Tuesday, August 18, 2020

Zulhijah 28: Kalau mahu makan durian sebakul... (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


ADIK saya yang berusia awal 40-an menghidap penyakit gaut (gout). Kasihan saya tengok dia tak boleh makan daging apatah lagi makanan laut yang sedap-sedap seperti udang, sotong dan ketam.


Saya yang berusia lebih 58 tahun, alhamdulillah tiada gaut tetapi diserang penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak berusia 40 tahun. Maka tidak bolehlah saya makan makanan serta minuman manis berlebihan termasuklah durian, ooh ini buah 'favorit' (kesukaaan) saya.


Apabila membeli durian atau ada anggota keluarga membawanya pulang, saya hanya makan seulas dua - ya kata orang nak merasanya saja. Ada kalanya saya tidak dapat tahan nafsu, maka saya 'bedal' tiga, empat, lima ulas dan seterusnya...akibatnya kepala menjadi pening semacam manakala kekerapan kencing bertambah.


Kadang-kadang rasa macam mahu pengsan dan rebah ke bumi. Demikianlah nasib saya dan sebahagian besar insan lain yang sudah sampai ke usia senja (tua), apabila duit mulai lebat dalam poket malah boleh membeli sebakul atau selori durian, makan pula dah tidak berapa boleh lagi. Dulu masa muda ketika berselera makan durian sebanyak mungkin, duit pula tak banyak dalam poket, jadi terpaksalah terkebil-kebil biji mata.


Orang sufi berasa hairan mengapa manusia terlalu gila mahu menjadi kaya raya harta – bertimbun-timbun duit dalam bank. Duit itu bukan boleh digunakannya untuk makan sesuka hati, apabila semakin tua semakin kuranglah selera untuk makan apatah lagi selepas diserang penyakit biasa bagi kebanyakan orang veteran seperti diabetes (kencing manis), gaut, darah tinggi dan lemah jantung.


Orang tua makannya sedikit saja, jadi apa perlu duit bertimbun dalam bank. Ini kerana jika makan durian, dia boleh makan seulas dua saja; jika makan daging, juga secebis dua; dan jika minum, minum air kosong saja (tanpa gula). Ada pula yang lebih malang lagi, tak boleh makan makanan lazat-lazat termasuk nasi, yang boleh dimakannya roti kering saja. Malah ada tak boleh makan dan minum secara normal, terpaksa guna tiub, jadi untuk apa duit banyak-banyak di bank itu?


Ada orang lagi tua lagi ligat mengumpul harta, kononnya senanglah mereka berbuat itu dan ini termasuklah berkahwin muda. Mereka tetap mahu berkuasa di puncak, terlalu leka menikmati keindahan dunia yang bagaikan syurgawi itu. Orang tua kahwin wanita muda memang bagus, kata seorang pemikir kerana dakwanya, “kalau kelapa tua (santannya) dipadankan dengan sayur muda barulah sedap lauk masakan” tetapi ingat-ingatlah kerana seorang pemikir lain menyatakan betapa menyusahkan seorang tua 'berbinikan' wanita muda tang, tang, tang.


Pada usia tua ini, alhamdulillah sempat saya ke kelas pengajian di masjid terutama di antara maghrib dan isyak. Mengenai bab tua, kata sesetengah guru, perubahan yang berlaku kepada diri kita adalah perkhabaran dari langit, daripada Allah SWT yang mengingatkan kita akan kematian.


Seorang tok guru berkata dalam kebanyakan kes, kematian tidak berlaku secara mengejut seperti dakwaan sesetengah orang. Allah SWT telah menghantar utusannya, tetapi kebanyakan manusia tidak menyedarinya. Salah satu daripadanya adalah penyakit, apabila umur meningkat 40 tahun ke atas, pelbagai penyakit mula menyerang.


Kata tok guru, cerminlah diri sendiri. Rambut mulai putih, ada yang sudah botak; misai dan janggut juga sudah lebih banyak putih daripada hitam. Ini semua adalah utusan daripada Allah SWT, awak sebenarnya semakin hampir dengan kubur, tetapi mengapa tidak sedar-sedar diri?


Kemudian badan pula terasa lenguh-lenguh; sana sini sendi sakit; kemampuan dan kekuatan pun tidak seperti dulu. Berjalan sikit sudah letih; apatah lagi berlari atau mendaki tangga, tercunggap-cunggap dan mengah, bagai mahu putus nafas.


Suatu hari selepas tamat seorang tok guru memberi tazkirah, saya memberanikan diri bertanya beliau: "Tuan, bagaimana saya dapat reda dengan situasi ini - dulu masa muda saya boleh makan durian sebanyak-banyaknya tetapi masalahnya saya tiada duit, sekarang ini dengan duit yang ada saya boleh beli sebakul durian, tetapi tak boleh makan pula?"


Jawapan tok guru mudah sekali, membuatkan saya tercengang-cengang: "Dengan duit yang ada, awak belilah sebakul atau selori durian sekalipun. Ambillah sebiji dan rasalah seulas. Yang lain tu hantarlah ke sekolah budak tahfiz. Atau sedekahkan kepada orang muda yang boleh makan...di dunia ini awak tak boleh makan sebakul durian, insya-Allah kalau awak masuk syurga nanti awak boleh makan seberapa banyak durian yang awak suka kerana di sana tiada penghuninya yang berpenyakit kencing manis, 'go out' (gout) arah tinggi dan sebagainya...!"

No comments: