Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya." (Surah Al-Kahfi, ayat 109)
DALAM 'posting' lalu, saya menulis kisah mengenai surau berhampiran rumah saya dengan tajuk 'Aku sebuah surau'. Lima tahun sudah berlaku, pelbagai kisah pahit manis dilalui.
Saya keberatan mengukir kisah surau ini kembali tetapi apabila seorang rakan membuat laporan bahawa pihak berkuasa sebuah negeri kukuhkan cengkaman ke atas surau dan masjid di negeri itu', saya teruja untuk menyambung penceritaan.
Melalui kisah 'Aku sebuah surau', saya menceritakan bagaimana pelantikan AJK surau dan masjid tidak lagi dipilih berdasarkan 'majlis angkat tangan' di kalangan jemaah, tetapi dibuat oleh Pengerusi JKKK manakala pelantikan surau/madrasah dibuat oleh Pengerusi Lembaga Masjid dan disahkan oleh Pengerusi JKKK.
Pelantikan berkenaan perlu disahkan oleh Adun kawasan berkenaan (tentunya Adun Umno) dan jika Adunnya bukan Islam, maka pengesahan dibuat oleh ketua kerajaan negeri.
Natijah pelantikan AJK atas pilihan dan sokongan pemimpin ini, maka banyak surau dan masjid semakin lesu, jika dulu setiap solat waktu dibuat secara berjemaah, kini ada yang hidup pada waktu maghrib dan isyak saja. Waktu subuh, jangan haraplah, banyak surau tidak berfungsi.
Selepas tersiarnya, kisah 'Aku sebuah surau', ada pihak di tempat saya mengambil inisiatif membuat salinannya banyak-banyak dan meletakkannya di masjid dan surau.
Akibat penyebaran bahan itu, penduduk kampung memandang serong kepada keluarga saya, apatah lagi saya. Mereka beranggapan sayalah yang menyebarkan salinan itu sedangkan saya tidak terbabit langsung. Saya hanya menulis artikel itu, yang menyebarkannya orang lain.
Ada hikmah di sebalik kejadian itu. Selepas tidak lagi terlalu tertumpu di surau berkenaan, saya 'membawa diri' dari satu masjid ke satu masjid.
Pendeknya banyak masjid saya kunjungi, banyak kuliah pengajian saya dapat ikuti, jadi peristiwa itu secara tidak langsung telah membuka hati saya mengenal serta muhasabah diri dan mengenal rumah-rumah Allah yang begitu banyak di bumi-Nya.
Kini saya dapati surau tadi bagaikan hidup segan mati tak mahu. Solat jemaah hanya pada waktu maghrib dan isyak. Jemaah seorang dua. Waktu subuh, gelap saja. Kelas pengajian yang diadakan seminggu sekali antara maghrib dan isyak hanya dihadiri tidak sampai 10 orang. Majlis ilmu ini kejap ada kejap tak ada.
Surau berkunci sepanjang masa selain waktu solat maghrib dan isyak. Untuk mengelakkan kejadian mencuri termasuk melarikan kepala paip (yang jenis tembaga), kawasan surau dipagar sepenuhnya dengan pintunya dimangga. Jadi sukarlah musafir singgah untuk solat atau merehatkan diri.
Amat menghairan! AJK surau lebih 10 orang, tetapi yang datang solat dan menghadiri majlis ilmu hanya beberapa kerat orang saja. Yang lain tu buat apa?
Apabila ada majlis membabitkan pemimpin besar seperti kedatangan PM ke negeri kami, ketika perhimpunan agung parti atau jamuan negeri dan hari kemerdekaan, surau berkenaan pun 'MC' - solat maghrib dan isyak pun tiada.
Gelap saja sepanjang malam. Entahlah, tidak peraaan pula penulis sama ada surau itu 'MC' apabila diadakan majlis keramaian seperti 'Sure Heboh' dan majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan.
Pada hari raya, surau akan ambil 'MC' selama beberapa hari. Surau dimangga, dikunci, jadi tiada siapa yang boleh masuk untuk solat. Surau akan kaku dan sunyi, tiada yang berani merapati, nanti dituduh pencuri! Itulah nasib sebuah surau. Ini kisah sebuah surau bukan kisah seorang biduan, ya!
No comments:
Post a Comment