Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
AKHIR tahun sinonim dengan cuti. Seorang anak dara saya 'semacam dipaksa atau terpaksa' ke dapur memasak dan menyediakan makanan. Kesediaannya untuk ke dapur sewajarnya dipuji kerana saya tahu ada anak dara lain yang sedang menuntut langsung tidak mahu masuk ke dapur.
Bagaimanapun, si anak saya tak terlepas daripada merungut: "Boringlah, dan 'tension' hari-hari nak ke dapur. Bosan sungguh menghadapi perkara yang sama setiap hari. Huiii, boringnya. Boringgg!"
Apabila isteri 'mereportkan keboringan' si anak kepada saya; saya berlagak pandai menjawab: "Kalau kita anggap pekerjaan itu sebagai satu paksaan, tentulah kita boring. Apa kata, anggaplah memasak itu sebagai ladang untuk menyemai pahala. Semuanya berpahala. Potong sayur dapat pahala, siang ikan dapat pahala, jerang air berpahala, tanak nasi berpahala. Tetapi semua itu perlu dilakukan secara ikhlas dengan hati dan (boleh juga) mulut kita sentiasa berzikir; insya-Allah semuanya akan mendatangkan kebaikan kepada kita dunia dan akhirat."
Ya, saya pandai cakap saja; pada peringkat pelaksanaan saya adalah antara orang paling tidak sabar. Suruhlah saya buat pekerjaan leceh dan rumit di dapur seperti mengacau rendang serunding dalam kuali, saya adalah orang pertama angkat kaki. Demikian juga apabila disuruh mengasah pisau, saya akan 'cabut' - saya tak sabar dalam melakukan kerja-kerja penuh penelitian dan rumit ini. Suruh masak, lagilah saya tak tahu; yang saya tahu goreng telur dan tanak nasi dalam periuk elektrik saja; jika tidak ada lauk, itulah yang saya 'bedal' - nasi berlaukkan telur berkicap!
Pada ketika saya kerap memikir-mikirkan akan jawapan sebenar kepada 'keboringan' anak saya dalam bab memasak itu, suatu malam semasa menghadiri kelas pengajian antara maghrib dan isyak, 'terbentanglah' jalan keluar daripada sikap 'keboringan' yang selalu kita hadapi apabila saya mendengar sang ustaz antara lain berkata: "Kehidupan yang baik adalah pengulangan daripada perlakuan baik kita. Misalnya, semalam kita solat, hari ini kita solat dan insya-Allah esok kita solat lagi. Dari sehari ke sehari kita cuba tingkatkan mutu solat kita agar solat hari ini lebih baik daripada semalam dan insya-Allah esok lebih baik daripada hari ini."
Saya pun terbayang jawapan kepada 'keboringan' anak saya. Wahai si anak, semalam awak masak, hari ini pun awak masak dan insya-Allah esok pun awak masak. Tetapi masak hari ini jangan sama seperti semalam sebaliknya kita cuba membaiki mutunya supaya makin lama makin bagus. Jika niat dan cara kita betul, insya-Allah semalam kita dapat pahala, hari ini pun dapat pahala dan esok pun dapat pahala. Jadi jangan ada perasaan untuk rasa 'boring' tetapi teruskan aktiviti memasak lagi, lagi dan lagi, lagi.
Sampai bila hendak membuat sesuatu kebaikan itu lagi dan lagi, tanya sang ustaz? Jawapannya, sampai dunia ini kiamat atau 'kita dikiamatkan'. Matilah tu.
Amat-amatilah bahawa pengulangan berlaku dalam setiap kebaikan kita buat. Misalnya dalam solat kita akan mengulang-ulang perbuatan dan bacaannya misalnya Al-Fatihah diulang-ulang pada setiap rakaat. Demikian juga bacaan zikir, semuanya diulang-ulang balik. Kita ulang solat wajib lima kali sehari semalam.
Hari ini kita baca Quran, esok insya-Allah kita akan baca lagi, lusa kita baca lagi; kita buat perkara ini bagi mendapatkan keredaan-Nya semata-mata.
Bagi bab puasa pula, Ramadan tahun lalu dan sebelumnya kita sudah berpuasa, Ramadan tahun ini kita juga akan berpuasa dan Ramadan-Ramadan yang akan datang kita juga akan berpuasa, insya-Allah.
Ustaz menerangkan sesuatu amalan kebaikan perlu dilakukan secara konsisten (berterusan) biarpun sedikit. Misalnya dalam bab bersedekah, hari ini kira menderma RM1, esok kita menderma RM1 lagi, lusa kita menderma RM1 ertinya kita melakukan sesuatu kebaikan itu lagi, lagi dan lagi sampailah ajal menjemput kita. Semuanya dilakukan secara ikhlas, jadi tidak timbul soal seperti 'boring' seperti diungkapkan anak saya.
Adalah bagus untuk seseorang itu beristikamah menderma RM1 setiap hari tetapi adalah lebih bagus jika dia dapat meningkatkannya menjadi RM2, RM3 dan seterusnya yang juga dapat dilakukannya secara konsisten. Ertinya dia cuba menjadikan kebaikannya pada hari ini lebih baik daripada semalam dan insya-Allah esok pula lebih baik daripada hari ini.
Mungkin saya sudah 'nampak' apa yang cuba dijelaskan oleh sang ustaz mengenai keperluan kita melakukan sesuatu kebaikan itu 'lagi, lagi dan lagi lagi (almaklumlah saya sudah tua); tetapi macam mana saya mahu menjelaskannya kepada anak dara saya yang 'merungut asyik-asyik dia kena memasak'.
Namun saya tak salahkan anak dara saya itu 100 peratus kerana ketika saya seusianya dulu, saya lagi teruk; jangankan disuruh saya memasak, disuruh membeli barangan dapur yang terputus bekalan pun saya pandai membuat akal 'mengelat'. Itulah sebabnya sehingga kini saya hanya pandai menggoreng telur; nak suruh saya masak asam pedas, jawapannya tak makanlah satu keluarga!
No comments:
Post a Comment