Monday, September 14, 2020

Muharam 26, 1442: Carilah 'Rahmah' pada usia senja...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


KISAH ini berlaku puluhan tahun lalu. Saya tinggal berjiran dengan seorang tok guru. Pada usia tua, isteri tok guru meninggal dunia. Tok guru kemudian berkahwin dengan seorang janda yang ada beberapa anak dan tinggal bersama-sama anaknya.


Selepas kahwin, isteri tok guru lebih suka duduk di rumah lamanya daripada rumah suami. Maka terpaksalah tok guru berulang ke rumah si isteri; kadang-kadang isterinya mengikuti beliau balik, selalunya tidak.


Sebagai jiran, kadang-kadang saya membawa tok guru ke rumah isterinya dengan kereta saya. Suatu ketika, tok guru membebel kepada saya: " Kalau macam ni lebih baik mufarakah saja." Masa itu saya 'muda benar' - saya tak berapa faham perkataan 'mufarakah' itu.


Tetapi apabila tok guru menyambung bebelannya, "tapi sebagai orang tua, kita jangan buat 'benda-benda' macam ini. Buat malu kepada anak cucu saja. Kita mesti tunjuk contoh baik", barulah saya faham bahawa jangan mudah nak bercerai...mungkin maksudnya teruskan ikatan perkahwinan sehingga ke akhir hayat. Ya, tok guru kekal dalam perkahwinannya sehingga beliau meninggal dunia.


Adat dunia, orang muda mahu berumah tangga manakala orang 'lama', tak kiralah siapa pun termasuk tok guru dan pemimpin apatah lagi artis, cabarannya adalah mengekalkan rumah tangga. Sekarang ini, terlalu kerap kedengaran kes cerai-berai, rekod JAKIM menunjukkan berlaku satu perceraian setiap 15 minit!


Sebagai insan biasa, kita juga cemaskan rumah tangga kita, berdoalah agar perkahwinan kita berkekalan hingga ke akhir hayat; bukan hingga ke anak cucu seperti diungkapkan sesetengah orang. Ini kerana ada juga pasangan veteran yang sudah beranak cucu terbabit dalam perceraian. Ertinya perkahwinan mereka berakhir selepas mereka mendapat anak cucu. 


Apakah rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan ke akhir hayat? Seorang ustaz berkata Allah SWT kurniakan mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu? 


Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." 


Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah. 


Semuanya indah, semuanya cantik. Pujian melangit diberikan kepada pasangan masing-masing. Si teruna akan berkata kepada si dara "Dinda adalah satu antara 1,000", manakala si dara akan berkata kepada si teruna, "Abanglah lelaki paling 'handsome'.


Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah. 


Namun manusia daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang 'solid' tadi, anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya. Pakailah alat mekap macam mana pun, tua tetap datang, kulit mulai berkedut, laki pun tidak lagi mengucapkan kata-kata hikmat "kau sentiasa di hatiku." "Untuk mengucapkan "I love you, atau aku cinta kamu", sudah terasa geli-geleman pada sesetengah orang. Apatah lagi jika kata-kata itu diucapkan di depan anak cucu, mereka akan berkata nanti, "orang tua ni dah buang tabiat ke?"


Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal  sekali pun kau sudah 'kondem' (tak boleh pakai), aku tetap menyayangimu! Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri.


Bukalah mata dan hati kamu luas-luas, kamu akan dapati ada suami yang terus melayani si isteri sekalipun orang rumahnya itu telah 'tersadai' di atas katil kerana berpenyakit, demikian juga ada isteri yang terus setia sekalipun suami sudah terperosok di atas kerusi roda. 


Demikianlah betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurnikannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda dan kemudian bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman? Jelaslah iman yang dapat menyelamatkan sesebuah rumah tangga.


Jadi bagi pasangan suami isteri berusahalah untuk mendapatkan kasih sayang rahmah itu. Ini kerana makin lama sesebuah perkahwinan itu, makin hilanglah mawaddahnya (sebagai contoh keinginan seks semakin lama semakin menurun). 


Bagi si isterilah tambatlah suami anda dengan ciri-ciri hebat anda seperti melayan makan minum dan menyediakan pakaiannya manakala bagi si suami tunjukkan keprihatinan anda seperti merawatnya ketika dia sakit. 


Masakan sesuatu pasangan itu ada rahmah jika si isteri tidak mempedulikan makan minum dan rumah tangga kerana kerap berada di luar melayani kepentingan kerjayanya atau asyik bermain 'handset' manakala si suami asyik-asyik mengugut nak kahwin satu lagi kerana si isteri selalu sakit. 


Fikir-fikirkanlah, marilah kita (termasuk saya) mencari rahmah (bukan gadis bernama Rahmah) selepas era mawaddah berakhir akibat ketuaan diri. Semua orang akan tua kerana tua tidak diminta tetapi ia datang sendiri!

No comments: