi menghadapi ancaman penjajah. Kini perkara sama perlu diulang bagi negara kita daripada menghadapi ancaman luar. Berkenaan perpaduan sesama Muslim Melayu ini penulis teringat akan kunjungan penulis ke salah sebuah negeri Melayu bernama Palembang (kini Palembang terletak dalam propinsi Sumatera Selatan, Sumsel, Indonesia) yang menurut sesetengah pihak sebagai salah sebuah pusat pengembangan kebudayaan dan keagamaan orang Melayu. Malah susur galur sultan dan raja-raja Melayu juga didakwa berasal dari Palembang iaitu pada ketika era kehebatan Sriwijaya. Melaka muncul selepas itu, dan empayar ini merentasi wilayah laut (maritim) jadi dapat dijadikan contoh bagaimana kita mahu 'mengikat' rakyat di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.


Hubungan sesama rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak masih ada ruang diperbaiki. Teringat penulis dulu (tahun 1980-an) ada feri (Cruise Muhibbah) menghubungan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ya, tak semua orang mampu atau menyukai penerbangan, jadi perkhidmatan feri ini banyak fungsinya termasuk mendekatkan sama ada dari segi fizikal dan hati rakyat kedua-dua bahagian negara ini.


Namun akhirnya, Feri Malaysia berkubur jua. Selepas memulakan perkhidmatan pada 31 Ogos 1986 dari Kuantan ke Kuching dan Kota Kinabalu, operasi Cruise Muhibbah tamat pada 1989. Hari ini sekalipun pertautan Semenanjung, Sabah dan Sarawak terus erat tetapi masih ada pihak dan individu berjauh hati. Kita perlu kukuhkan tautan hati itu kerana kesepakatan dan kejituan pemimpin serta rakyat, insya-Allah dapat menolak ancaman negara termasuk yang cuba-cuba dibuat oleh Filipina itu. Buktikan semua rakyat sepakat dan berpadu tenaga menolak tuntutan mentah Manila!


No comments: