Saturday, September 26, 2020

Safar 8, 1442: Si anak burung, jangan lupa sarang asalmu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


TANGGAL 1 September (Selasa) lalu, saya dan isteri menghantar anak 'bongsu' kami (setakat inilah, yalah mana tahu ada 'rezeki' lagi) mendaftarkan diri di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) nun di utara tanah air. 


Anak perempuan ini adalah yang 'terakhir' daripada lima adik beradik 'berangkat pergi' meninggalkan rumah kami bagi menggapai cita-citanya - kini tinggallah kami berdua 'penuh sepi' sebagai 'pengantin veteran' dalam rumah yang agak luas dengan lima bilik - empat daripadanya sudah kosong!


Saya lihat prosedur pendaftaran anak saya kali ini tak sama seperti abang dan kakaknya tatkala ke institusi pengajian tinggi (IPT)  dahulu. Pada ketika pematuhan SOP pandemik COVID-19, urusan dilakukan secara 'drive thru' (pandu lalu). Kenderaan mak ayah atau penjaga, beratur panjang dan apabila tiba di lokasi ditentukan, barangan anak-anak diturun serta dilonggokkan dan kemudian mak ayah mengucapkan 'bye-bye' kepada anak masing-masing!


Ya, mulai September dan Oktober ini, ribuan anak-anak muda memasuki IPT. Ya, universiti mula dibuka sekalipun agak lambat berbanding tahun-tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19. Anak-anak memulakan hidup baharu, sebahagiannya berenggang daripada ibu bapa buat pertama kali dalam hidup.


Bagi pelajar lepasan SPM (sesetengahnya belum berumur 18 tahun) yang berpeluang ke IPT yang jauh dari kediaman masing-masing (misalnya pelajar Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya), dilihat sebagai ‘terlalu hijau’ untuk meneroka alam baru di tempat asing. Tetapi itulah hakikatnya, pengorbanan diperlukan daripada seorang insan bergelar pelajar bertukar mahasiswa bagi menjayakan cita-cita murni diri, keluarga, bangsa, negara dan agama.


Ramai remaja dalam usia 18 tahun, selepas tamat sekolah menengah belum tetap atau matang dalam 'pemikiran' mereka. Ada yang dalam keadaan ‘terumbang-ambing’ membuat pilihan. Mereka tidak tetap dalam membuat keputusan. Ada yang sekejap mahu bekerja atau belajar malah ada memilih untuk berkahwin!


Bagi yang ke IPT, pengkhusan apa yang mahu mereka ikuti pun mereka tak tahu. Kejap mahu menyertai bidang itu, kemudian bidang lain pula. Sekejap mahu masuk matrikulasi, kemudian universiti, masuk institusi perguruan, selepas itu berubah fikiran lagi.


Sebagai bapa, saya memberi kebebasan kepada anak-anak. Terpulanglah kepada mereka hendak jadi gurukah, jurutera, doktor, peguam atau apa saja bidang pekerjaan sama ada dengan belajar di dalam atau luar negara. Terbanglah wahai anak-anak, buatlah apa yang terbaik untuk agama, bangsa, negara dan keluarga.


Demikianlah pada usia 18 tahun, selepas tamat tingkatan lima, adalah permulaan zaman baharu yang begitu mencabar. Bagi yang tidak melanjutkan pelajaran, sebahagian besar akan memasuki dunia pekerjaan, ada yang melalui dunia getir bernama pengangguran dan tidak kurang menempah tiket menjadi suami atau isteri dan setahun dua kemudian sudah bergelar 'daddy' atau 'mummy'! 


Kepada anak-anak diucapkan ‘selamat terbang’ bagi memulakan penghidupan baharu. Seperti anak-anak burung yang mula menggerak-gerakkan kepak untuk terbang, demikanlah anak-anak ini. Belajarlah untuk ‘terbang’ daripada kediaman selesa dan ketiak ibu bapa masing-masing, berdikari menghadapi dunia penuh pancaroba. Anak-anak burung akan terbang dan jatuh; demikian juga anak-anak remaja. Ada kalanya patah sayap, akhirnya terbang jua.


Saya pernah membaca pesanan-pesanan hebat daripada ibu bapa kepada anak-anak sebelum mereka meninggalkan rumah masing-masing bagi memulakan kehidupan baru. Seorang bapa Amerika sebelum menghantar anaknya ke kolej (universiti) dipetik sebagai berkata: “Terbanglah wahai si anakku bagi memulakan kehidupan baharumu. Rumah ini sentiasa terbuka untuk kepulanganmu. Tetapi seperti burung yang sudah pandai terbang, kamu pasti tidak betah kembali. Namun, percayalah ayah sentiasa menyediakan bahu untuk kamu sandari kepalamu.”


Demikian juga bagi remaja yang memilih untuk berkahwin seterusnya meninggalkan rumah orang tua ada pesanan hebat dibuat oleh bapa dan ibu.


Asma’ binti Khorijah dipetik sebagai menyampaikan pesanan ini kepada anak perempuannya tatkala malam pernikahannya: “Sesungguhnya engkau akan keluar dari sarang yang membesarkanmu lalu engkau beralih ke tempat tidur yang tidak kamu ketahui dan pendamping yang kamu tidak pernah bergaul dengannya. Maka jadilah engkau sebagai bumi baginya agar ia menjadi langit bagimu.


“Jadilah kamu hamparan baginya agar ia menjadi sendi bagimu. Jadilah hamba baginya agar dia menjadi hamba bagimu. Janganlah engkau memaksa tuntutanmu sehingga dia membencimu. Janganlah engkau menjauhinya sehingga dia melupakanmu. Jika dia mendekatimu, maka dekatilah dia dan jika dia menjauhimu maka hindarilah dia. Jagalah hidung, pendengaran dan matanya. Janganlah sekali-kali ia mencium daripada dirimu kecuali bau yang harum, janganlah ia mendengar daripadamu kecuali ucapan yang baik dan janganlah ia memandang darimu kecuali yang indah-indah.”


Seorang tokoh pendidikan tempatan, lain pula pendapatnya. Katanya, sekalipun sudah keluar rumah dan memulakan kehidupan baru, anak-anak perlu sentiasa dipantau. Sekalipun mereka sudah berkahwin, ibu bapa perlu ambil tahu hal ehwal anak-anak. Sesekali jenguklah rumah anak-anak yang sudah berkahwin, ambil tahu sama ada kehidupan mereka berlandasan Islam atau tidak. Pastikan anak menantu ambil berat hal ehwal agama terutama sekali solat. Anak-anak mereka (cucu) juga perlu dididik secara Islam agar terselamat dan tergolonglah keluarga itu dalam warisan orang beriman seperti yang didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada anak cucu baginda.


Cabaran anak-anak yang berpeluang ke luar negara lagi hebat, oleh itu ibu bapa perlu sentiasa berhubung dan menasihati mereka. Dalam usia mentah 18 tahun, mereka pasti terkejut dengan kelainan budaya dan cara hidup. Tetapi, mahu tidak mahu, mereka pasti ‘terbang’ jua, jadi sebelum ke ‘awan biru’ lengkapilah dada mereka dengan ilmu agama secukupnya.




No comments: