Sunday, September 6, 2020

Muharam 18, 1442: Bersyukurlah dengan apa kita ada...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


KETIKA di bangku sekolah, saya suka menumpang membaca karangan kawan-kawan saya sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu kerana bagi saya dengan cara ini dapat memantapkan lagi karangan saya termasuklah dari segi idea persembahan.


Salah satu karangan itu yang ditulis dalam bahasa Inggeris masih saya ingati sehingga kini. Dalam karangan itu, kawan saya itu menulis dia merungut -rungut kepada bapanya kerana membelikannya sepasang kasut yang 'tiada kelas'.


Dia mendengus-dengus beberapa hari lamanya sehingga suatu hari ketika berjalan-jalan dengan bapanya mereka terserempak dengan seorang budak OKU. Budak itu kudung kedua-dua kakinya...perlahan-lahan bapanya berkata..."wahai anakku, kamu merungut kerana dapat kasut tiada 'brand'...lihatlah budak itu tiada kaki untuk disarungkan kasut!"


Saya teringat kisah ini ketika menyantuni seorang wanita muda pekak dan bisu baharu-baharu ini. Pada mulanya saya lihat dia terbaring lesu di wakaf sebuah masjid. Selepas memberi salam (yang dia tidak jawab) saya bertanya sama ada dia perlukan apa-apa pertolongan (yang juga dia tak jawab).


Selepas bertanya itu dan ini...baharulah saya sedar dia bisu dan pekak. Bagaimana saya mahu berkomunikasi dengannya? Saya dapat idea...saya menulis di kertas dan berharap dia dapat menjawab balik. Saya tulis, nama awak siapa? Dia tulis balik FARA, subhanallah cantik tulisannya...di mana dia belajar? Apabila saya tulis...umur berapa, dia tulis 26 tahun.


Saya tulis lagi...bujang atau dah kahwin? Dia tulis balik 'dah kahwin. Saya tulis anak awak berapa orang? Dia tunjukkan anak dalam perutnya. Subhanallah dia sedang mengandung.


Saya tulis...awak kerja mana? Dia tulis...saya pembantu kedai. Akhirnya, saya memberikannya sejumlah wang kerana melihatkan keadaannya yang seperti memerlukan bantuan tetapi dia menolaknya. Namun selepas saya menunjukkan kepada 'baby' dalam perutnya dan berkata 'itu untuk 'baby', baharulah dia terima.


Selepas meninggalkan perempuan itu, 'otak' saya memikir-mikirkan pasal diri ini...ya kita ada telinga yang boleh mendengar, mulut yang boleh bersuara....adakah kita cukup bersyukur dan sudah buat yang terbaik dengan anugerah terhebat daripada Allah SWT itu?


Berceloteh pasal orang OKU ini, terkenang saya perkenalan dan persahabatan saya dengan seorang pengemis Cina bernama Ricky yang dalam lingkungan usia 50-an di Puduraya suatu ketika dulu.


Hampir setiap hari selama bertahun-tahun lamanya saya berinteraksi dengan Ricky di laluan pejalan kaki (susur gajah) di antara Hentian Puduraya dan Plaza Rakyat yang hanya stesen LRT-nya boleh digunakan manakala struktur lain terbengkalai puluhan tahun lamanya.


Ricky pengemis unik - pada peringkat awal ketika berjalan 'melepasinya' saya amat-amati satu 'kelakuan buruknya' - setiap kali orang memasukkan wang syiling 10 sen atau 5 sen ke dalam bekas jualan tisunya dia akan mencampakkan duit itu. Ehh, dah le buta, kenal pulak duit kecik, dicampakkannya saja - 'sombongnya' pengemis ini, gerutu hati saya.


Selama berhari-hari setiap kali melalui lokasi Ricky saya akan berdiri lama sedikit - memerhatikan kelakuan Ricky. Dia tetap dengan perangai 'teruknya', mencampakkan duit syiling bernilai kecil. Kemudian saya 'cuba mengujinya' dengan memasukkan wang syiling 10 sen; hah dia tetap mencampakkannya.


Saya mengujinya beberapa kali sehingga suatu hari saya ada sedikit 'keberanian' untuk menyapanya seterusnya bertanya mengapa dia membuang duit syiling itu. Alhamdulillah, Ricky mahu berinteraksi dengan saya, katanya duit syiling bernilai kecil membawa 'suey'.


Saya memberitahu Ricky dalam Islam tiada 'suey' - semua perkara sekecil manapun ada manfaatnya di mana ada hadis Nabi s.a.w. menyebut mendermalah walaupun separuh butir kurma bagi menyelamatkan diri kita daripada neraka.


Ricky menunjukkan minat - demikianlah 'persahabatan' kami bertukar daripada hari ke minggu, kemudian kepada bulan seterusnya tahun - saya mengajar Ricky mengucap dua kalimah syahadah, membaca surah al-Fatihah namun sukar sekali dia mengikutinya menyebabkan saya mengesyorkan dia pergi ke pejabat agama atau Perkim tetapi saya tahu Ricky tidak pernah pergi pun.


Banyak juga kisah Ricky yang dapat saya cungkil namun tidak dapat dicelotehkan secara panjang lebar di ruang yang sempit ini. Antaranya jumlah pendapatan bulanan beliau yang 'agak baik', 'kerinduannya' kepada perempuan dan kisahnya tinggal di sebuah hotel di Singapura semasa mengemis di sana.


'Mengenai perempuan', Ricky berkata saya bertuah kerana ada mata boleh melihat perempuan cantik dan seksi tetapi dia bernasib malang tidak dapat menyaksikannya. Saya membalas balik dengan berkata, "awak bernasib baik kerana tiada dosa mata" tetapi Ricky tetap tidak dapat menerimanya.


Namun satu hal yang menggembirakan saya adalah Ricky tidak lagi membuang wang syiling bernilai kecil. Namun 'persahabatan' saya dengan Ricky 'berakhir jua' apabila saya tidak lagi ke Hentian Puduraya secara kerap dan akhirnya era Puduraya 'berkubur' digantikannya Terminal Bersepadu Selatan (TBS).


No comments: